CARI Infonet

 Forgot password?
 Register
Search
Carian Terbanyak:
View: 942|Reply: 0

Teknik pernafasan ibu hamil

[Copy link]
Post time 5-8-2021 10:13 PM | Show all posts |Read mode
Teknik pernafasan ibu hamil



TEKNIK pernafasan ringan dan pantas apabila kontraksi berlaku lebih kerap.


PROSES bersalin secara normal sering dikatakan antara pengalaman paling menyakitkan dalam hidup setiap wanita yang bergelar ibu.

Atas sebab itu ibu hami yang menunggu detik bersalin kerap berdepan dengan tekanan, rasa gelisah dan takut keterlaluan kerana memikirkan situasi yang bakal mereka tempuhi.

Tahap keresahan itu meningkat terutama bagi mereka yang berada dalam dewan bersalin sehingga menyukarkan diri untuk bertenang lalu hilang fokus ketika proses bersalin berlaku.

Ketakutan melampau juga boleh menyebabkan ketegangan pada bahagian otot penting untuk kelahiran dan ini menjadikan wanita berkenaan sangat sensitif pada kesakitan.

Menurut Pakar Fisioterapi Hospital Columbia Asia Setapak Kuala Lumpur, Nur Izyan Osman, keadaan itu boleh diatasi dengan teknik pernafasan dalam membantu menenangkan ibu hamil ketika mereka dalam proses bersalin.

"Penting ibu berkenaan untuk melakukan persiapan yang dapat mewujudkan pemikiran positif terhadap pengalaman bersalin.

"Antara teknik sering didedahkan kepada ibu hamll yang mengikuti kelas antenatal ialah teknik pernafasan. Teknik ini membantu ibu itu fokus terhadap aktiviti pernafasan berbanding kesakitan ketika kontraksi dan menjadikan mereka lebih bersedia dengan pengalaman melahirkan anak.

"Kaedah ini dikatakan banyak membantu memendekkan tempoh bersalin selain mengurangkan rasa sakit dialami ketika melahirkan anak,"katanya.

Dalam teknik pernafasan yang membantu ibu bersalin, terdapat empat fasa yang mempunyai ciri-ciri tersendiri.

Kata Nur Izyan, fasa pertama adalah fasa asas pernafasan yang mana ibu akan disuruh untuk bernafas secara perlahan dengan tarik nafas menggunakan hidung dan menghembuskan menerusi mulut.


RASA tertekan kerana takut dengan kesakitan bersalin.

"Apabila asas teknik pernafasan iaitu dengan menarik nafas menggunakan hidung dan hembus menggunakan mulut secara perlahan-lahan, mereka seterusnya pelajari teknik pernafasan lembut ke dalam dada. Teknik seperti fasa pertama, tetapi ada kiraan iaitu dalam kiraan lima saat secara perlahan-lahan.

"Pada fasa ketiga, teknik pernafasan dada cetek, tetapi laju atau dipanggil pernafasan berbunyi. Bernafas tanpa menggunakan otot perut dengan menggunakan bahagian atas peparu. Rima dihasilkan pernafasan ini seperti bunyi 'hee-hee-hoo'. Laju, tetapi ringan apabila intensiti kontraksi semakin meningkat," katanya.

Terakhir dalam teknik pernafasan ini adalah pernafasan hembusan perut yang mana bernafas dengan tarik dan hembus menggunakan mulut. Seperti teknik fasa ketiga, tetapi kuat seolah-olah menghembus nyalaan lilin.

Selain pernafasan, faktor lain turut membantu menenangkan ibu ketika bersalin dan kata Nur Izyan, pengkaji menyenaraikan faktor seperti keselesaan fizikal dan bentuk sokongan, posisi, penggunaan terapi panas dan sejuk serta urutan boleh membantu.


URUTAN antara perkara boleh menenangkan ibu yang bakal bersalin.

"Tidak hanya teknik pernafasan, ibu yang bersalin juga perlu ada bentuk sokongan yang lain dalam membantu mereka bertenang ketika bersalin.

"Keselesaan fizikal buat ibu seperti makanan dan nutrisi penting mencukupi satu bentuk keperluan serta dorongan penting.

"Persekitaran yang selesa juga sangat penting bagi pasangan untuk menawarkan bantal dan selimut apabila si ibu tidak selesa.

"Penggunaan muzik juga boleh bantu tenangkan ibu yang gelisah terutama mendekati tempoh bersalin," katanya.

Dari segi posisi, terdapat kedudukan yang boleh bantu memudahkan kelahiran.


NUR IZYAN

"Selain itu, penggunaan terapi panas di bahagian bawah tubuh badan seperti betis dan paha juga dikatakan membantu mengurangkan rasa sakit serta tidak selesa ibu yang semakin menghampiri tarikh bersalin," katanya.

Urutan juga baik kepada ibu hamil kerana dapat meningkatkan perjalanan dan menenangkan otot.

"Tawarkan juga urutan seperti tekanan lembut pada lutut, picit pada bahagian pinggul dan sebagainya untuk rangsang hormon endorpin. Hormon ini bantu tingkatkan rasa selesa dan kurangkan rasa kesakitan," katanya.

Dalam pada itu, Nur Izyan tidak lupa menjelaskan tiga fasa kelahiran dilalui setiap ibu hamil.

"Ketika di fasa permulaan ibu yang bakal melahirkan anak akan mengalami tiga keadaan iaitu kontraksi perlahan dan pendek serta tahap kesakitan itu semakin dirasai apabila kerap menyerang.

"Kekerapan ia berlaku bermula dengan jarak 20 minit dan menurun kepada setiap lima minit dengan bukaan faraj sekitar kosong hingga tiga sentimeter.

"Peringkat berikutnya iaitu tahap aktif kesakitan dirasai lebih kerap dan nyata. Tempoh ia berlaku sekitar 30 hingga 60 saat. Kekerapan daripada kesakitan muncul setiap lima minit kepada setiap dua minit apabila bukaan faraj pada enam hingga lapan sentimeter.

"Peringkat akhir pada fasa awal kelahiran juga ialah peralihan yang mana kesakitan dirasakan lebih kuat dengan tempoh 60 hingga 90 saat dan kekerapan menjadi semakin pendek iaitu satu minit dengan bukaan faraj sekitar lapan hingga 10 sentimeter," katanya.

Pada fasa kedua bersalin, kesakitan mula menurun dan rasa meneran dengan tempoh sekitar 20 hingga 40 saat. Di sini ibu itu juga akan bernafas dengan kadar dua hingga empat minit dalam kedudukan bersedia. Fasa ketiga ialah plasenta akan sedia untuk keluar bersama bayi.



Sumber:https://www.hmetro.com.my

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 



Mobile|Archiver|Mobile*default|CARI Infonet

24-5-2022 08:52 AM GMT+8 , Processed in 0.087283 second(s), 22 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list