CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1714|Reply: 4

[Borneo] [Kenali BORNEO] Lumpur bebuak Kampung Meritam

[Copy link]
Post time 14-11-2021 07:51 AM | Show all posts |Read mode


Lumpur bebuak yang keluar dari perut bumi di Kampung Meritam di sini, mencetuskan fenomena dan keunikan tersendiri sehingga kawasan pedalaman ini menjadi tumpuan pelancong sekali gus berupaya menjana aktiviti ekonomi penduduk.

Walaupun belum ada kajian saintifik dilakukan terhadap lumpur yang licin, likat dan suam, kawah lumpur gunung berapi yang dikenali sebagai 'lumpur bebuak' di kampung ini, sememangnya sudah terkenal dalam kalangan masyarakat setempat sebagai 'pusat perubatan semula jadi'.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pendidikan dan Pembangunan Komuniti Majlis Daerah Limbang (MDL) berkata kewujudan 'lumpur bebuak' telah menyebabkan Kampung Meritam, terletak kira-kira 40 km dari pusat bandar Limbang, tidak sunyi daripada dikunjungi pelawat.

Katanya sebelum pandemik COVID-19 melanda negara, hampir 300 pelawat berkunjung ke Kampung Meritam setiap hari hanya untuk menikmati 'rawatan lumpur bebuak', yang dikatakan boleh menjadi terapi menenangkan minda dan sesuai sebagai 'masker' untuk dilumur pada muka dan anggota badan selain dapat mengubati penyakit kulit.

"Ekoran sambutan menggalakkan ini, kita telah menganjurkan acara tahunan seperti Pesta Lumpur Bebuak yang diisi dengan pelbagai aktiviti dalam kawah lumpur seperti berendam, bermain bola tampar lumpur dan lain-lain.



"Bagi fasa endemik, kita sudah sedia untuk buka semula dan menerima kehadiran pelancong dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi mencegah COVID-19," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Frederick berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebelum ini telah meluluskan peruntukan RM2 juta untuk menaik taraf fasiliti dan kemudahan bagi memberikan pengalaman percutian yang terbaik kepada setiap pengunjung yang datang ke Limbang, daerah yang terletak di timur laut Bumi Kenyalang.

Daerah Limbang yang kaya dengan kepelbagaian, keunikan dan tarikan lokasi pelancongan dijangka bakal menjadi hab pelancongan baharu di Sarawak, pada tahun depan.

Menurut beliau sektor pelancongan Limbang yang sedang rancak dibangunkan ditambah dengan kedudukan strategiknya bersempadan dengan Brunei, berupaya memacu pertumbuhan ekonomi serta sumber pendapatan penduduk tempatan.

Frederick berkata selain Kampung Meritam, kini terdapat pelbagai projek pembangunan pelancongan oleh kerajaan Sarawak dan Persekutuan termasuk produk pelancongan baharu di Limbang yang sedang giat dibangunkan dengan kebanyakannya dijadualkan siap tahun depan.

Antaranya ialah Projek Limbang Waterfront secara berfasa, terletak di tengah-tengah bandar sepanjang hampir dua kilometer yang menelusuri pesisir Sungai Limbang adalah tarikan terbaharu daerah ini dengan pelbagai produk pelancongan seperti inap desa dan perahu tambang pelancong, bakal disediakan.

"Limbang Waterfront ini berhadapan dengan penempatan tepi sungai masyarakat Melayu yang akan dijadikan sebagai produk inap desa dengan pelbagai aktiviti untuk dinikmati pelancong selain restoran makanan laut.

"Uniknya, projek berfasa Limbang Waterfront akan menghubungkan laluan ke Taman Rekreasi Tasik Bukit Emas, seterusnya ke Taman Sukan Ekstrem Limbang yang juga sedang dibina selain Bukit Hitam, yang bakal menyajikan keindahan flora dan fauna di sini," katanya.

MDL juga sedang giat menyediakan produk inap desa berasaskan budaya etnik masyarakat di Limbang bagi mempromosikan keunikan kepelbagian budaya di bandar terkenal dengan jolokan Bandar Kerbau ini.

