CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1480|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] NCIA lepasi sasaran pelaburan 2021

[Copy link]
Post time 17-11-2021 07:01 AM | Show all posts |Read mode

ISMAIL Sabri. FOTO Arkib NSTP



Kuala Lumpur: Peranan strategik dan proaktif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan pelan tindakan menangani pemulihan pasca pandemik yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Strategik (SDP) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) 2021-2025 berjaya membuahkan hasil, melebihi sasaran awal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, NCIA berjaya merekodkan pelaburan besar sebanyak RM21.41 bilion, peningkatan 34 peratus daripada sasaran sebanyak RM16 bilion.

"Sektor pembuatan kekal sebagai aktiviti utama dalam NCER, menyumbang sebanyak 32 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan pelaburan yang diluluskan dalam sektor itu meningkat sebanyak 304 peratus daripada RM11.8 bilion pada separuh kedua 2020 kepada RM47.91 bilion pada separuh pertama tahun 2021, menandakan pemulihan jangka panjang," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis NCIA hari ini.

Menurutnya, pemulihan dalam permintaan global membawa pertumbuhan perdagangan luar NCER sebanyak 13.1 peratus tahun ke tahun, merekodkan sebanyak RM191.7 bilion pada suku ketiga tahun 2021 dengan jumlah sebanyak 35.1 peratus daripada keseluruhan nilai perdagangan luar Malaysia.

"Pendekatan serampang tiga mata NCER yang memperkasakan kumpulan mudah terjejas melalui program modal insan yang berpaksikan rakyat, memangkin pertumbuhan ekonomi serantau yang seimbang melalui infrastruktur strategik dan memacu pelaburan swasta untuk menangani ketidakseimbangan serantau.

"Pendekatan ini akan turut membolehkan NCER mencapai ekonomi bernilai RM300 bilion; purata pendapatan isi rumah mencapai RM10,508; 161,197 penciptaan pekerjaan terkumpul dan RM146.5 bilion pelaburan swasta menjelang 2025.

"Di samping itu, pelaburan ke wilayah ini akan mewujudkan sejumlah 23,506 pekerjaan di NCER," katanya.

Perdana Menteri berkata, selari dengan konsep 'Keluarga Malaysia', lebih 65,000 peserta termasuk wanita, belia dan masyarakat Orang Asli telah menerima manfaat daripada pelbagai program modal insan berpaksikan rakyat dalam mengatasi cabaran pandemik.

Katanya, program-program ini akan diteruskan sepanjang RMKe-12, selaras dengan matlamat membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025.

"Lebih 12,000 isi rumah miskin dan miskin tegar yang disenaraikan di bawah pangkalan data e-Kasih dan iDamak telah mendapat manfaat daripada program Kasih Ibu NCER di Kedah, Perak dan Perlis melalui bantuan dalam pembelian keperluan asas dan penjagaan kesihatan, bagi mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup.

"Sehingga kini, hampir 600 daripada penerima telah diintegrasikan ke dalam program empowerNCER dan JomNiaga@NCER dan mereka kini sudah mampu menjana pendapatan sendiri.

"Berikutan kejayaan inisiatif ini, lebih 5,000 peserta akan disepadukan ke dalam program ini dalam usaha mencapai sasaran sifar miskin tegar RMK12 menjelang 2025," katanya.

Program empowerNCER-Kemahiran dan Keusahawanan dan JomNiaga@NCER akan mewujudkan hampir 10,000 usahawan mikro dan pekerja mahir dalam kalangan kumpulan B40.

Katanya, pada masa ini, lebih 900 peserta telah keluar daripada kemiskinan, di mana 300 peserta telah beralih ke dalam kategori M40 dan T20.

"Lebih 5,000 penggerak ekonomi tempatan ini bukan sahaja berjaya menjana pendapatan kira-kira RM45 juta secara kolektif dalam tempoh enam bulan, tetapi juga mewujudkan lebih 1,200 pekerjaan untuk masyarakat setempat.

"Program ini juga telah membantu lebih 5,200 perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mana pembiayaan RM85.9 juta telah diluluskan oleh Maybank dan AgroBank, menghasilkan sifar Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) setakat ini," katanya.


Disiarkan pada: November 16, 2021 @ 8:32pm


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

16-4-2024 09:12 PM GMT+8 , Processed in 0.071953 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list