CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4388|Reply: 3

Kelab Imam Muda

[Copy link]
Post time 2-8-2010 08:14 AM | Show all posts |Read mode
Misi Kelab Imam Muda
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my
2010/08/02

Asyraf, Hizbur ingin lihat  remaja lebih dekatkan diri kepada agama

SEPULUH peserta musim pertama program pencarian Imam Muda yang berakhir Jumaat lalu, sudah pun mempunyai misi selepas 10 minggu melalui pelbagai ujian sepanjang berada dalam program berkenaan.


Juara sulung program itu, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26, yang ditemui pada majlis sidang media memberitahu, dia serta sembilan rakannya berhasrat menubuhkan sebuah kelab diberi nama Kelab Imam Muda.


Kelab berkenaan ditubuhkan agar mereka dapat mendekatkan diri dengan masyarakat dalam usaha mengajak umat Islam, khususnya golongan remaja supaya lebih mendekati agama. Pada masa sama, kelab itu juga ditubuhkan bagi membolehkan lebih 50,000 peminat program berkenaan yang mengikuti perkembangan mereka melalui fanpage Imam Muda di laman sosial facebook dapat mengikuti pelbagai aktiviti yang bakal dianjurkan secara bersama.

Antara aktiviti yang dirancang termasuk kelab rekreasi, kesenian dan kem motivasi.

Peserta berasal dari Sungai Gelugor, Pulau Pinang yang sedang menyiapkan tesis peringkat Sarjana di Universiti Malaya itu berkata, dia suka mendekatkan diri dengan masyarakat terutama golongan remaja.

“Kami mahu keluar kepada masyarakat dan mahu mendekatkan diri kepada golongan remaja. Saya lebih suka bersikap mesra terhadap mereka sebagai satu cara untuk menggalakkan mereka mendekati Allah dan mengimarahkan masjid,” katanya.
Sementara itu, kemenangan peserta dari Pulau Pinang itu sememangnya sudah dijangka sebaik saja dia dan seorang lagi peserta, Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27, dipilih sebagai peserta peringkat akhir.

Keyakinan diri tinggi serta pandangan luas anak muda itu memberi kelebihan kepadanya mendahului pencabar. Sejak awal siaran peringkat akhir pertandingan yang berlangsung di Dewan Muktamar Kompleks Pusat Islam, markah Asyraf sentiasa mendahului Hizbur.

Kemenangan itu melayakkan Asyraf menerima hadiah tawaran kontrak Imam Ratib di salah sebuah masjid di ibu kota, biasiswa pakej ‘berlian’ pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi, pakej menunaikan haji dan umrah, kereta Proton Exora serta wang tunai RM20,000, selain trofi, sijil penyertaan dan kad tauliah.

Hadiah disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Kejayaan dijulang sebagai juara memang membanggakan, tetapi menurutnya, ada tanggungjawab besar yang menantinya selepas ini.

Kata anak muda itu lagi, dia juga bimbang seandainya populariti akan membuatkannya jatuh tertiarap.

“Kegembiraan saya bukan disebabkan kejayaan bergelar juara, tetapi saya bangga melihat kejayaan program ini yang berjaya sampai ke telinga masyarakat di seluruh dunia. Sasaran semua peserta Imam Muda bukanlah kepada kejayaan individu, tetapi kami mahu melihat kejayaan masyarakat Islam dan agama itu sendiri.

“Kejayaan program ini memecahkan tradisi sebenarnya turut membuatkan kami berasa bimbang. Kami takut, kami sendiri tidak mampu untuk memecahkan tradisi selepas ini. Siapa tahu mungkin selepas ini kami akan jatuh tertiarap,” katanya.

Format pemarkahan program itu dipecahkan kepada tiga bahagia dengan 50 peratus markah dinilai berdasarkan ujian bertulis yang diadakan di dalam kelas, 20 peratus lagi dinilai ketika mereka melakukan aktiviti di kampung halaman masing-masing manakala 30 peratus lagi dihasilkan pada peringkat akhir yang dinilai oleh mudir (pengetua), Datuk Hassan Mahmood, dibantu dua mursyid (tenaga pengajar) iaitu Ustaz Shahrizan Daud dan Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang, bersama-sama dua lagi wakil dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Sementara itu, naib juara Imam Muda, Hizbur pula memenangi hadiah wang tunai RM15,000, hadiah pakej ‘emas’ pengajian ke Universiti Antarabangsa Al Madinah, pakej umrah, pakej percutian 4 hari 3 malam ke Bandung dan pakej perabot jati bernilai RM7,000.

Semua peserta layak ke Madinah

PADA malam peringkat akhir itu, Astro Oasis membuat kejutan apabila hosnya Ustaz Dzulkarnain Hamzah, mengumumkan bahawa biasiswa pengajian tidak hanya ditawarkan kepada dua finalis, sebaliknya kesemua lapan peserta Imam Muda yang lain turut menerima biasiswa melanjutkan pelajaran ke Universiti Antarabangsa Al Madinah.

  Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, peserta diberi kebebasan menentukan tarikh pengajian mereka.

  Katanya lagi, Asyraf pula hanya akan memulakan tugas sebagai imam selepas pengajiannya di Madinah tamat. Bagaimanapun, masjid yang bakal menerima khidmatnya hanya akan diketahui kemudian setelah perbincangan dengan dengan pihak Jawi diadakan.

Sementara itu, Asyraf pula berkata, dia belum mempunyai tarikh untuk berangkat ke Madinah kerana fokusnya kini adalah untuk menamatkan pengajian di UM terlebih dulu, yang ketika ini masih tertangguh.

“Saya bercadang mahu menghabiskan pengajian di UM terlebih dulu, selepas itu barulah saya akan memikirkan mengenai pengajian di Madinah. Selama berada di dalam Imam Muda, saya tak pernah memikirkan apa yang akan berlaku kepada hidup saya. Bagi saya ganjaran yang diberikan adalah satu bonus,” katanya.

Peserta dari Baling, Kedah, Hizbur juga mahu menamatkan pengajian tahun akhir peringkat Sarjana Muda Syariah di Universiti Al Azhar Mesir terlebih dulu, sebelum memutuskan untuk ke Madinah.

“Saya akan kembali ke Mesir untuk menghabiskan pengajian yang masih berbaki dua subjek. Sebaik saja pengajian di sana tamat, saya akan terus ke Madinah dan insya-Allah sekiranya diizinkan tuhan, saya mahu membawa isteri bersama kerana saya rasa sudah terlalu lama meninggalkannya sepanjang mengikuti program ini,” katanya.

Program realiti yang pertama kali diperkenalkan oleh Astro Oasis itu mendapat liputan pelbagai media antarabangsa. Antara media yang memberikan sokongan ialah BBC World, CNN, Al-Jazeera, Reuters, majalah Der Spiegel dari Jerman dan akhbar International Herald Tribune, New York.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 2-8-2010 05:50 PM | Show all posts
wow..terbaik lah prog imam muda even being reported from international channel..well done
Reply

Use magic Report

Post time 3-8-2010 11:58 AM | Show all posts
bestnye blaja kat university madinah.. boleh lawat rasulullah hari2
Reply

Use magic Report

Post time 3-8-2010 03:21 PM | Show all posts
alhamdulillah..moga2 program sebegini terus dapat sambutan di kalangan masyarakat kita
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

20-4-2024 04:32 AM GMT+8 , Processed in 0.069322 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list