CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1503|Reply: 0

[Kedah] Warga emas terima sumbangan katil

[Copy link]
Post time 3-10-2021 01:58 PM | Show all posts |Read mode
Warga emas terima sumbangan katil[size=0.8][size=0.9]Izad Thaqif Hassan
am@hmetro.com.my


Pasukan sukarelawan Pengurusan Jenazah Percuma Hang Cangkul Madad mengangkat katil hospital wakaf yang disumbangkan kepada warga emas di Sungai Petani kelmarin. Foto Ihsan Pembaca



Sungai Petani: Tangisan gembira seorang warga emas yang menerima katil hospital mengundang sebak kepada pasukan sukarelawan Pengurusan Jenazah Percuma Hang Cangkul, Murtadha Dakwah Centre (Madad) yang menyerahkan katil terbabit di rumah lelaki berkenaan di Jalan Mawar 1 dekat sini, kelmarin.

Walaupun dalam keadaan terlantar serta tidak boleh bertutur dengan baik namun lelaki terbabit, Sabarudin Mat Isa, 60, sedaya upaya cuba untuk mengucapkan terima kasih kepada semua anggota pasukan sukarelawan berkenaan sehingga membuatkan dia terharu dan menangis.

Sabarudin ketika itu hanya mampu menarik tangan ketua operasi pasukan sukarelawan, Muhammad Ridzuan Osman beberapa kali sambil menangis membuatkan anggota pasukan sukarelawan lain turut menitiskan air mata.

Sumbangan katil hospital itu memang sangat dinantikan lelaki warga emas terbabit kerana dia yang mempunyai penyakit darah tinggi, jantung dan kencing manis hanya terlantar di katil bujang sejak enam bulan lalu selepas diserang sawan.

Sebelum ini, katil bujang itu digunakan membuatkan Sabarudin yang terpaksa makan melalui tiub dalam keadaan baring kerap dikejarkan ke hospital kerana tersedak susu hingga muntah darah.

Ini kerana dia tidak mampu dibantu untuk duduk dengan baik ketika makan berikutan ibunya, Som Ahmad, 84, sudah uzur manakala adik lelaki pula Mohd Zaki Mat Isa, 41, terpaksa mengurus dan mencari pendapatan untuk menampung keperluan ibu dan abang sulungnya itu.

Sabarudin sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga namun bercerai dengan isteri yang enggan menjaganya selepas mengetahui dia mempunyai pelbagai penyakit dan mereka tidak mempunyai anak.

Menurut Mohd Zaki, dia mencari pendapatan dengan menjual roti canai serta nasi lemak di depan rumah mereka sekali gus tidak sempat memberi perhatian penuh kepada ibu serta abangnya.

"Sejak mendirikan rumah tangga dua tahun lalu, saya terpaksa berjauhan dengan isteri yang tinggal di Kelantan dan hanya beberapa kali sempat bertemu.

"Mujur isteri faham dan dia juga yang turut memberi sokongan supaya saya mengutamakan ibu serta abang yang sakit kerana tiada sesiapa mampu menjaga mereka di rumah ketika ini," katanya yang berkahwin kali kedua selepas isteri terdahulu meninggal dunia lapan tahun lalu.

Menurutnya, dia sebelum ini memang mengumpul wang untuk membeli katil hospital bagi memberi keselesaan kepada Sabarudin namun bersyukur kerana menerimanya secara percuma hasil sumbangan pasukan sukarelawan Pengurusan Jenazah Percuma Hang Cangkul Madad.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada mereka yang sudi memberi sumbangan katil ini kerana jika mahu kumpul wang hasil menjual nasi lemak dan roti canai mungkin akan mengambil masa lama

"Lagipun, wang hasil perniagaan ini banyak digunakan untuk membeli keperluan ibu serta abang dan saya tidak boleh mencari kerja lain kerana sukar mahu meninggalkan mereka dalam keadaan sekarang," katanya.

Sementara itu, Muhammad Ridzuan berkata, setakat ini pihaknya sudah mempunyai 25 katil hospital yang diwakaf dan turut mengalu-alukan kepada sesiapa yang ingin menyumbang katil hospital berkenaan untuk diberi kepada mereka yang memerlukan.

"Pada peringkat permulaan, saya mengeluarkan wang sendiri untuk membeli lima katil hospital baru dengan semuanya sudah diserahkan kepada mereka yang memerlukan.

"Namun, selepas itu kami mula menerima katil hospital wakaf yang disumbang ahli keluarga pesakit yang meninggal dunia atau sudah tidak memerlukannya lagi," katanya.

Disiarkan pada: Oktober 3, 2021 @ 12:29pm






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 09:46 PM GMT+8 , Processed in 0.086276 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list