CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8211|Reply: 0

Cerita di sebalik pottu (titik merah di dahi)

[Copy link]
Post time 4-3-2021 09:03 PM | Show all posts |Read mode
Edited by piao at 4-3-2021 09:05 PM

Cerita di sebalik pottu (titik merah di dahi)


Tahukah anda? Setiap jari yang digunakan oleh penganut Hindu untuk meletakkan kumkuma (tanda merah pada dahi) membawa makna tersendiri.


Saya berusaha menarik perhatian rakan-rakan pelbagai kaum, etnik dan agama menerusi paparan status Facebook pada 19 April 2014. Ternyata ramai yang berminat untuk tahu apakah makna-makna tersendiri yang dimaksudkan.

Amalan meletakkan kumkuma bukan sesuatu yang asing dalam kalangan orang India-Hindu di Malaysia; khususnya wanita. Di negara India, ia dikenali dengan pelbagai nama seperti kunkumam (Tamil, Sanskrit), kumkuma (Telugu, Kannada), kungkumam (Malayalam) dan kumkum (Bengali).

Ejaan yang sudah diterima dalam Bahasa Malaysia adalah kumkuma. Istilah Hindi yang lazim digunakan adalah tilak daripada perkataan tilaka (Sanskrit) dan biasanya disebut sebagai pottu dalam kalangan orang Tamil dan bottu dalam kalangan orang Telugu di Malaysia.

Apabila disebut pottu, kita membayangkan amalan meletakkan kumkuma pada dahi. Sebenarnya, ia turut melibatkan serbuk kunyit (manjal) atau serbuk kayu cendana (santanam) yang dicairkan.


Satu lagi bahan yang tidak asing dalam kalangan orang India-Hindu di Malaysia adalah thiruneer atau vibuthi iaitu sebuk putih yang secara simbolik mengingatkan si pemakai bahawa pada suatu hari nanti, dia juga akan meninggal dunia dan tubuhnya akan dibakar menjadi abu.

Gabungan bahan-bahan tadi (kumkuma, manjal, santanam dan thiruneer) tidak hanya dipakai pada dahi. Sebaliknya boleh disapu pada dua belas tempat pada tubuh penganut Hindu; khususnya kepala, dahi, leher, bahu, lengan, dada, kiri-kanan torso dan perut.

Amalan itu mempunyai makna simbolik dari segi ajaran Hindu. Bagaimanapun, dalam makalah ini, kita cuba memahami amalan pemakaian bahan-bahan berkenaan pada dahi, iaitu sebagai pottu.

Makalah ini adalah secara umum sahaja berdasarkan apa yang saya tahu, apa yang saya pernah dengar dan apa yang saya pernah baca. Semoga mana-mana pihak yang ada maklumat tambahan akan tampil menulis makalah yang lebih lengkap.
Menyegarkan otak, membuka minda
Kumkuma, manjal, santanam dan thiruneer ada kaitan rapat dengan orang India-Hindu. Amalan meletakkan pottu dalam kalangan masyarakat ini ada makna simbolik berkaitan kerohanian dan minda yang menjadi pusat menerima, memproses serta menghantar maklumat. Perkara ini juga dinyatakan oleh jurufoto dari Sri Lanka, Tilak Hettige dalam bukunya Tilaka: The Spiritual Third Eye (2007).

Tubuh manusia dibahagikan kepada tujuh lingkaran tenaga yang dinamakan cakra. Pusat bagi cakra keenam terletak pada dahi dan dipercayai menjadi titik yang menghubungkan manusia secara spiritual dengan Tuhan.

Ada pelbagai corak, cara dan bentuk pottu.
Titik yang terletak di tengah-tengah antara kedua-dua kening juga dianggap sebagai “mata ketiga” atau mata minda yang amat berkuasa. Lukisan Dewa Shiva biasanya menggambarkan dewa berkenaan memiliki mata ketiga pada dahi.

Apabila serbuk cendana atau serbuk kunyit yang dicairkan diletakkan pada dahi, ia terbukti secara saintifik mampu menyegarkan otak, serta menyejukkan kepala dan seluruh tubuh. Memandangkan cendana agak mahal, maka ramai yang memilih serbuk kunyit.

