CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6397|Reply: 3

Sukarelawan Yayasan As-Siddiq (YAS)

[Copy link]
Post time 30-6-2008 10:39 AM | Show all posts |Read mode
Ketuk pintu cari orang susahOleh AHMAD SYAKIR SAZILI


Kumpulan sukarelawan YAS lain pernah mengharungi anak sungai,mendaki bukit dan meredah kawasan semak, semata-mata untuk mengesanindividu daif selain menyerahkan bantuan kepada mereka.



Mereka terdiri daripada pesara kerajaan, bekas jururawat danpelbagai profesion lain. Yang pasti, usia emas tidak pernah menghalangkerja amal mereka walaupun perlu meredah semak samun dan anak sungai.

JAM di tangan tepat pukul 9.15 pagi. Ketika inilah kenderaan pacuanempat roda, Perodua Kembara berwarna hitam yang dikemudi Zainun NaemahZainun Nasir, 56, mula membelah kesibukan bandar Taiping, Perak.

Seperti hari-hari sebelumnya sejak tiga tahun lalu, lokasi yangdituju adalah di ceruk-ceruk kampung di sekitar kawasan ParlimenTaiping dan Bukit Gantang.

Kelibat Zainun bersama tiga lagi rakan karibnya, Jannah Mat Isa, 56,Maznah Musa, 50, dan Ramlah Yusoff, 60, kini bukanlah asing bagipenduduk di dua kawasan Parlimen berkenaan, malahan pada kebanyakanmasa, kehadiran mereka sememangnya dinanti-nanti banyak pihak.

Bergelar sukarelawan di sebuah pertubuhan kebajikan tempatan,Yayasan As-Siddiq (YAS), mereka berempat begitu bersemangatmenghulurkan bantuan. bagi sesiapa yang pertama kali bersua wajahdengan empat wanita ini, pasti tidak percaya apa yang dilakukan merekaitu semuanya secara sukarela.




Pelawaan mengikuti jelajah empat sahabat ini masuk dari sebuahkampung ke sebuah kampung lain bagi mencari individu yang memerlukanbantuan baru-baru ini diterima penulis dengan penuh teruja.

Peluang mendekati tugas sukarelawan terlibat nyata bukan sembarangandan pada mulanya, penulis menyangka program ini mudah dilakukan. Namun,hampir 60 minit kemudiannya, penulis mula merasai sebaliknya. Selepassejam menjelajah berjalan kaki keluar masuk kampung, peluh mulamembasahi kemeja biru yang dikenakan.
Banyak ketikanya, mereka tanpa perasaan malu dan segan mengetukpintu rumah penduduk dan mula bertanyakan, adakah terdapat golongandaif di kampung berkenaan yang memerlukan perhatian dan bantuan.

"Bukan mudah nak cari orang susah yang layak diberikan bantuan dikampung-kampung kerana YAS sendiri tidak mempunyai maklumatmengenainya. Namun, kita sendiri tiada cara lain untuk mendapatkannya,selain menjengah sendiri dari rumah ke rumah meskipun ia memenatkan,"jelas Ramlah, ketua kumpulan sukarelawan ini.
Menurut Ramlah, misi mengenal pasti keluarga miskin memerlukankomitmen yang tinggi kerana ia merupakan proses utama dalam penyaluranbantuan.

SUKARELAWAN YAS, Jannah Mat Isa membantu sepasang suami isteri yang berkerusi roda mengisi borang.

Adakala ujarnya, individu daif yang mereka temui langsung tidakdisedari kedaifan yang dideritai oleh penduduk sekitar. Bahkan, ketuakampung sendiri tidak menyedarinya menyebabkan tiada pihak tampilmenghulurkan bantuan yang sewajarnya.

"Selain menjelajah ke setiap rumah, kadangkala kami cuba menagihbantuan ketua-ketua kampung mengenai penduduk daif di kampung-kampungmereka, namun apa yang menyedihkan, respons yang diberikan langsungtidak membantu.

"Ada yang mendakwa kampung yang diketuai mereka semuanya okey,penduduk hidup senang dan sebagainya tetapi hakikatnya, jumlah yangmemerlukan bantuan sememangnya banyak," katanya yang merupakan bekaskakitangan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Kemajuan Negara (LPPKN).

Menurut Ramlah, sebagai pertubuhan amal, YAS membuka pintunya kepadasesiapa sahaja tanpa mengira status usia mahupun kecenderungan politik.

