CARI Infonet

 Forgot password?
 Register
Search
Carian Terbanyak:
View: 169|Reply: 0

[Sarawak] AirAsia dapat tambahan 42 penerbangan mingguan ke Sarawak

[Copy link]
Post time 28-11-2021 08:05 PM | Show all posts |Read mode


SEPANG: AirAsia menerima kelulusan bagi tambahan 42 penerbangan mingguan dari Semenanjung dan Sabah ke Sarawak bagi tempoh terhad iaitu dari 11 Disember 2021 sehingga 5 Januari 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, ini secara langsung menurunkan harga tiket Kuala Lumpur-Kuching dari sekitar RM1,000 sebelumnya kepada kurang RM200 sehala.

"Ia sudah pun hampir habis terjual sebaik jualan dibuka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, tambahan penerbangan itu diluluskan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Menyentuh tentang isu harga tiket yang mahal untuk penerbangan antara Semenanjung dan Sarawak menjelang perayaan Krismas dan musim cuti serta Pilihan Raya Negeri Sarawak yang dijadualkan pada 18 Disember 2021, beliau menjelaskan AirAsia sentiasa berbincang dengan MOTS.

"Kita telah beberapa kali menyerahkan permohonan untuk penambahan kekal kekerapan penerbangan berjadual dari Semenanjung dan Sabah ke Sarawak semenjak awal tahun ini, termasuk yang terakhir dikemukakan pada minggu lepas yang meliputi permohonan untuk penerbangan tambahan bagi musim cuti Krismas dan Tahun Baru Cina," katanya.

Sebagai sebuah syarikat penerbangan kos rendah, Riad berkata pihaknya turut memerlukan jumlah inventori yang tinggi untuk membolehkan AirAsia menawarkan harga tiket yang rendah kepada para penumpang.

Menurutnya lagi, operasi AirAsia berlandaskan kecekapan ekonomi iaitu dengan mendapatkan jumlah penumpang yang tinggi dan seterusnya membahagikan penjimatan kos kepada mereka.

Katanya, dengan cara itu ia membolehkan penumpang menikmati tambang rendah dan banyak penjimatan yang mana harga purata untuk tambang penerbangan AirAsia antara Sarawak dan Semenanjung sebelum ini hanya sekitar RM160 sehala setiap penumpang.

Tambah beliau, harga purata tersebut juga mengambil kira harga tertinggi dan terendah termasuk semasa kami menawarkan jualan promosi tambang percuma.

“Model penetapan harga AirAsia adalah berdasarkan permintaan dan penawaran dan ianya serupa dengan yang digunapakai oleh syarikat penerbangan lain seluruh dunia.

"Pematuhan terhadap kekerapan penerbangan yang dihadkan oleh JPBN Sarawak sebelum ini telah menyebabkan pengurangan inventori tiket penerbangan yang ditawarkan dan seterusnya menyebabkan mekanisme penetapan harga dinamik kami menghasilkan harga yang tinggi apabila tiket pada harga rendah telah habis terjual.

"Ini juga adalah mekanisme sama yang digunapakai untuk menawarkan harga promosi termasuk tiket serendah RM99 sehala pada Oktober lalu," ujar Riad.

Secara umumnya, harga tiket akan meningkat semakin hampir ke tarikh penerbangan dan juga semasa musim cuti, apabila hampir semua penerbangan AirAsia hampir penuh sehingga 90 peratus.

Jumlah kekerapan penerbangan yang dihadkan merupakan faktor utama yang melonjakkan harga tiket bagi semua syarikat penerbangan, tegas beliau menekankan.

Sebagai rekod lagi, AirAsia mengendalikan lebih 300 penerbangan mingguan ke Sarawak bagi tempoh sebelum pandemik, menghubungkan Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu dengan Kuala Lumpur, Penang, Johor Bahru, Kota Kinabalu serta pelbagai destinasi di Malaysia.

Untuk laluan Kuala Lumpur-Kuching sahaja, AirAsia mengendalikan sebanyak 12 hingga 15 penerbangan sehari sebelum tempoh pandemik, tetapi dengan kelulusan terbaru daripada MOTS, kami hanya dibenar mengendalikan 5 penerbangan harian bagi laluan popular ini dan ini merupakan pengurangan 67 peratus dalam kapasiti pihak kami disebabkan sekatan oleh JPBN Sarawak.

“Ramai telah mendapatkan tiket kami pada harga rendah semasa jualan promosi pada Oktober lepas dengan harga tiket antara Kuala Lumpur dan Sarawak hanya serendah RM99 sehala.

"Ini amat jelas bahawa permintaan sememangnya tinggi tetapi buat masa ini kami tidak dapat memenuhinya sehinggalah kelulusan diberikan untuk lebih banyak penerbangan," kata beliau lagi.

Justeru itu, AirAsia merayu kepada MOTS dan JPBN Sarawak untuk meluluskan permohonan penerbangan tambahan untuk Tahun Baru Cina, dan seterusnya menghapuskan sepenuhnya sekatan atas kekerapan bagi penerbangan yang telah diluluskan.

Dengan cara itu, ia akan membolehkan pihak kami menguruskan kos dengan lebih baik dan cekap dan seterusnya menurunkan tambang untuk manfaat semua penumpang.

“AirAsia sentiasa komited untuk menyediakan tambang dengan harga berpatutan dan memberikan penjimatan, selaras dengan slogan kami “kini semua orang boleh terbang”.
Sejak mula beroperasi, berjuta-juta penumpang telah terbang bersama AirAsia termasuklah mereka yang merasai pengalaman terbang untuk kali pertama.

Bagaimanapun, kata beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak mampu lagi untuk menambah penawaran tiket penerbangan bagi menampung permintaan tinggi tersebut disebabkan sekatan penerbangan dan menjejaskan keupayaan pihaknya untuk memberikan tambang murah dan berpatutan.

“AirAsia juga sentiasa komited untuk pembukaan sepenuhnya aktiviti perjalanan dan pelancongan di Sarawak, dan akan sentiasa berkerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkenaan termasuklah untuk kesihatan, penerbangan awam, dan badan penggalakan pelancongan bagi memastikan pematuhan tertinggi semua peraturan dan garis panduan bagi semua penerbangan yang kami kendalikan kelak," ujarnya.



utusanborneo.com.my/2021/11/27

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 



Mobile|Archiver|Mobile*default|CARI Infonet

25-5-2022 12:53 PM GMT+8 , Processed in 0.203786 second(s), 22 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list