Wanita dilarang daripada muncul dalam drama televisyen di Afghanistan. Itu antara larangan dikenakan di bawah peraturan baharu kerajaan Taliban.
Lapor BBC, wartawan dan penyampai berita wanita juga diarahkan untuk mengenakan tudung ketika bersiaran di televisyen, meskipun garis panduan tidak menyatakan jenis tudung yang akan digunakan.
Kredit foto: BBC/Getty Images
Menurut wartawan, beberapa peraturan yang dinyatakan masih kabur dan tertakluk kepada tafsiran.
Set garis panduan yang ditetapkan bagi saluran televisyen di Afghanistan menampilkan lapan peraturan baharu.
Ia antaranya melarang penyiaran filem yang dianggap bertentangan dengan prinsip Syariah, undang-undang dan nilai Afghanistan.
Rakaman memaparkan lelaki mendedahkan bahagian intim badan juga dilarang sama sekali.
Program komedi dan hiburan yang menghina agama atau mungkin dianggap menyinggung perasaan rakyat Afghanistan juga dilarang.
Taliban juga menegaskan filem luar negara yang mempromosikan nilai budaya asing juga tidak harus disiarkan.
Kumpulan Taliban mengambil alih pemerintahan di Afghanistan pada pertengahan Ogos lalu dan ramai menyuarakan kebimbangan mengenai sekatan keras dikenakan secara beransur-ansur.
Kumpulan itu menguasai Afghanistan selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) yang membawa kepada kejatuhan kerajaan disokong barat.
Sumber: Utusan |