CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2358|Reply: 2

Manusia hati kejam, semoga kita sama2 memelihara mereka

[Copy link]
Post time 25-10-2021 10:55 AM | Show all posts |Read mode
Manusia hati kejam


KUCING bernama Cantik mati tanpa keempat-empat kaki dipercayai akibat dipatahkan oleh pelaku.

Kuala Lumpur: Semakin ramai tidak berperikemanusiaan dan berhati kejam. Itu rumusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) yang merekodkan sebanyak 278 kes kekejaman terhadap haiwan sejak 2018 hingga tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, daripada jumlah itu, anjing dan kucing paling tinggi menjadi mangsa kekejaman.

Beliau berkata, rekod diperoleh menunjukkan sebanyak 111 kes penganiayaan membabitkan anjing manakala kucing merekodkan 108 kes.

Menurutnya, spesies haiwan lain yang menjadi mangsa kekejaman manusia adalah ayam laga sebanyak 25 kes, ikan laga (25 kes), burung satu kes dan lembu satu kes bagi tempoh sama.

"Malah melalui tindakan penguatkuasaan kes kezaliman dan kebajikan haiwan berdasarkan Akta 647 dan Akta 772, sebanyak RM867,800 jumlah denda dikenakan kepada pesalah sejak 2015.

"Angka ini jelas meningkat apabila apabila denda dikenakan sepanjang tahun lalu sahaja berjumlah RM697,000.

"Tindakan itu diambil hasil daripada 2,740 aduan sejak 2015 hingga tahun lalu. Malah DVS turut melakukan 32,851 operasi sepanjang tempoh sama bagi menghalang kegiatan itu," katanya kepada Harian Metro.

Dr Norlizan berkata, sebanyak 196 kes diperoleh dan disiasat bagi tempoh sama dengan 60 kes berjaya diselesaikan di mahkamah sepanjang tempoh itu.

Beliau berkata, DVS mempunyai kuasa sebagaimana peruntukan mengikut Akta Kebajikan Haiwan (AKH) 2015, termasuklah mempromosi kebajikan haiwan dan pemilikan haiwan yang bertanggungjawab oleh masyarakat.

"DVS juga bertanggungjawab untuk menguatkuasakan peruntukan-peruntukan di dalam AKH untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang mengabaikan keperluan haiwan dan melakukan penganiayaan ke atas haiwan.

"DVS juga menghadapi beberapa cabaran dalam membanteras kes penderaan dan pengabaian haiwan ini kerana budaya ihsan, kebajikan dan kesejahteraan kepada haiwan oleh masyarakat di negara ini masih rendah. Ia belum dapat diterapkan secara holistik," katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan perundangan mengenai jenayah haiwan masih belum dapat menyedarkan rakyat.

"Tiada kefahaman mengenai perundangan (Akta Binatang 1953 dan Akta Kebajikan Haiwan 2015) oleh sebahagian masyarakat juga antara cabaran dihadapi kita.

"Selain itu, pendidikan kebajikan haiwan masih belum diperluaskan di negara ini merangkumi semua kategori dan lapisan masyarakat," katanya.

Selain itu, menurutnya, kempen kesedaran, pendidikan dan promosi kebajikan haiwan memerlukan pembabitan semua pihak.

"Jalinan kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan haiwan, pihak berkuasa tempatan, institusi, jabatan dan agensi kerajaan masih perlu diperkukuhkan," katanya.




Tendang, sepak haiwan boleh dipenjara

Awas jika ada individu yang pernah menyepak, menendang, menakutkan haiwan atau mencacatkan mana-mana anggotanya.

Selain perbuatan ini, tindakan tidak menyediakan makanan antara kesalahan kezaliman dan pengabaian yang boleh menyebabkan individu terbabit didenda atau dipenjara.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, terdapat dua perbezaan utama membabit kes jenayah terhadap haiwan.

Menurutnya, perbezaan adalah antara kes menyebabkan penderitaan dan kematian kepada haiwan serta kes membabitkan pengabaian keperluan kebajikan haiwan yang dimiliki.

"Kes membabitkan perbuatan kejam dilakukan individu dengan sengaja terhadap mana-mana haiwan, sama ada haiwan yang dimiliki atau yang terbiar hingga menyebabkan kesakitan, penderitaan dan kematian kepada haiwan itu.

"Perbuatan ini termaktub dalam Bahagian V Akta Kebajikan Haiwan 2015 iaitu perbuatan fizikal dilakukan ke atas haiwan menyebabkan penderitaan dan kesakitan seperti menyepak, menendang, menakutkan haiwan, melebihkan muatan, mencacatkan mana-mana anggota haiwan semasa haiwan hidup dan mengeluarkan mana-mana bahagian haiwan yang masih hidup.

