Namun di dalam kelainan kesan perjalanan masa itu, masih ada suatu persamaan yang terus berlaku kepada senda gurau dan perbualan kami.
Apabila kami menyentuh soal tekanan ke atas umat Islam di Turki, lazimnya ia berakhir dengan sepi sejenak, masing-masing merenung lantai dan mengesat air mata sebelum melepaskan nafas dalam yang menyesakkan dada. Terdiam, tergamam dan hanya pada Allah sahaja, perasaan yang bercampur aduk itu disandarkan.
Semua sahabat saya mengalami nasib yang sama. Mereka menceburi bidang perniagaan walaupun tanpa minat dan menyanggah kecenderungan. Ini adalah gara-gara pelbagai sekatan yang dikenakan oleh kerajaan demi memastikan graduan Ilahiyat (Pengajian Islam atau Teologi Ketuhanan) terseksa hidup, bukan sahaja semasa di fakulti semasa belajar, malah sepanjang hayat selagi nyawa dikandung badan. Tiada kerja yang boleh dipohon, sekolah-sekolah Tahfiz dan Imam Hatip ditutup, manakala jawatan-jawatan lain, sudah sampai ke peringkat mustahil untuk diperolehi. Namun, hidup mesti diteruskan, mereka menceburi perniagaan demi mencari rezeki yang halal dan Alhamdulillah, nampaknya masing-masing mempunyai kehidupan yang bolehlah dikatakan baik.