CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6178|Reply: 12

Cerpen Lockdown : RINDU

  [Copy link]
Post time 19-4-2020 08:18 AM | Show all posts |Read mode
Edited by Ipo at 19-4-2020 08:33 AM

Mac 2022
Aku menatap skrin computer riba. Berita yang memaparkan wabak Covid-19 yang menggegarkan seluruh dunia. Covid-19 yang dinamakan sempena Novel Coronavirus yang telah muncul pada tahun 2019. Kenapa dipanggil Novel Coronavirus? Novel bermaksud strain baharu yang muncul walaupun sebelum ini sudah ada coronavirus seperti MERS-v, SARS dan seumpamanya.

Disember2019, Dunia dikejutkan dengan wabak penularan novel coronavirus yang di Wuhan,China. Virus yang dikatakan datangnya daripada kelawar di sebuah pasar jualan haiwan exotic di wilayah itu. Walaupun ada desas-desus mengatakan virus itu sengaja dilepaskan dari makmal canggih China yang terletak di Huabei.

Sejak itu, setiap hari wilayah Wuhan itu beribu kematian berlaku sehingga kerajaanChina mengisytiharkan ‘Lockdown’ di Wuhan. Rakyat tidak dibenarkan keluar.Namun, dalam keadaan huru-hara itu, ada yang terburu-buru keluar dari wilayah Wuhan. Keadaan itulah telah menyebabkan wabak itu mula merebak ke seluruh dunia.Tidak terkecuali Malaysia.

Mataku dileret pada setiap bait berita yang dipaparkan sehinggalah berhenti pada satu berita yang memaparkan tentang perintah berkurung. Aku menutup computer riba dan membuang pandang ke luar tingkap. Hujan renyai turun sejak malam tadi.

Berita berkurung itu membawa aku kepada kenangan pahit yang berlaku di kawasan perumahan aku dulu, dua tahun yang lalu. Mengingati kenangan pahit itu, aku tunduk seraya menutup mata untuk seketika. Nafas ditarik berat. Kenangan itu terimbau semula satu persatu.



18Mac 2020

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah dua minggu berlalu dan sekarang dilanjutkan lagi sehingga 14 April 2020. Orang ramai juga sudah mula berkurung di dalam rumah jika tidak ada apa keperluan di luar. Keluar dari rumah hanya dibenarkan untuk membeli barang keperluan dan bekerja sahaja bagi mereka yang dibenarkan bekerja.

Keadaan di luar kawasan perumahan aku lengang dan sunyi sepi. Tidak ubah seperti diserang Garuda. Kalau ada kenderaan yang lalu lalang pun mungkin ketua keluarga yang perlu keluar untuk menambah stok barangan di rumah.

Mataku dialih pada rumah jiran di depan. Rumah dua tingkat itu dimiliki oleh seorang doktor. Dulu, sebelum arahan PKP, aku selalu juga bertegur sapa dengan Dr.Bani.Dia mempunyai dua orang anak lelaki kembar berusia lapan tahun. Isterinya, Puan Suri merupakan seorang guru dan kini sedang sarat mengandung.

Jarang aku melihat anak-anaknya bermain di depan garaj biarpun hanya dalam kawasan rumah sendiri sejak PKP dilancarkan. Jadi, aku agak anak-anak Dr. Bani mendengar kata dan patuh pada arahan ayah mereka. Sejujurnya aku kagum dengan Dr. Bani yang begitu komited dengan kerja dan tidak pernah abaikan keluarga.Pulang lewat malam dan kadang-kadang bermalam di hospital apabila ada on call. Puan Suri tidak pernah merungut. Mungkin Puan Suri sudah biasa dengan kehidupan begitu. Itu yang mak selalu beritahu aku. Puan Suri selalu juga berbual di telefon dengan mak untuk menghilangkan rasa bosan.