Mengakui menghadapi banyak cabaran sejak menggalas tanggungjawabsebagai sukarelawan sejak YAS ditubuhkan tiga tahun lalu, penerimaanmasyarakat terutama yang mengaitkan pertubuhan amal itu dengan agendatertentu nyata memedihkan.
"Kita bekerja secara ikhlas. Apabila ada yang mencemuh, iasebenarnya menguatkan lagi semangat untuk kami menjelajah ke segenapkawasan.

"Pastinya, liku-liku sebagai sukarelawan ini amat manis untukdikenang kerana setiap bantuan yang berjaya dihulurkan merupakankejayaan yang sangat bermakna," katanya.

Ujarnya, beliau dan kumpulan sukarelawan YAS lain pernah mengharungianak sungai, mendaki bukit dan meredah kawasan semak, semata-mata untukmengesan individu daif selain menyerahkan bantuan kepada mereka.

Pada hari tersebut, berbekalkan maklumat yang disampaikan olehbeberapa penduduk sekitar, dua kes baru berjaya dikesan oleh kumpulansukarelawan ini di Kampung Air Terjun, kira-kira 35 kilometer daribandar Taiping.

Kediaman pasangan warga emas, Yusoff Shafie, 70, dan isterinya,Kamariah Lebai Saad, 69, yang kedua-duanya lumpuh masing-masing sejaklapan dan 18 tahun lalu dijengah.

FATIMAH Ali mengangkat anaknya, Mat Fauzi Sabli yang cacat sejak lahir.

Mereka yang tinggal berdua di rumah berkenaan hidup dalam serbakekurangan dek keterbatasan pergerakan yang hanya dibantu kerusi roda.

Menurut Kamariah, mereka bergantung hidup dengan bantuan bulananRM300 yang disalurkan oleh JKM kepadanya. Manakala suaminya pulasehingga kini tidak menerima sebarang bantuan seumpamanya.

"Kami ada dua orang anak tetapi kedua-duanya sudah berkeluarga.Mereka pun hidup susah dan sekadar cukup makan bagi menanggung keluargamasing-masing. Dengan wang RM300 inilah, kami pakai untuk beli ubat danlampin pakai buang. Kerusi yang digunakan ini juga dibeli sendiri hasilsimpanan sedikit demi sedikit bantuan tersebut," katanya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 30-6-2008 10:39 AM | Show all posts
Kes kedua pula melibatkan seorang ibu tunggal, Fatimah Ali, 65, yang secara sendirian memelihara anak sulungnya yang cacat sejak dilahirkan, Mat Fauzi Sabli, 44.

Dengan bantuan yang diperoleh daripada Baitulmal Perak sebanyak RM100 sebulan dan RM135 daripada JKM, jumlah itu tidak cukup untuk kehidupan dua beranak ini.

Butiran diri pasangan suami isteri dan dua beranak ini direkodkan dan bentuk bantuan yang diperlukan mereka dicatat dalam buku log YAS yang sentiasa dikemaskini.

"Kebiasaannya, bantuan yang diberikan berupa bekalan makanan keperluan seperti sekampit beras, barangan asas dapur, biskut dan sebagainya. Bantuan yang lebih spesifik seperti lampin pakai buang juga diberikan, bergantung kepada jenis saiz yang digunakan individu terlibat," kata Jannah, bekas jururawat terlatih yang bertindak sebagai jururekod pada hari tersebut.

Penjelajahan mencari kes baru pada hari berkenaan bagaimanapun dihentikan sekitar pukul 12 tengah hari bagi membolehkan urusan penyerahan bantuan kes-kes sedia ada dilaksanakan.

HABIDI ZAIN bersama beberapa sukarelawan YAS memberi bantuan kepada seorang warga emas miskin Nab Kassim.

Hampir saban hari, anggota sukarelawan ini akan membawa 10 hingga 15 kampit beras lima kilogram setiap satunya beserta set keperluan dapur yang akan diagih-agihkan kepada penerima.


"Bantuan ini disalurkan sebulan sekali bagi setiap penerima dan ia diagihkan berdasarkan tarikh agihan yang telah ditetapkan. Apa yang menarik, YAS juga bersedia menyalurkan bantuan lain yang berkaitan seperti set cermin mata kepada penduduk miskin," kata Maznah, yang menguruskan hal ehwal agihan bantuan.

Benar seperti diperkatakan, pada tengah hari itu, sepasang cermin mata telah diserahkan kepada pelajar tingkatan dua, Mohd. Ramadhan yang menghadapi masalah rabun jauh yang menyukarkannya mengikuti pelajaran di kelas dan melakukan ulang kaji di rumah.