Bagi merealisasikan rancangan tersebut, Frederick berkata MDL sedang melatih, mendaftar dan mempersiapkan kira-kira 24 peserta inap desa daripada pelbagai etnik iaitu Bisaya, Iban, Kedayan, Melanau, Lun Bawang, Tabun, Kelabit dan Penan untuk mengetengahkan budaya serta adat resam etnik berkenaan.

"Bagi pelawat yang gemarkan keindahan alam, mereka bolehlah mengunjungi Jeti Santaba di Kampung Patiambun, sepanjang lebih satu kilometer untuk menyelusuri kawasan hutan paya bakau yang menjadi habitat spesies Monyet Belanda (proboscis) dan kelip-kelip pada waktu malam," katanya.

Sebelum penularan COVID-19, Frederick berkata Limbang sentiasa menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa setiap tahun khususnya dari Brunei menerusi pelbagai penganjuran pesta dan acara keraian seperti Pesta Buah Limbang dan Hari Bukit Emas.

"Dengan keadaan pandemik COVID-19 yang semakin pulih, dan hasrat kerajaan membuka semula pintu sempadan negara ditambah dengan usaha kita dalam menyediakan produk baharu pelancongan, kami optimis Limbang mampu menjadi hab pelancongan baharu bagi Sarawak," katanya.

-- BERNAMA



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 14-11-2021 07:53 AM | Show all posts


Mandi lumpur di Kampung Meritam menyeronokkan

LIMBANG: “Badan terapung seperti berada di Laut Mati, sejuknya lain macam, badan pun sihat.”

Itu reaksi spontan Ikhwan Lutfan Amran, 13, ketika mandi di Lumpur Bebuak Kampung Meritam yang terletak lebih 40 kilometer dari pusat bandar.

Dia bersama rakannya Nazril Timbang, 9, begitu gembira berendam dalam lumpur sambil menunjukkan aksi terjun tanpa mengendahkan cuaca panas ketika itu.

“Memang seronok mandi lumpur ni, badan pun terasa segar dan sihat,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di sini, baru-baru ini.

Menurut Ikhwan, lumpur tersebut seolah-olah tidak berdasar dan apabila berada di dalam kawahnya pengunjung akan terapung.

Katanya, mandi lumpur di situ merupakan satu kewajipan bagi kanak-kanak di kampung itu.

Beliau berkata, cuti persekolahan dimanfaatkan de-ngan aktiviti mandi-manda di Lumpur Bebuak bersama rakan-rakan yang lain.

“Jika hujung minggu Sabtu dan Ahad atau cuti per-sekolahan, kawasan ini se-perti pesta lumpur kerana dipenuhi kanak-kanak dan pengunjung yang merasai ‘kesejukan’ mandi lumpur,” ujarnya.

Dia menambah, lumpur itu juga mempunyai khasiatnya tersendiri dan baik untuk merawat masalah kegatalan kulit.

Bagi Nazril, selain rasa sejuknya yang tersendiri mandi lumpur sangat berbeza dengan mandi biasa.

“Saya seronok dapat terjun, berenang dan mandi di lumpur bebuak ini.

“Badan pun berasa segar,” katanya.

Dengan rasanya agak masin dan teksturnya yang licin, lumpur bebuak sesuai untuk dilumur satu badan sebagai masker, selain menjadi terapi untuk menenangkan minda.

Pada masa ini, terdapat lebih 40 kawah lumpur pelbagai saiz antara satu hingga dua meter di tapak tersebut yang cukup aktif.

Kawah bersaiz besar mampu menempatkan 10 hingga 20 individu dalam satu-satu masa.

Lumpur Bebuak Kampung Meritam antara destinasi pelancongan luar bandar yang menggamit kehadiran pengunjung tempatan dan luar untuk menyaksikan sendiri fenomena tanah yang sentiasa lecak tanpa mengira musim baik tengkujuh mahu-pun kemarau.

Tanah tersebut membentuk busut secara perlahan-lahan sebelum meletus dan mengeluarkan bunyi seakan-akan cecair likat yang sedang membuak-buak.

Sifatnya yang sering meletus dan menghasilkan bunyi pelik menyebabkan penduduk tempatan menggelar lumpur unik itu sebagai Lumpur Bebuak.