Sejak wabak Covid-19 berlaku ini, Dr. Bani semakin jarang kelihatan di rumah.  Mungkin Dr. Bani mengambil keputusan untuk menghuni di kuarters hospital supaya senang merawat pesakit dan tidak perlu berulang alik dari rumah. Lagi pula, dengan cara itu akan mengurangkan risiko penyebaran virus itu kepada orang lain.

Aku pula bekerja di makmal di hospital yang sama dengan Dr. Bani bertugas. Aku menyahut seruan KKM untuk menjadi sukarelawan sebagai microbiologist untuk kendalikan ujian pada sampel yang diambil daripada pesakit (Patient Under Investigation-PUI).Alhamdulillah, mak tidak membantah niat aku.

Mak dulu pun seorang jururawat juga. Sekarang mak sudah bersara. Mak lebih memahami apa yang petugas hospital lalui sekarang ini. Mungkin sebab itulah mak tidak menghalang aku untuk memohon kerja di bahagian makmal bagi membantu dalam menangani wabak Covid-19 ini.


*********  

SEMINGGUberlalu.

Aku dengan pakaian makmal dan disarung lagi dengan pakaian PPE lengkap, tekun melakukan ujian untuk mengesan kehadiran covid-19 pada sampel yang diambil daripada pesakit dalam siasatan (PUI).

Ujian pengesanan covid-19 ini menggunakan teknik Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR). Ujian rRT-PCR yang dijalankan akan mengesan kehadiran virus COVID-19 yang terdapat di dalam badan pesakit. Justeru, ujian rRT-PCR COVID-19 yang positif bermaksud individu tersebut telah dijangkiti oleh virus COVID-19. Keputusan ujian yang tepat melalui teknik rRT-PCR adalah amat penting dalam pengurusan pesakit COVID-19 yang berkesan.

Melihat pada sampel-sampel ujian yang diterima setiap hari, kini baru aku terasa betapa‘hectic’nya wabak Covid-19 ini. Kalau dulu, aku hanya kendalikan sampel-sampel industry seperti makanan, air, kosmetik, herba dan ubat-ubatan tetapi kali ini aku berdepan dengan sampel daripada tisu, darah dan lendir manusia.

Bekerja di bahagian makmal ini, tiada masa untuk berborak santai. Masing-masing sibuk dengan tugas sendiri sehinggakan kadang-kadang tiada masa untuk jamah makanan dan minuman. Baru aku tahu, beginilah petugas hospital, doktor dan yang lain yang bertungkus lumus merawat dan mengendalikan pesakit covid-19. Apa yang paling ditakuti, dijangkiti virus ini yang mudah bermutasi.

Ya,coronavirus kali ini mudah bermutasi! Kalaulah aku seorang saintis hebat, ingin aku kaji sifat virus ini dan cipta satu ubat atau vaksin yang boleh merencatkan‘mutation’ dan pembiakan virus ini. Kalau bakteria boleh membiak berjuta-juta koloni dalam masa 20 minit sahaja, apatah lagi virus.

Perut mula berkeroncong. Aku bingkas dari tempat duduk yang mengadap Biosafety Hazard Type II. Ia sejenis alat yang digunakan untuk pengendalian dan pengesanan pathogen berbahaya.

PPE yang melekat pada badan aku ditanggalkan dan dibuang mengikut SOP yang disediakan pihak hospital. Aku mencuci tangan dan menapak ke ruang pantry untuk menjamah makanan yang disediakan pihak hospital.

“Man?”

Aku menoleh. Terkejut melihat Dr. Bani sedang menapak mendekati aku. Di tangannya ada sebungkus nasi. Mungkin dia juga ingin mengisi perut seperti aku.

“Ya,Doktor,” Aku senyum.

“Bila kerja sini?”

“Baru seminggu. Alhamdulillah, saya kerja ni atas kerelaan sendiri. Ini saja pun yang saya boleh bantu,” balas aku dengan senyuman kekal di bibir.

“Alhamdulillah.Semoga Allah berikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.”

