CARI Infonet

 Forgot password?
 Register
Search
Carian Terbanyak:
View: 233|Reply: 0

Betul ke Lelaki ramai mati mengejut sebab.....

[Copy link]
Post time 14-11-2021 11:50 AM | Show all posts |Read mode
Lelaki ramai mati mengejut


Serangan jantung dan kanser prostat penyakit tinggi dihidapi lelaki. - Foto hiasan

GOLONGAN lelaki lebih cenderung mengabaikan masalah penjagaan kesihatan sehingga sebilangan mereka tanpa disedari berdepan dengan kematian mengejut.

Di Malaysia, serangan jantung dan kanser prostat adalah dua jenis penyakit paling tinggi dihidapi lelaki sebagai pembunuh senyap.

Penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian golongan lelaki, iaitu sebanyak 17.3 peratus kematian dalam beberapa tahun kebelakangan ini termasuk peningkatan ketara bagi kes kematian mengejut.

Sesetengah komplikasi jantung ini mungkin berlaku secara tiba-tiba kerana tanda-tanda awal diabaikan lelaki dengan mengelak berbual mengenai isu itu atau mendapatkan rawatan sewajarnya.


Jangan abai apabila hidap kelesuan, sesak nafas semasa melakukan kerja berat. - Foto hiasan

Pakar Kardiologi dan Perubatan Dalaman Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Tee Chee Hian menjelaskan kematian mengejut berlaku disebabkan pelbagai komplikasi jantung seperti penyumbatan saluran koronari akibat plak pecah atau malignant arrhythmia, umpamanya ventricular tachycardia atau ventricular fibrillation yang menyebabkan tiada darah dapat dipamkan daripada jantung ke seluruh badan.

Katanya, antara simptom perlu awasi termasuk rasa debaran tanpa sebab (palpitation), situasi hampir pengsan atau pengsan sehingga tidak sedarkan diri.


Individu pengsan atau meninggal dunia tanpa amaran, ketika melakukan aktiviti lasak. - Foto hiasan

"Malah yang tidak mengetahui mempunyai penyakit arteri koronari (CAD) mungkin mengalami sakit dada dan sesak nafas ketika bersenam atau melakukan kerja berat. Ini boleh menyebabkan berlaku kematian mengejut," katanya.

Meninggal dunia tanpa amaran

Kematian mengejut boleh disebabkan oleh masalah jantung kongenital seperti sindrom QT Panjang (Long QT Syndrome), penebalan otot jantung yang abnormal (Hypertrophic Obstructive Cardiomyopathy), Arrhythmogenic Right Ventricular Dysplasia (ARVD) atau sindrom Brugada (masalah genetik yang menyebabkan degupan jantung tidak teratur).

Kes begini sering dikaitkan dengan ketiadaan gejala yang seterusnya menyebabkan pesakit pengsan atau meninggal dunia tanpa amaran.

Dr Tee berkata, kesukaran harian seperti kelesuan, sesak nafas semasa melakukan kerja berat, sakit dada, ketidakselesaan dada selepas makan (postprandial angina) dan daya toleransi usaha berkurangan tidak boleh diabaikan kerana ia petanda menunjukkan mereka mempunyai masalah jantung.

Siapa berisiko kematian mengejut?

Dr Tee berkata, bagi penyakit arteri koronari (CAD), lelaki lebih cenderung untuk menghadapi penyakit ini berbanding wanita.

Mereka tidak menyedari mempunyai penyakit jantung kongenital mungkin mempunyai risiko kematian mengejut walaupun pada usia muda.

Individu lebih berusia pula selalunya akan rebah secara tiba-tiba dan mengalami kematian mengejut akibat serangan jantung.

"Kami pernah berhadapan dengan kes seorang lelaki perokok berusia 50 tahun, tiada rekod pemeriksaan kesihatan, dia tiba-tiba mengalami sakit dada dan berpeluh yang tidak normal ketika sedang berjalan di taman.


