|
Tak mahu tamak
KARL Shafek semakin mengorak langkah baharu dalam bidang perniagaan.
Pengacara dan usahawan, Karl Shafek tidak ralat apabila terpaksa menolak beberapa tawaran dalam bidang pengacaraan.
Menurut Shafek, 41, atau nama sebenarnya, Khairul Shafek Ibrahim, dia tidak mahu membuat banyak perkara dalam satu masa.
"Saya sudah dua tahun senyap dalam bidang pengacaraan. Situasi pandemik membuatkan peluang itu berkurang. Saya juga memberikan fokus terhadap perniagaan fesyen. Ada tawaran yang datang sekitar Oktober dan November tetapi saya terpaksa tolak kerana perniagaan saya terlibat dalam KL Fashion Week pada awal bulan ini.
"Kini, saya pula baru sahaja membuka cawangan kafe di Kelana Jaya dan saya selaku Pengarah Urusan menguruskan banyak perkara. Sejujurnya, saya rasa sayang menolak tawaran dalam bidang pengacaraan tapi saya tak ralat. Saya tak mahu susahkan orang lain dan tak boleh memberikan komitmen terhadap pelbagai perkara. Saya juga tak nak buat banyak benda dalam satu masa.
"Saya sendiri ada masalah dengan tahap kesihatan mental dan saya akui saya tak 'fit' seperti dahulu. Sayang menolak tawaran yang datang tetapi saya kena sayangkan diri saya dahulu," katanya ditemui di majlis pembukaan Dulang Cafe di Kompleks Kelana Jaya pada Jumaat.
KARL Shafek bersama Pengarah Dulang Kafe, Iylia Zarisha Marican dan Pemilik Cawangan Dulang Kafe Kelana Jaya, Muhammad Haikal.
Merealisasikan impiannya terbabit dalam perniagaan makanan, Shafek dan rakan perniagaannya mensasarkan untuk membuka lebih banyak cawangan dalam masa terdekat.
"Saya sudah lama memasang impian nak buka kafe. Ibu saya dahulu terbabit dalam perniagaan makanan dan pernah juga membuka perniagaan katering secara kecil-kecilan. Alhamdulillah, apa yang saya impikan menjadi realiti.
"Bercerita mengenai kafe, iaitu Dulang Cafe pula, ia diasaskan oleh Tunku Kurshiah Aminah Atiah dan mengangkat konsep makan dalam dulang. Kedai pertama kafe ini terletak di Nusa Jaya, Johor. Semenjak ia beroperasi dari 2017, kafe ini mendapat sambutan positif.
"Kafe di Kompleks Kelana Jaya ini adalah cawangan yang pertama di Lembang Klang. Kami mengkhususkan hidangan Melayu, Jawa dan Singapura dan menu istimewa adalah Nasi Ambeng Singapura dan Sup Tulang Merah," katanya.
Shafek berkata, dia turut bercadang untuk membesarkan lagi perniagaan itu dan berharap agar semuanya berjalan lancar.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/rap/2021/11/782647/tak-mahu-tamak
|
|