CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 984|Reply: 1

[Sabah] Lebih 90 etnik dihimpunkan dalam Hari Etnik Sabah

[Copy link]
Post time 23-10-2021 08:33 PM | Show all posts |Read mode


SAMBUT: Joachim (tengah) menyambut ketibaan Juhar pada Majlis Sambutan Hari Etnik Sabah sempena Hari Jadi TYT ke-68 di sini.

KOTA KINABALU: Lebih 90 etnik berjaya dihimpunkan dalam sambutan Hari Etnik Sabah Sempena Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin Ke-68 di sini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata Hari Etnik Sabah adalah satu pengisian baharu dalam sambutan Hari Jadi TYT yang bertujuan untuk meraikan kesatuan dalam kepelbagaian budaya etnik dan toleransi agama di Sabah.

“Buat julung kalinya, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah berjaya menghimpunkan lebih daripada 90 etnik untuk diketengahkan dalam sambutan pada tahun ini.

“Seperti sedia maklum, Sabah adalah sebuah negeri yang berbilang etnik dan memiliki kesatuan dalam membentuk negara maju dan membangun khususnya negeri yang kita cintai ini,” katanya semasa berucap merasmikan majlis terbabit di sini semalam.

Katanya tema utama bagi Sambutan Hari Etnik Sabah untuk tahun ini adalah “Bahasa Orang Asal – Nadiku, Nadi Budayaku”.

Menurutnya pemilihan tema ini adalah selaras dengan tema kempen bahasa sukuan Sabah pada tahun ini dan bersesuaian dengan persediaan dalam memasuki “International Decade of the World’s Indigenous Language (DILA 2022-2032)” yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.

“Tema ini juga adalah selaras dengan usaha memulihara kelestarian bahasa sukuan di Sabah yang kini berada di ambang kepupusan.

“Penglibatan TYT dalam hal ini dapat meningkatkan semangat rakyat dan secara tidak langsung membanggakan rakyat atas keprihatinan beliau dalam menangani masalah yang kian meruncing ini,” katanya sambil menyeru penduduk Sabah untuk memartabatkan bahasa sukuan agar tidak hilang ditelan arus teknologi yang saban hari sentiasa berkembang maju.

Sementara itu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata sambutan Hari Etnik Sabah sebagai salah satu platfom bagi menghargai, meraikan keharmonian, kesatuan dan persefahaman pelbagai etnik Sabah.

Katanya ianya juga adalah hari bersejarah yang ditunggu oleh rakyat Sabah khususnya badan kebudayaan etnik yang sudah sekian lama berjuang untuk memartabatkan kelangsungan budaya di negeri ini.

“Tema Hari Etnik Sabah tahun ini amat bertepatan dengan situasi ketika ini iaitu semasa apabila bahasa ibunda Sabah semakin terhakis dan semakin kurang dipertuturkan oleh generasi muda di bawah 30 tahun.

“Sata juga terharu dengan keprihatinan TYT selaku payung kepada etnik di Sabah yang berkenan untuk memberi pengiktirafan kepada para penggiat bahasa bagi menghargai, memberi galakan serta semangat kepada badan-badan kebudayaan untuk memastikan kelestarian bahasa ibunda dalam kalangan etniknya sendiri,” katanya.

Tambahnya bagi melestarikan lagi Perayaan Hari Etnik Sabah, pihak penganjur menggariskan tujuh pengisian penting dalam perayaan ini iaitu Webinar Bahasa Etnik, Pertandingan Bercerita Dalam Bahasa Etnik bagi Kategori Kanak-Kanak, Pertandingan Lagu-Lagu Etnik, Edisi Khas Duta eCulture Sabah, Perarakan Bendera Dan Lafaz Ikrar Bahasa, Anugerah Penggiat Bahasa Etnik dan Anugerah Utama Penggiat Bahasa.


utusanborneo.com.my/2021/10/23

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 23-10-2021 08:36 PM | Show all posts
Perkasa warisan kebudayaan etnik Sabah



SELAMAT HARI JADI: Juhar memotong kek selepas merasmikan Hari Etnik Sabah. Turut kelihatan Norlidah (dua kanan), Hajiji (dua kiri) serta tetamu kehormat yang lain.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meminta persatuan etnik di Sabah terus membangunkan kebudayaan, adat dan bahasa etnik masing-masing agar tidak pupus oleh arus perkembangan pesat dunia globalisasi.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ini penting agar warisan budaya kepelbagaian etnik di negeri ini akan terus diperkasa dan tidak terpinggir dalam kemodenan serta teknologi masa kini.

Dalam masa sama katanya, Kementerian Pelancongan, Kebudyaaan dan Alam Sekitar serta Lembaga Pelancongan Sabah diminta agar mengambil inisiatif untuk mengenal pasti mana-mana etnik yang mungkin sudah atau semakin pupus di negeri ini tetapi kaya dengan budaya serta adat resam yang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan yang bersejarah.

“Sekurang-kurangnya, etnik itu tidak akan pupus begitu sahaja tanpa diketahui kewujudannya di Sabah.

"Saya percaya masih banyak lagi budaya daripada segi tarian dan muzik pelbagai etnik di negeri ini yang belum diketahui.

“Penduduk Sabah sendiri lebih daripada 30 etnik dengan menggunakan lebih 50 bahasa dan tidak kurang daripada 90 dialek," katanya ketika di Majlis Perasmian Hari Etnik Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Ke-68 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, di sini hari ini.

Hajiji berkata, ia sejajar dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu lebih banyak warisan budaya yang dimiliki ini diketengahkan bukan saja kepada dunia luar tetapi juga anak bangsa kita sendiri yang belum mengetahuinya.

“Tarian seperti limbai, sumazau dan magunatip mungkin sudah diketahui ramai tetapi saya percaya dengan lebih 30 etnik di Sabah, masih banyak lagi warisan budaya lama yang perlu diselongkar, agar tidak pupus ditelan zaman,” katanya.

Majlis itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. Turut hadir ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Hajah Norlidah RM Jasni; Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Haji Kadzim Haji M. Yahya dan isteri, Datin Noraini binti Salleh.

Dalam pada itu, Hajiji berharap generasi muda akan mengambil tahu tentang kebudayaan kaum sendiri bagi membolehkan setiap amalan budaya tradisional terus kekal.

“Kita tidak mahu keprihatinan terhadap sumbangan seni dan budaya sendiri dilihat semakin terhakis oleh arus perkembangan pesat dunia globalisasi.

"Lebih merisaukan apabila kita kehilangan warisan budaya tradisional begitu sahaja kerana tiada pewarisnya,” katanya.

Hajiji berkata, bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dijalankan kerajaan memenuhi tuntutan rakyat khususnya di Sabah, pembinaan dasar kesatuan dalam kepelbagaian etnik secara tidak langsung mampu menjadi tarikan pelancong dari luar.

“Dengan berkonsepkan kesatuan kepelbagaian etnik, maka dapat mengimbangi sektor pelancongan antaranya menerusi persilangan budaya, adat, bahasa sukuan, peralatan muzik tradisional, makanan tradisi dan pakaian etnik.

“Usaha ini dilihat mampu menjadi tarikan dalam sektor pelancongan di negeri ini, kerana pelancongan adalah antara teras utama yang diberi penekanan dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya sambil menambah rakyat Sabah hidup dalam keadaan aman dan harmoni walaupun negeri ini mempunyai lebih 30 dan 217 sub etnik.


utusanborneo.com.my/2021/10/23

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-3-2024 10:10 PM GMT+8 , Processed in 0.062274 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list