Lelaki berusia 60an dan 70an lebih cenderung alami kanser prostat - Foto hiasan

"Dia terus dikejarkan ke bilik kecemasan dan memerlukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR). Hasil ujian electrocardiogram (ECG) menunjukkan dia ada malignant rhythm ventricular fibrillation dan tidak dapat diselamatkan," katanya.

Penjagaan kesihatan lelaki

Terdapat beberapa langkah perlu amalkan untuk menjaga kesihatan, antaranya mengamalkan gaya hidup sihat yang bebas daripada merokok, diet seimbang, banyak ambil sayuran dan buah-buahan.

"Senaman dapat meningkatkan kesihatan kardiovaskular seperti berlari, berjoging dan berbasikal.

"Menjalani pemeriksaan kesihatan untuk mengesan sebarang kemungkinan bagi menghadapi dyslipidemia (paras kolestrol yang tidak normal), tekanan darah tinggi diabetes mellitus (DM) penting untuk mengelak risiko CAD melalui amalan diet, pengambilan ubat-ubatan," katanya.

Kanser prostat pembunuh senyap

Pakar Urologi hospital sama, Datuk Dr Selvalingam Sothilingam, berkata selain masalah kardiovaskular, pembunuh senyap yang lelaki perlu awasi ialah kanser prostat.

Ia adalah kanser ketiga paling lazim dalam kalangan lelaki di Malaysia. Hal ini adalah kerana kanser ini bersifat tidak bergejala di peringkat awal.

"Mereka digalakkan menjalani pemeriksaan terutama ada ahli keluarga ada sejarah kanser prostat atau payudara. Ujian saringan boleh dibuat seawal usia 45 tahun.

Awas lelaki berusia 50-an ke atas

Dr Selvalingam berkata, meskipun lelaki berusia 60an dan 70an lebih cenderung untuk mengalami kanser prostat, namun kami pernah mengesan kes kanser dalam kalangan lelaki seawal berusia 50an.

"Diagnosis awal adalah kunci kerana ia berpotensi untuk dirawat jika dikesan pada peringkat awal," katanya.

Pesakit yang lebih muda boleh memilih pembedahan untuk membuang prostat mereka, dan pembedahan ini selalunya mempunyai kesan masa panjang yang baik.

"Pembedahan kurang menyakitkan dengan masa pemulihan lebih singkat kerana ia dapat dijalankan dengan 'keyhole' yang dibantu oleh robot," katanya.

Merujuk sesetengah kes, pesakit mungkin mudah keliru penyakit benign prostate hyperplasia (BPH) sebagai petanda kanser, namun ia hanya tanggapan yang salah.

Pesakit mempunyai gejala BPH selalunya akan melalui ujian saringan untuk kanser prostat dan BPH.

Kanser prostat ialah patologi berlainan daripada BPH di mana BPH lazimnya dirawat dengan sejenis ubat dikenali sebagai 'alpha blockers' atau melalui pembedahan.

Pesakit prostat pantau pemakanan

Pesakit kanser prostat perlu memantau pemakanan dan diet dengan mengambil daging merah, makanan mempunyai jumlah serat sedikit dan pengambilan makanan diproses berlebihan.

"Makanan seperti tomato yang dimasak, produk berasaskan soya, teh hijau, sayur-sayuran dan buah-buahan tinggi serat dapat memberi perlindungan tambahan kanser prostat", katanya.

Sempena Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki, bulan ini, kempen #BROvember diadakan untuk menggalakkan lebih ramai lelaki lebih proaktif menjaga kesihatan.

Melalui kempen diadakan saringan kesihatan dan pakej saringan jantung komprehensif, gastroskopi, kolonoskopi dan skop atas dan bawah, pemberian ujian testosteron percuma serta saringan ujian darah dan penanda tumor.

Sumber:https://www.bharian.com.my/hujun ... ramai-mati-mengejut

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 



Mobile|Archiver|Mobile*default|CARI Infonet

29-1-2022 06:59 PM GMT+8 , Processed in 0.084684 second(s), 22 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list