CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2901|Reply: 2

Jujur Pancaran Akhlak - Mejar (B) Ramli Abdul Rahim - AKT

[Copy link]
Post time 18-12-2020 09:34 AM | Show all posts |Read mode
Edited by Aking at 20-12-2020 09:33 PM



Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

JUJUR atau amanah adalah satu daripada empat sifat Rasul iaitu siddiq (benar), amanah (jujur), tabligh (menyampaikan) dan fatonnah (bijaksana) yang menjadi aset kehidupan dalam tugas nubuwah atau kenabian.

Nabi Muhammad SAW yang pernah terlibat dalam bidang perniagaan pada zaman remajanya, mendidik peniaga Muslim bersikap jujur dan amanah serta mengingatkan bahawa peniaga yang berjaya adalah peniaga yang bertakwa.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya para peniaga akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti dalam keadaan fujjar (pelaku dosa) melainkan mereka yang bertakwa, melakukan kebaikan dan bersikap benar." (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Sebagai ibrah, kita ikuti sebuah anekdot berkenaan amanah mengenai kisah bagaimana seorang budak yang ingin berangkat ke kota Baghdad untuk menuntut ilmu yang sangat jujur dan tidak pernah berdusta.

Budak itu mengikuti kafilah yang akan menuju ke Baghdad dan sebelum bertolak, ibunya memberi sedikit wang sebagai belanja pergi dan balik serta sedikit bekalan makanan dan ibunya menyembunyikan wang itu pada bahagian lengan baju anaknya dan dijahitnya supaya tidak diketahui sesiapa.

Ibunya berpesan; "Hai anakku, dengarlah baik-baik pesan ibu ini, bila kau dalam perjalanan dan berada di negeri orang, hendaklah engkau tidak berlaku khianat dan sentiasa jujur, ketahuilah bahawa orang Islam tidak boleh berdusta, ingatlah hai anakku akan sabda Rasulullah SAW bahawa amanah itu kejayaan."

Anak yang taat itu berangkat bersama kafilah merentasi padang pasir di tengah panas terik yang membakar kulit dan kafilah bergerak perlahan, unta diikat antara satu sama lain dalam satu barisan selangkah demi selangkah mereka meredah padang pasir yang luas.

Dari kejauhan di puncak bukit pasir, sekumpulan perompak berkuda sedang mengintip sambil berkata seorang daripada mereka, "Nampaknya kafilah ini senang diserang hendap, pasti ada habuan."

Lantas perompak bersenjata itu menyerbu dan mengepung menyebabkan kafilah menyerah selain dipaksa menyerahkan segala harta yang dibawa.

Ketua perompak bertanya kepada budak dalam kafilah: "Apa yang engkau bawa, wahai budak?" dan orang-orang suruhannya sudah siap menghunus pedang agar budak itu segera menjawab: "Empat puluh keping wang emas dinar." "Apa?" Penyamun itu terkejut mendengarkan kata-kata itu kerana menyangka budak itu mahu mempersendakannya dan tidak terfikir tidak mungkin seorang budak boleh memberitahu kepada seorang penyamun dia masih punya wang.

"Apakah engkau mahu memperolok-olokkan aku?" tanya perompak itu lagi. "Tidak! Sungguh tuan, saya tidak berkata dusta," kata budak itu dengan tegas. "Engkau, periksa bajunya!" Seorang perompak memeriksa baju budak itu dan menjumpai bahagian yang dijahit oleh ibunya dan terkejut lalu berkata, "Tuan, dia berkata benar!" Ketua perompak kehairanan.

Perompak berkata, "Mengapakah engkau begitu bodoh berlaku jujur? Mengapa engkau tidak menipu saja, agar harta dan nyawa engkau selamat?" Maka, budak itu pun menjawab; "Tuan, saya ini penuntut ilmu. Ibu membekalkan saya dengan wang ini dan berpesan kepada saya."