Keunikan tersebut me-nyebabkan Kerajaan Sarawak melalui Majlis Daerah Limbang (MDL) membina beberapa kemudahan asas seperti tandas, bilik mandi awam serta jambatan kayu untuk diguna-kan oleh pengunjung.

Kawasan itu juga diiktiraf sebagai antara destinasi pelancongan terkemuka di Limbang.

credit


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 14-11-2021 07:55 AM | Show all posts

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 14-11-2021 07:57 AM | Show all posts


Limbang: Licin, likat dan suam. Itu gambaran keadaan lumpur bebuak yang terkenal di Kampung Meritam, di sini, sehingga menjadi tumpuan pengunjung kerana dikatakan mampu menjadi terapi dan merawat penyakit kulit.

Walaupun tiada kajian saintifik dilakukan, pengunjung percaya kawah lumpur di kawasan seluas empat hektar di kampung yang terletak 50 minit perjalanan dari bandar Limbang itu mempunyai khasiatnya tersendiri.

Lumpur yang biasanya wujud di kawasan gunung berapi itu dikatakan wujud di kampung berkenaan sejak ratusan tahun lalu namun sehingga kini tiada fakta jelas mengenainya.

Ketika ini, lebih 40 kawah lumpur yang aktif pelbagai saiz antara satu ke dua meter berada di tapak lumpur bebuak. Bagi kawah besar, ia mampu menempatkan 10 hingga 20 individu dalam satu masa.

Ketua Kampung Meritam, Mahmud Gampal berkata, sehingga kini tiada siapa tahu bagaimana kawah lumpur berkenaan boleh muncul kerana ada versi mendakwa ia berpunca dari air laut akibat banjir, malah ada mendakwa pernah berlaku gegaran di kampung berkenaan sehingga terbentuknya kawah.

Menurut Mahmud, sifatnya yang sering meletus dan menghasilkan bunyi pelik menyebabkan penduduk tempatan menggelarkan lumpur ajaib itu sebagai lumpur bebuak.

“Kawah lumpur bermula dengan terbentuknya busut sebelum meletus dan mengeluarkan bunyi seakan-akan cecair likat yang membuak-buak.

“Kejadian sama berulang beberapa minit kemudian. Selepas beberapa hari, ia akan menghasilkan kawah besar dipenuhi lumpur kehitaman yang likat, licin dan suam,”katanya.

Menariknya, menurut Mahmud, lumpur di kawasan itu sentiasa becak tanpa mengira keadaan cuaca sama ada kemarau atau musim hujan.

“Selepas beberapa minggu, kawah bebuak ini akan kering dan menjadi seperti pasir atau digelar buta. Namun, ia bukan pengakhiran kerana akan ada kawah baru muncul di kawasan itu.

“Kawah lumpur bebuak ini berpindah-pindah dan ada satu ke dua kawah muncul di hutan milik tanah persendirian di kampung ini, tetapi ia tidak dikomersialkan,” katanya.

Mengenai ciri-ciri lumpur bebuak ini, Mahmud berkata, rasanya agak masin dan teksturnya yang licin memang sesuai untuk dilumur satu badan sebagai ‘masker’, malah dikatakan boleh menjadi terapi untuk menenangkan minda.

Katanya, lumpur itu tidak berdasar kerana apabila berada dalam kawah, pengunjung seakan-akan terapung seperti berada di laut mati.

“Banyak misteri mengenai kewujudan lumpur ini yang belum terungkai termasuk keberkesanannya merawat penyakit.

“Ada penduduk mendakwa mempunyai pengalaman tersendiri apabila lumpur panas berkenaan dikatakan boleh mengurangkan rasa gatal kulit apabila disapu berulang-kali,”katanya.

Keunikan lumpur bebuak ini menjadikan Kampung Meritam lokasi tarikan pelancong terutamanya dari Brunei yang ingin merasai pengalaman berendam dalam lumpur.

credit


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 14-11-2021 08:07 AM | Show all posts




Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

26-4-2024 03:33 AM GMT+8 , Processed in 0.073579 second(s), 32 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list