CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 492|Reply: 0

[Terengganu] Pindaan Enakmen Penyu kemenangan moral buat pejuang konservasi

[Copy link]
Post time 26-11-2021 02:30 PM | Show all posts |Read mode
Edited by kerisnaga at 26-11-2021 02:33 PM

Pindaan Enakmen Penyu kemenangan moral buat pejuang konservasi

BERNAMA



TELUR penyu. FOTO BERNAMA


Kuala Terengganu: Larangan penjualan semua spesies telur penyu berkuat kuasa 1 Jun depan adalah kemenangan moral dalam perjuangan panjang sejarah konservasi penyu khususnya di Terengganu.



Ketua Makmal Penyelidikan Luar Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Uzair Rusli berkata, perjuangan itu melangkaui tiga generasi sejak penubuhan Unit Penyelidikan Penyu pada 1984.



"Kita sedar budaya memakan telur penyu ini amat sebati dengan warga tempatan dan banyak cabaran perlu dihadapi semua pihak terbabit untuk meyakinkan peminat telur penyu bahawa apa yang diamalkan selama ini adalah tidak lestari, malah akan menjejaskan kestabilan ekosistem marin negara.



"Kami mula melihat tanda positif perubahan masyarakat sejak akhir-akhir ini dan dalam masa sama kerajaan negeri Terengganu amat serius dalam mengimplimentasikan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) yang turut menggariskan kelestarian alam sekitar yang disambut baik pelbagai pihak," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.



Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu minggu lalu meluluskan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021), yang antara lain akan mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan spesies hidupan marin itu.



Pindaan itu bertujuan melindungi dan mengelakkan kepupusan semua spesies penyu termasuk tuntung laut, sekali gus meningkatkan jumlah denda lebih tinggi terhadap kesalahan kacau ganggu dan membunuh penyu iaitu RM50,000 hingga RM250,000 berbanding hanya RM3,000 sebelum ini.



Mengulas lanjut, beliau berkata, penyu adalah tarikan semula jadi pelancong ke Terengganu dan langkah kerajaan negeri bersifat prokonservasi itu dilihat mampu memperbaiki kembali imej Terengganu yang sebelum ini terpalit dengan isu hub jualan telur penyu.



"Justeru, kami merasakan langkah meminda enakmen pada tahun ini adalah tindakan amat tepat dan dinantikan kesemua pihak berkepentingan yang terbabit dalam usaha memelihara penyu.



"Selain penyu, mereka yang terbabit dalam penawaran produk pelancongan berasaskan penyu akan mendapat impak ekonomi berganda dan lestari pada masa hadapan," katanya.



Mohd Uzair berkata, UMT komited untuk membantu Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dalam usaha advokasi awam sebelum penguatkuasaan penuh pindaan enakmen itu pada Jun 2022.



"Selain itu, kami perlu membantu Jabatan Pelancongan dan beberapa agensi lain dalam memperkemas kaedah dan peraturan terbabit dalam pelancongan berasaskan penyu.



"Ini bagi memastikan produk pelancongan tidak menjejaskan alam sekitar dan keselamatan pelancong khususnya di dalam kawasan taman laut," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2021 @ 2:23pm


sumber


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 11:15 PM GMT+8 , Processed in 0.399708 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list