CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2487|Reply: 0

Tanda amaran kenal pasti keganasan rumah tangga

[Copy link]
Post time 1-9-2021 10:25 PM | Show all posts |Read mode
Tanda amaran kenal pasti keganasan rumah tangga



KUALA LUMPUR: Kehilangan pekerjaan, pengangguran dan masalah kewangan yang dihadapi akibat penularan COVID-19, antara faktor menyebabkan peningkatan kes keganasan domestik sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menerima hampir tiga kali ganda kes keganasan rumah tangga, sejak PKP bermula tahun lalu berbanding pada 2019.

Pegawai Advokasi Kanannya, Rusni Tajari, Rusni, berkata WAO menerima 1,474 kes mengenai keganasan rumah tangga pada 2019, manakala 3,159 kes (2020) dan 1439 kes sepanjang Januari hingga Jun lalu.

Katanya, pelaksanaan PKP menyebabkan mangsa terperangkap di dalam rumah dengan pendera sekali gus menyukarkan mereka untuk mendapatkan bantuan dan pertolongan.

Faktor itu tidak sepatutnya digunakan bagi 'membenarkan' kes keganasan rumah tangga terus berlaku sepanjang tempoh ini.

"Kes keganasan rumah tangga dan keganasan berasaskan gender mempunyai hubung kait sangat rapat dengan kuasa dan kawalan pendera terhadap mangsa atau pemandiri.

"Keadaan itu digunakan bagi mengawal dan meletakkan mereka dalam ketakutan.

"Peningkatan kes keganasan domestik mungkin disebabkan pelbagai faktor seperti masalah kewangan, pengangguran, kehilangan kerja tetapi ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan atau penyebab keganasan," katanya kepada BH.

Rusni berkata, kebiasaannya sukar wanita mengetahui mereka berada dalam perhubungan yang mendera terutama jika penderaan itu tidak bersifat fizikal.

Bagaimanapun, terdapat beberapa 'red flag' atau tanda amaran boleh dijadikan panduan.

Katanya, pertama ialah wanita perlu bertanyakan soalan sama ada mereka takut atau perlu sangat berhati-hati dengan perkataan dan tindakan apabila bersama pasangan.

"Kenal pasti sama ada pasangan bersikap begitu sehingga anda tidak benarkan keluar rumah, berjumpa dengan keluarga atau rakan serta diugut contohnya mahu mengambil telefon bimbit atau memotong elaun dan sebagainya.

"Adakah terdapat ketidakseimbangan kuasa dalam hubungan? Jika anda mengalaminya itu adalah satu bentuk tanda amaran atau 'red flag'," katanya.

Bagi mangsa yang enggan 'keluar' mendapatkan bantuan seharusnya orang di sekeliling memainkan peranan dengan membantu mereka.

Antara kaedah boleh dilakukan ialah dengan mengenal pasti keganasan atau penderaan yang berlaku serta beri sokongan kepada mangsa.

"Buat rujukan kepada agensi yang boleh memberi sokongan menyeluruh kepada pemandiri," katanya.

Menurut Rusni, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyediakan perkhidmatan secara percuma dan rahsia kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan.

"WAO umpamanya memberi khidmat nasihat kes sama ada melalui telefon atau aplikasi WhatsApp serta perkhidmatan kaunseling dan sokongan krisis dijalankan secara maya, selain menyediakan tempat perlindungan sementara.

"WAO juga bergiat aktif dalam advokasi bertujuan menambah baik dasar awam dan undang-undang dalam memastikan kesaksamaan gender.

"Melalui cara itu, WAO percaya kita mampu mengubah cara fikir masyarakat dan menghapuskan keganasan yang dilakukan terhadap wanita," katanya.

Bagaimanapun, disebabkan peningkatan kes penderaan terus berlaku, ketika PKP, WAO meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau agensi berkaitan, membuat beberapa penyelarasan yang bersesuaian.

Ini termasuk memberi pengecualian kepada untuk mangsa keganasan rumah tangga bergerak melebihi 10 kilometer (km) bagi tujuan ke balai polis, hospital atau tempat yang selamat.

Sebarang perubahan prosedur operasi standard (SOP) dalam saluran bantuan mangsa keganasan rumah tangga perlu dimaklumkan kepada semua pegawai barisan hadapan dan masyarakat.

"Kerajaan juga perlu membuat pesanan khidmat masyarakat termasuk hantaran sistem panggilan ringkas (SMS) ketika pengumuman harian oleh MKN, menteri, berita dan media sosial.

"Pesanan khidmat masyarakat perlu merangkumi mesej keganasan rumah tangga adalah salah di sisi undang-undang dan mangsa berhak mendapat pertolongan walaupun ketika tempoh PKP.

"Hebahan mengenai sebarang perubahan prosedur contohnya proses permohonan perintah perlindungan interim (IPO) serta kemasukan ke One Stop Crisis Centre (OSCC) yang masih beroperasi dan boleh menerima mangsa," katanya.

Sumber:https://www.bharian.com.my

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 01:58 PM GMT+8 , Processed in 0.075142 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list