Petugas kesihatan menyuntik vaksin COVID-19 kepada peniaga dan penjaja serta pekerja warga asing pada program Mobilisasi Vaksinasi Komuniti Penang Vaksinasi Penjaja di Stadium Bandar Raya Pulau Pinang. - Foto NSTP/MIKAIL ONG
KUALA LUMPUR: Majikan tidak mempunyai punca kuasa untuk memaksa kakitangan mengambil vaksin COVID-19.
Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin, berkata ada pihak memaksa pekerja kerana mahu mereka dilindungi dari jangkitan COVID-19 dan persekitaran tempat kerja selamat, namun itu mungkin diskriminasi dalam sektor pekerjaan.
Beliau berkata, paksaan ialah langkah tidak wajar pada waktu ini kerana tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19, terhadap mana-mana individu.
"Majikan tidak mempunyai punca kuasa untuk memaksa pekerja menerima pelalian ini.
"Peruntukan Seksyen 24 Akta Keselamatan dan Kesihataan Pekerjaan (AKKP) 1994 menuntut majikan memastikan keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain di tempat kerja.
"Tetapi peruntukan itu tidak seharusnya diperluas kuasanya untuk mewajibkan vaksinasi di tempat kerja. AKKP 1994 tidak pernah memperuntuk apa-apa syarat vaksinasi di dalam akta berkenaan.
"Oleh itu, MSOSH berpandangan Seksyen 24 AKKP 1994 tidak boleh digunakan untuk mewajibkan vaksinasi di tempat kerja," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Shawaludin berkata, MSOSH bimbang dengan langkah diambil majikan atau kerajaan untuk memaksa pekerja divaksinasi tanpa punca kuasa yang jelas boleh memburukkan lagi keadaan.
Katanya, tindakan itu akan mencetuskan persepsi tidak baik terhadap program imunisasi kebangsaan.
Beliau berkata, pihaknya mencadangkan kerajaan mengambil jalan tengah iaitu meneruskan kempen kepada rakyat dan pekerja secara proaktif.
"Walaupun vaksin masih lagi dianggap sebagai pilihan peribadi, MSOSH sangat menggalakkan pekerja untuk mendapatkan vaksinasi, demi melindungi diri dan keluarga. Perlu diingatkan juga, hak bekerja satu dari hak asasi manusia.
"Data di Malaysia dan negara lain menunjukkan program vaksinasi COVID-19 berjaya mengekang wabak ini.
"MSOSH berharap kerajaan dan majikan akan terus memberi dorongan dan pemahaman berterusan yang berkesan untuk meningkatkan kadar vaksinasi COVID-19 negara," katanya.