"Selain itu perbuatan tidak menyediakan makan minum dan tempat perlindungan mencukupi untuk haiwan dimiliki dan apa-apa perbuatan lain yang boleh menyebabkan kesengsaraan dan penderitaan kepada haiwan juga tertakluk pada akta berkenaan," katanya kepada Harian Metro.

Dr Norlizan berkata, kes jenayah haiwan ini juga termasuk tindakan membunuh atau meracun haiwan tanpa sebab munasabah dan kegiatan laga haiwan.

"Sementara itu, kes membabitkan pengabaian keperluan kebajikan haiwan yang dimiliki bermaksud pemilik haiwan gagal menjalankan tanggungjawab munasabah memastikan keperluan haiwan dipenuhi mengikut Seksyen 24 Akta Kebajikan Haiwan 2015.

"Ia termasuk kegagalan pemilik haiwan untuk memastikan keperluan persekitaran yang sesuai kepada haiwan, keperluan diet yang sesuai dan keperluan untuk membolehkan haiwan mempamer corak semula jadi," katanya.

Beliau berkata, pengabaian juga bermaksud keperluan untuk menempatkan haiwan sama ada berasingan atau bersama dan keperluan untuk melindungi haiwan daripada kesakitan, penderitaan, kecederaan dan penyakit.

"Sesiapa sahaja melakukan perbuatan penganiayaan dan pengabaian kebajikan haiwan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.

"Penalti bagi kes penganiayaan kepada haiwan boleh disabitkan mengikut Seksyen 29 (penganiayaan kepada haiwan), Seksyen 30 (Pembunuhan haiwan), Seksyen 31 (Pemberian racun) dan Seksyen 32 (Pelagaan haiwan) boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Katanya, penalti bagi kes pengabaian kebajikan haiwan kepada haiwan pula sekiranya disabitkan mengikut Seksyen 24 Akta Kebajikan Haiwan 2015, boleh didenda tidak kurang daripada RM15,000 dan tidak lebih daripada RM75,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.




Kulit Nuri jadi crispy disimbah minyak panas

Kejamnya! Itu ungkapan terlintas di hati seorang pengasas NGO sejurus melihat seekor kucing yang sedang sarat bunting cedera parah akibat disimbah minyak panas.

Lebih menyedihkan apabila kucing itu yang menjadi mangsa penganiayaan di Taman Angkasa Nuri, Melaka, akhirnya mati selepas tiga minggu dirawat.

Menceritakan detik tragis menimpa haiwan itu, Pengasas Shikin'S Team Animal Rescuer (STAR), Norasikin Ahmad berkata, kejadian itu berlaku pada 2 Januari lalu selepas dia menerima maklumat melalui laman sosial Facebook.

Menurutnya, pengadu memberitahu seekor kucing cedera disimbah minyak panas sebelum dia bergegas ke lokasi.

"Bagaimanapun, kami tidak menemui pelakunya kerana tiada saksi kejadian ketika itu. Perasaan saya ketika itu cukup sedih dan marah kepada orang yang melakukannya.

"Kenapa perlu disimbah minyak panas? Cukuplah sekadar menghalau kucing itu jika membencinya," katanya yang memberikan nama kucing itu sebagai Nuri sempena nama lokasi dia ditemui.

Norasikin berkata, Nuri dirawat di klinik veterinar selama tiga minggu namun tiada tanda-tanda kucing itu akan sembuh susulan kecederaan teruk dialami.

"Sebahagian badannya melecur teruk malah kulitnya turut menjadi crispy (garing) menyebabkan kaki hadapan Nuri terpaksa dipotong kerana sudah tiada sel darah.

"Kos rawatan dianggarkan RM1,500 hasil sumbangan orang ramai yang simpati dengan nasib Nuri," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, lebih menyedihkan kerana ketika kejadian itu Nuri sedang bunting dan keguguran sebelum ia akhirnya mati akibat tidak mampu menahan kesakitan pada 26 Januari lalu.




Sumber:https://www.hmetro.com.my/utama/2021/02/677698/manusia-hati-kejam

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 25-10-2021 02:33 PM | Show all posts
bangsatnya manusia yg kejam kat tk kira le apa2 haiwan pun
Reply

Use magic Report

Post time 6-11-2021 02:39 PM | Show all posts
benda mcm ni sepatutnya vegan, peta, feminist perjuangkan perkasakan undang2 utk kekejaman pada haiwan & poaching haiwan liar bukan protest mencerca & menyumpah penternak daging live stock atau pada kita makan daging lembu dan ayam
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 04:29 PM GMT+8 , Processed in 0.258499 second(s), 29 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list