Mohd. Ramadhan yang beberapa hari sebelumnya telah dibawa ke sebuah pusat optikal di pekan berhampiran bagaimanapun telah berangkat ke sekolah dan set cermin mata itu diserahkan kepada bapanya, Mohd. Zabidi Harunzaman, 50.

"Saya menyara keluarga dengan menjual kuih muih di sekitar kawasan ini dan purata pendapatan sekadar RM15 sehari. Bantuan cermin mata ini sangat disyukuri.

Kunjungan ke lapan buah kediaman selepas itu termasuk sebuah rumah ibu tunggal warga emas yang langsung tidak mempunyai pendapatan tetap nyata menyentuh hati penulis.

"Mak cik bergantung hidup dengan menjual buah pinang kering yang gugur di belakang rumah. Jika cuaca panas dan pinang semuanya kering dalam tempoh lima hari, dapatlah mak cik RM1.80 bagi sekilogram. Sekali jual dapatlah dua hingga tiga kilogram," kata Nab Kassim, 70, yang menetap di Kampung Pak Dollah.

Nab memberitahu, dirinya dikatakan tidak layak menerima apa jua bentuk bantuan JKM mahupun Baitulmal kerana tidak 'termasuk' dalam kategori penerima meskipun dirinya dihimpit kemiskinan.

Sementara itu, kunjungan YAS ke sebuah rumah yang didiami Sajit Dollah, 36, bersama isteri dan tujuh anaknya yang kini menanti hari untuk runtuh keseluruhannya akibat hakisan sungai nyata menyedihkan.

MOHD ZABIDI HARUN ZAMAN menunjukkan cermin mata yang diberi oleh YAS kepada anaknya yang memerlukan bantuan.

"Saya yang tidak ada kelulusan hanya bekerja kampung dan rumah yang didiami sekarang memang tidak lagi selamat, namun apalah pilihan kami?

"Kerajaan minta kami pindah tetapi pampasan terlalu sedikit, langsung tidak cukup untuk bayar sewa rumah lain," kata Sajit yang turut menerima bantuan makanan dan lampin pakai buang untuk anak bongsunya yang baru dilahirkan minggu lalu.

Nasib Sajit pada petang itu, bagaimanapun berubah selepas ditawarkan yayasan berkenaan membersihkan kawasan ladang yang terletak tidak jauh dari rumahnya sekarang.

Yang pasti, peluang menjelajahi ceruk-ceruk kampung mendekati individu kurang bernasib baik bersama empat wanita berhati cekal ini sememangnya sangat bermakna.

Biarpun ketika itu, masih berbaki 15 minit sebelum pukul 4 petang, namun keempat-empat mereka kelihatan masih bersemangat menyemai bakti.

Bagi mereka, tiada langsung istilah penat mahupun putus asa dalam diri dan penjelajahan demi membawa sinar harapan ini akan diteruskan sampai bila-bila.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-6-2008 10:42 AM | Show all posts
Bantu sampai ke universiti

Penubuhan YAS bukanlah untuk menidakkan peranan yang dimainkan oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat mahupun Baitulmal tetapi lebih kepada melengkapi apa yang tercicir.



PENGASAS Yayasan As-Siddiq, Habidi Zain(tengah) bersama empat sukarelawan YAS, Ramlah Yusuff (paling kiri) Jannah Mat Isa, Zainun Naemah Zainun Nasir dan Maznah Musa ketika menyampaikan bantuan kepada seorang kanak-kanak cacat.

BAGI Habidi Zain, Yayasan As-Siddiq (YAS) yang diasaskannya tiga tahun lalu tidak lebih sekadar medium untuknya membantu meringankan beban masyarakat miskin dan daif.

Malah, katanya tiada sebab sekiranya nikmat rezeki yang dikurniakan Allah kepadanya tidak dikongsi bersama golongan tersebut.

Ujarnya, apa yang dilakukannya itu sebenarnya sangat kecil dan tidak perlu diperbesar-besarkan.

"YAS merupakan cara terbaik saya mendekati masyarakat kurang bernasib baik bahkan melalui yayasan ini, saya berupaya merealisasikan apa yang sebelum ini dianggap mustahil dilakukan iaitu mengesan dan menghulurkan bantuan seadanya kepada mereka yang tercicir daripada pengetahuan pihak berwajib," katanya kepada Kosmo!.