Di negeri Kerala, India, penduduk tempatan menggunakan pati daripada bunga mukutti untuk dijadikan pottu. Bunga berkenaan ada nilai-nilai perubatan tradisional dan terbukti amat berkesan dalam meredakan sakit kepala.

Pada bahagian awal tadi, dinyatakan bahawa setiap jari yang digunakan untuk meletakkan kumkuma dan pottu membawa makna tersendiri. Eloklah makna-makna itu diketahui supaya dapat dimanfaatkan oleh semua – sama ada kaum India atau Bukan India.

Apabila pottu (kumkuma, manjal, santanam atau thiruneer) diletakkan pada dahi menggunakan jari hantu (jari tengah), ia membawa makna mendoakan supaya panjang umur.

Ibu jari pula biasanya digunakan untuk membawa makna mendoakan serta mengharapkan kesihatan mental dan fizikal. Ia juga membawa simbol kekuatan dan keberanian. Kalau kita menonton filem Tamil/Hindi, dapat diperhatikan bagaimana kumkuma disapu pada dahi wira menggunakan ibu jari.

Untuk makluman, makna-makna simbolik ini bukan hanya apabila pottu diletakkan sendiri oleh individu terbabit. Sebaliknya juga sewaktu diletakkan oleh orang lain; seperti dalam filem-filem Tamil dan Hindi.

Jari telunjuk pula selalu digunakan oleh seseorang individu itu sendiri dengan niat dan harapan untuk mendapatkan serta meraikan hak dan kebebasan. Penggunaan jari manis pula biasanya disertai doa untuk mencapai sesuatu keinginan yang bersifat peribadi.

Merah, hitam atau putih juga ada cerita
Dalam kalangan kaum India tradisional, dipercayai bahawa lelaki bujang yang memakai kumkuma mempunyai kuasa mistik untuk menarik (menggoda) wanita. Si pemakai pottu juga ada ciri-ciri kepimpinan, ketua dan perwira.

Sehingga kini, kita biasa melihat bayi dan anak kecil diletakkan pottu warna hitam bukan hanya pada dahi tetapi juga pada pipi. Anak-anak gadis serta pengantin juga dipakaikan pottu hitam ini.

Pottu hitam pada bayu untuk menghalang ‘mata jahat’.

Mengikut kepercayaan masyarakat India, pottu hitam mampu menghalang “mata jahat” yang menghantar isyarat-isyarat jahat kepada individu berkenaan. Apabila diletakkan atau disapu titik hitam pada dahi atau pipi, maka bayi, kanak-kanak atau gadis itu dianggap sudah menjadi sedikit hodoh.

Dengan itu, “mata jahat” – yang merujuk kepada masyarakat sekeliling yang cemburu – tidak akan mengata atau terlalu memuji individu berkenaan. Pujian yang berlebih-lebihan dianggap membawa petanda buruk dalam masyarakat India.

Apabila thiruneer diletakkan pada dahi, ia bukan sahaja mengingatkan individu itu kepada kematian (dan tubuh akan dibakar menjadi abu) tetapi juga sebagai tanda menghapuskan dosa silam. Biasanya thiruneer disapu pada seluruh dahi. Bagaimanapun, di Malaysia – khususnya mereka yang pergi sekolah dan kerja – meletakkan tanda thiruneer yang kecil sahaja pada dahi.

Selain daripada thiruneer, pottu juga terdiri daripada kumkuma, manjal dan santanam. Kita selalu berpeluang melihat wanita India-Hindu memakai pottu warna merah. Kumkuma yang berwarna merah melambangkan cinta, semangat keberanian dan mewakili darah.

Malah, khabarnya dalam amalan lama di India, si pengantin lelaki akan menggunakan darahnya sendiri untuk meletakkan pottu pada dahi bakal isteri. Makna simbolik itu terus menjadi amalan dan tradisi pemakaian kumkuma oleh wanita India-Hindu di seluruh dunia.

Kumkuma bukan hanya simbol bagi wanita berkahwin. Ia juga dipercayai ada kuasa untuk melindungi si wanita dan suaminya; serta melindungi keintiman dan hubungan mereka daripada terkena “mata jahat” orang ramai.