Ketua perompak tertawa dan berkata; "Apakah pesan ibumu?" Jawab budak itu: "Bahawa ibuku berpesan, supaya aku tidak berlaku khianat dan sentiasa jujur. Tuan, tidakkah tuan tahu bahawa orang yang sedang menuntut ilmu itu seperti sedang berjalan menuju ke syurga apa erti wang 40 keping emas pada saya ini, hingga saya terpaksa berbohong?"

Akhirnya dengan bercucuran air mata kesedihan dan keinsafan, ketua perompak memohon maaf daripada budak itu lalu bertaubat daripada melakukan kerja yang mungkar lagi hina itu untuk merubah cara hidup menjadi orang yang baik.

Manakala, anekdot kedua berkisar seorang lelaki yang diminta mengecat perahu. Dia pun mengecat perahu itu dan pada ketika mengecat, dia ternampak satu lubang di bawah perahu itu lalu menampalnya secara diam-diam.

Selepas selesai mengecat, dia menerima upahnya dan terus pergi, tetapi tidak lama kemudian, pemilik perahu menemui lelaki itu dan memberinya wang yang nilainya sungguh tidak diduga membuatkan si tukang cat terkejut dan berkata, "Tuan sudah membayar upah saya dengan berlebihan."

"Tetapi, ini bukan upah untuk mengecat, ini kerana anda sudah menampal satu lubang di bawah perahuku." Lalu lelaki tukang cat itu menjawab, "Ah, itu kan cuma hal kecil. Tuan tidak perlu memberi saya wang sebanyak ini untuk pekerjaan sekecil itu."

"Mungkin anda tidak mengerti, semasa saya minta anda mengecat perahu itu, saya lupa memberi tahu berkenaan lubang tersebut. Selepas cat perahu sudah kering anak-anak saya terus pergi memancing dengan naik perahu itu dan mereka tidak tahu tentang lubang itu, sedangkan saya tidak berada di rumah.

"Ketika saya pulang dan menyedari mereka sudah membawa perahu itu pergi, saya jadi sangat khuatir kerana saya tahu kalau perahu itu bocor...jadi saya bersyukur ketika melihat mereka pulang dengan selamat, rupanya anda sudah menampal lubang perahu itu.

"Apa yang sudah anda lakukan bukan perkara kecil kerana ia menyelamatkan nyawa, bagi saya wang tidak bernilai untuk membayar kebaikan itu." Justeru, hulurkanlah tangan tanpa mengharapkan balasan manusia.

Sememangnya amanah adalah sifat mulia dan mengenali Nabi Muhammad SAW sebenarnya kita membicarakan sejarah kehidupan insan kamil (insan sempurna) yang diutus Allah SWT kepada manusia untuk ikutan dan teladan qudwah hasanah.

Apabila amanah dijadikan pegangan hidup, peniaga tidak menipu timbangannya, pemimpin akan menggembirakan rakyat yang dipimpinnya dan tidak akan berlaku penyalahgunaan kedudukan dan rasuah.

Islam membawa mesej pemantapan akhlak di samping menegakkan kalimah tauhid sebagai terjemahan ubudiyyah untuk melakukan perkara yang makruf dan sentiasa menegakkan kebenaran dengan tidak melakukan pengkhianatan ketika mengendalikan segala aktiviti muamalah.

* Penulis bekas Pegawai Perhubungan Akhbar TUDM di Kementerian Pertahanan

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 18-12-2020 10:55 PM From the mobile phone | Show all posts
Ni kopipes tulisan dia ke?
Nak masuk pertandingan kena letak #AKT kat blakang tajuk
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-2-2021 04:09 PM | Show all posts
Tinot7 replied at 18-12-2020 10:55 PM
Ni kopipes tulisan dia ke?
Nak masuk pertandingan kena letak #AKT kat blakang tajuk

Terima ksh teguran
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

25-4-2024 09:48 PM GMT+8 , Processed in 0.080449 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list