Menurut Habidi, sepanjang tiga tahun penubuhannya, YAS sehingga kini berjaya mengesan dan membantu lebih 170 kes di seluruh kawasan Parlimen Taiping dan Bukit Gantang. Namun katanya, jumlah itu adalah sekadar satu per empat keseluruhan golongan berkenaan di dua kawasan Parlimen berkenaan.

HABIDI ZAIN berbual dengan seorang warga emas miskin yang menjual buah pinang sebagai sumber pendapatannya.

"Banyak kes yang masih belum dikenal pasti tetapi ada juga selepas YAS bantu, agensi berkaitan tampil memberi perhatian," katanya.

Katanya, penubuhan YAS bukanlah untuk menidakkan peranan yang dimainkan oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mahupun Baitulmal tetapi lebih kepada melengkapi apa yang 'tercicir'.

"Kita bukanlah nak menyaingi agensi berkenaan jauh sekali untuk menggantikan peranan yang dimainkan mereka. YAS sekadar membantu dan sekiranya individu terlibat sudah mendapat perhatian daripada agensi berkaitan, bantuan yang diterima akan dihentikan dan disalurkan kepada individu-individu baru," katanya.

Beliau yang merupakan Pengerusi Eksekutif Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Manjung, Perak berkata, sehingga sekarang terdapat lebih 100 sukarelawan YAS di dua kawasan Parlimen berkenaan yang bertindak membantu mengesan kes-kes baru di kampung-kampung mereka.

"Sebagai individu yang menetap di Taiping, menjadi tanggungjawab saya membantu masyarakat miskin di kawasan sekitar saya sebelum mengembangkan ke kawasan-kawasan lain.

BERSAMA salah satu keluarga miskin semasa penjelajahan sukarelawan YAS dari satu kampung ke kampung untuk memberi bantuan di sekitar Taiping.

"Atas sebab itulah, apabila segenap pelosok Taiping sudah dijelajah dan dikenal pasti, barulah kami bergerak ke Bukit Gantang yang terletak bersebelahannya," katanya.

Mengimbas sejarah penubuhan YAS, Habidi menjelaskan, komitmen Ramlah Yusoff dan pasukannya yang beria-ia mahu menubuhkan kumpulan sukarelawan membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik berjaya membuatkannya terus bersetuju untuk berganding bahu merealisasikan hasrat berkenaan.

"Saya sememangnya berhasrat melakukan sesuatu demi kebaikan masyarakat dan konsep yang dicadangkan Ramlah sangat bertepatan dengan perancangan saya," katanya.

Jelasnya, selaras dengan maksud As-Siddiq iaitu yang benar, yayasan berkenaan sentiasa memastikan setiap kes ditangani dengan adil, telus dan cekap demi memastikan setiap yang berhak mendapat bahagian mereka sewajarnya.


"Saban bulan, YAS memperuntukkan sejumlah peruntukkan bagi tujuan membeli keperluan asas berkenaan dan katanya, peningkatan harga bahan api dan barangan kebelakangan ini tidak akan menjejaskan jumlah bantuan yang disalurkan kepada para penerima," katanya.

Selain itu, beliau sendiri tidak keberatan membantu mana-mana keluarga kurang berkemampuan untuk menghantar anak-anak mereka melanjutkan pengajian dan katanya, kedaifan hidup tidak seharusnya menjadi penghalang kepada mereka untuk menuntut ilmu.

"Kes pertama ditangani YAS misalnya, Siti Fazlina Asri, 23, adik perempuan kepada tiga beradik cacat, Mohd. Arbain, 32, Mohd. Isa, 25, dan Mohd Ali, 24, di Kampung Boyan, Taiping yang disiarkan Kosmo! pada November 2006 lalu. Beliau kini tinggal separuh jalan sahaja untuk menamatkan pengajian sebelum bergelar jururawat terlatih.

"Fazlina kini berada di semester tiga di Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Manjung.

"Semua yuran berkaitan dan kos sara hidup ditanggung sepenuhnya oleh YAS dan kami tidak mahu mensiakan masa depan anak-anak meskipun dilahirkan dalam keluarga yang susah," tambahnya. - AHMAD SYAKIR SAZILI
Reply

Use magic Report

Post time 8-7-2008 11:22 PM | Show all posts
Penubuhan YAS bukanlah untuk menidakkan peranan yang dimainkan oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat mahupun Baitulmal tetapi lebih kepada melengkapi apa yang tercicir.


bagus ler ada persatuan cam nih.. harap akan ada lebih banyak persatuan serupa macam YAS nih kan..
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 01:23 PM GMT+8 , Processed in 0.982125 second(s), 29 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list