Apabila pergi bersembahyang di kuil, selain daripada thiruneer, penganut Hindu juga diberikan manjal dan kumkuma. Manjal iaitu serbuk kunyit yang berwarna kuning ini adalah ganti kepada serbuk cendana yang terlalu mahal.

Titik manjal diletakkan pada dahi sebagai simbol intelektual dan kekayaan. Sudah terbukti juga secara saintifik bahawa serbuk kunyit dan cendana mampu menyejukkan seluruh tubuh serta memberikan ketenangan fikiran.

Bentuk, corak yang signifikan
Pottu warna hitam melambangkan ketenangan jiwa dan keamanan. Bisanya pottu hitam dipakai oleh gadis dan wanita yang belum berkahwin. Secara tradisi, kumkuma (merah) hanya untuk wanita yang sudah berkahwin.

Bagi golongan balu pula, sebaik kehilangan suami, mereka tidak lagi memakai kumkuma (merah). Sebaliknya akan memakai thiruneer (putih) yang membawa makna penyerahan kepada Tuhan. Walau bagaimanapun, golongan balu pada masa kini sudah melepaskan diri daripada kongkongan dan peraturan seumpama itu.

Kini ada pottu daripada jenis pelekat yang sudah tidak asli dan sudah tidak memenuhi kriteria dan makna simbolik pottu. Apatah lagi, pottu tiruan itu tidak memiliki ciri-ciri dan pelbagai kelebihan yang diterangkan di atas. Sebaliknya ia sekadar untuk hiasan kerana boleh didapati dalam pelbagai warna, bentuk dan rekaan.

Bentuk pottu yang lazim adalah bulat. Thiruneer pula biasanya disapu memanjang. Akan tetapi, sebenarnya ada pelbagai jenis pottu yang membawa makna tersendiri. Misalnya bentuk titik, garisan, bentuk trisula, bulatan, bulan sabit dan sebagainya.

Kita mungkin biasa mendengar perkataan “pattai” apabila seseorang menyapu thiruneer pada dahi. Sebenarnya, “pattai” adalah apabila orang itu membuat tiga garisan mendatar menggunakan thiruneer pada dahi. Ada kalanya thiruneer disapu pada seluruh dahi.

Pada bahagian tengah “pattai” biasanya diletakkan titik kumkuma. Tiga garisan thiruneer melambangkan tiga hakikat hidup manusia iaitu keangkuhan (anavam), dosa-pahala (karma) dan kejahilan (maya). Titik kumkuma di tengah-tengah pula simbol “mata ketiga” yang diperlukan bagi mengawal tiga perkara tadi.

Deva Shiva sering digambarkan memiliki mata ketiga.

Selain daripada bentuk pottu bulat atau titik, golongan wanita (khususnya kanak-kanak dan remaja) sering memilih bentuk menyerupai air menitik. Sebenarnya, bentuk ini bermula sebagai amalan dalam kalangan wanita yang memuja Devi Sakthi.

Pengikut Dewa Vishnu dan Rama pula memakai pottu menyerupai huruf U pada dahi. Di bahagian dalam bentuk U itu terdapat titik merah atau bentuk menyerupai air menitik. Gaya ini hanya bagi lelaki manakala wanita pula tetap dengan kumkuma tanpa bentuk U.

Jadi, pemakaian pottu mempunyai cerita tersendiri yang mungkin tidak diketahui generasi muda India-Hindu sendiri di negara bertuah ini. Semoga sedikit paparan ini membantu kita untuk sama-sama menambah pengetahuan ke arah meraikan kepelbagaian.

Makalah ini adalah secara umum sahaja dan pasti ada banyak kekurangan serta kelemahan. Seperti yang saya katakan tadi, saya berharap mana-mana pihak yang ada maklumat tambahan (atau gemar mengkritik dan mencari kesalahan orang) akan tampil menulis makalah yang lebih lengkap dan bermanfaat.

Sumber:https://www.malaymail.com

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

24-4-2024 04:57 AM GMT+8 , Processed in 0.047876 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list