CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 590|Reply: 0

[Kedah] Bawang turut dikesan naik harga

[Copy link]
Post time 26-11-2021 08:25 PM | Show all posts |Read mode
Bawang turut dikesan naik harga
NURUL HIDAYAH HAMID | | 26 November 2021


Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff (kiri) dan Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri (tengah) membuat pemantauan harga bersama Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar di Pasar Kampung Berjaya, di sini, pada Jumaat.


ALOR SETAR - Kenaikan harga barangan keperluan dikhuatiri makin menjadi-jadi apabila bawang turut dikesan meningkat selepas ayam, telur dan sayur-sayuran di sekitar Bandaraya Alor Setar sejak awal bulan ini.


Seorang peniaga, Mohd Azam Md Shukri, 32, berkata, harga bawang seperti bawang besar, bawang Holland, bawang kecil, bawang kecil Siam dan bawang putih telah naik sebanyak tiga kali pada November.


Disebabkan itu, Mohd Azam berkata, dia terpaksa menjual bawang pada harga lebih tinggi, seperti bawang besar daripada lebih RM2 sekilogram kepada RM4 sekilogram ketika ini.



Peniaga, Mohd Azam Md Shukri


"Saya perlu mengeluarkan modal lebih tinggi apabila harga seguni bawang putih seberat lapan kilogram (kg) naik daripada RM40 kepada RM48 manakala seguni bawang besar seberat enam kg pula kini RM17 berbanding RM14 sebelum ini.


"Setiap kali naik, saya perlu tambah modal dan sekarang sudah beberapa kali kenaikan berlaku," katanya ketika ditemui dalam pemantauan harga bersama Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar di Pasar Kampung Berjaya pada Jumaat.


Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri dan Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff.


Menurutnya, harga bawang paling mahal merupakan bawang kecil Siam dengan harga RM135 untuk seguni seberat sembilan kg namun tidak dijual di pasar pagi itu disebabkan harganya terlampau tinggi.


"Kiranya, bukan hanya pengguna tetapi peniaga juga terkesan apabila harga naik antara RM5 hingga RM8 mengikut jenis namun kualiti tidak menentu kerana adakalanya kurang elok," katanya.


Seorang lagi peniaga, Lim Sheng Ho, 58, berkata, selain barangan basah seperti ayam dan sayur-sayuran, harga ikan bilis pelbagai gred juga naik lebih 10 peratus sehingga meresahkan peniaga sepertinya.


Katanya, dia mendapat bekalan ikan bilis pada harga tinggi sekali gus tiada pilihan apabila terpaksa menjual ikan bilis sekitar RM6 hingga RM8 mengikut jenis untuk 100 gram (g) berbanding antara RM4 hingga RM7 bagi kuantiti sama sebelum ini.


"Sebagai contohnya, harga ikan bilis Gred A kini boleh mencecah RM75 hingga RM80 sekilogram berbanding hanya sekitar RM50 hingga RM60 per kilogram (kg) sebelum ini.


"Tidak dinafikan, ada pembeli merungut harga ikan bilis yang makin tinggi namun mereka akur selepas dijelaskan bahawa peniaga juga membeli dari pembekal pada harga tinggi," katanya.


Bagaimanapun, Sheng Ho berkata, mereka ada menjual ikan bilis gred rendah yang lebih murah iaitu sekitar RM3 sekilogram namun ia biasanya tidak menjadi pilihan pengguna.


Peniaga sayur-sayuran, Rosli Ahmad, 51, memberitahu kebanyakan sayur-sayuran mengalami kenaikan harga sekali ganda terutamanya brokoli dan bunga kubis antara RM6 hingga RM7 kepada RM15 hingga RM18 sekilogram sejak awal November.



Peniaga sayur-sayuran, Rosli Ahmad


Menurutnya, hanya tauge didapati masih berpatutan dan tidak mengalami kenaikan apabila masih dijual sekitar RM3 sekilogram kepada pengguna sejak beberapa bulan lalu.


"Bukan hanya pengguna terjejas, hakikatnya peniaga sendiri dilanda keresahan apabila turut terkesan dan terpaksa mengeluarkan modal lebih tinggi berbanding sebelumnya.


"Bayangkan, saya perlu mengeluarkan modal lebih kurang RM500 berbanding hanya sekitar RM300 untuk membeli sayur dari pembekal, jadi jika tiada modal memang tidak boleh berniaga langsung," katanya.


Dalam pada itu, seorang pengguna yang juga Pengerusi Rukun Tetangga Kampung Berjaya, Datuk Abdul Kadir Mohamad berkata, kebanyakan pengguna buntu untuk membeli barangan disebabkan kenaikan harga itu.



Pengguna, Datuk Abdul Kadir Mohamad


"Sebelum ini, sekiranya bawa RM20 masih boleh beli beberapa jenis barangan namun kini tidak tahu boleh beli apa sebab banyak barang harga naik seperti ikan kembung pun kini cecah RM15 sekilogram," katanya.


Justeru beliau berharap kementerian berkaitan dapat memberi perhatian isu kenaikan harga memandangkan ramai rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) terjejas akibat pandemik Covid-19.


Menurutnya, pengguna merayu kepada pihak berkaitan supaya mengambil tindakan serius bagi mengatasi masalah kenaikan harga pelbagai barang khususnya barangan basah sejak akhir-akhir ini.



Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/a ... -dikesan-naik-harga
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 03:17 AM GMT+8 , Processed in 0.057435 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list