“InsyaAllah.Doktor tak balik rumah ke?” soal aku, mengambil kesempatan itu memandangkan sudah agak lama aku tidak melihat kelibat Dr. Bani di kawasan perumahan.

“SejakCovid ni, saya dah hadkan saya dengan famili. Bukan kerana saya pentingkan tugas tapi untuk keselamatan. Yalah, saya direct contact dengan pesakit. Mudah berjangkit. Sebab tulah, saya geram kalau dengar ada pesakit yang lari dari hospital. Ni bukan benda main-main.”

Nada Dr. Bani kedengaran serius di telinga. Ya, siapa yang tidak marah dengan kejadian seperti itu. Hanya menyusahkan orang lain!

Aku melihat Dr. Bani mengunyah laju butiran nasi bersama lauk ikan goreng. Ya, lauk ringkas sekadar untuk mengisi perut. Tak sampai 10 minit, licin nasi di dalam bungkusan polisterin itu.

“Man,kalau isteri saya nak apa-apa, boleh tak minta Makcik Midah hulurkan? Saya tak sempat nak keluar beri barang dapur. Kalau Man keluar beli barang dapur, nanti saya nak minta tolong Man belikan sekali barang dapur rumah saya, boleh?”

“Boleh sangat doktor. Mak saya lagi suka. Kebetulan esok saya cuti. Saya nak ke pasaraya,” balas aku.

“Kalau macam tu, nah duit.”
Segumpal wang kertas diletakkan di atas meja.

“Eh,doktor. Tak apa, saya guna duit saya je.” Aku menolak.

“Tak apa. Kau gunalah. Lebih tu kau simpan. Saya ni entah bila boleh balik macam dulu. Entah-entah..” Dr. Bani tunduk. Bicaranya terhenti.

Aku diam. Tingkah Dr. Bani kali ini lain benar. Ada riak sugul di wajahnya.

“Doktor,doa yang baik-baik.” Aku tenangkan Dr. Bani.

Dr.Bani minta diri. Terasa sayu melihat kegigihan Dr. Bani. Semoga Dr. Bani dandoktor lain bersama petugas hospital tabah menghadapi semua ini.



*******


BALIKdari pasaraya, aku asingkan siap-siap barang keperluan Puan Suri seperti yang disenaraikan sebelum aku ke pasaraya tengah hari tadi.  Aku berniat untuk memberi lebih kepada Puan Suri memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga14 April.

Dan sejak itu, akulah yang membantu membeli barang keperluan kepada Puan Suri jika diperlukan. Mak pula akan masakkan lauk untuk diberikan kepada Puan Suri dan anak kembarnya. Hanya itulah yang mampu aku dan mak aku lakukan untuk membantu mereka.

Aku faham dengan situasi yang dialami Dr. Bani sekarang ini. Dia bertungkus lumus merawat pesakit Covid-19. Sekali sekala bertembung dengan Dr.Bani di hospital,jelas riak lesu dan penat terpamer di wajahnya.



*******

25Mac 2020

Perintah Kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) mula diumumkan oleh pihak berkuasa.Melihatkan kedegilan rakyat Malaysia yang masih lagi keluar rumah tanpa tujuan mustahak, pihak berkuasa terpaksa bertindak lebih tegas. Malah, ada yang sudah ditangkap apabila melanggar perintah berkurung.

Keadaan di hospital dan makmal juga semakin sarat dengan pesakit positif covid-19 walaupun bilangan yang sembuh juga semakin bertambah. Tambah lagi apabila Ketua Pengarah Kesihatan memberitahu yang gelombang ke tiga mungkin akan berlaku berdasarkan jumlah 8000 penjawat awam yang diluluskan untuk bercuti di luar negara pada pertengaham Mac dulu.

Aku menggeleng mendengar berita itu. Nasi bungkus dalam polisterin aku habiskan secepat mungkin. Masih banyak lagi kerja yang aku harus lakukan. Sampel yang tiba di makmal sudah bertimbun sehingga kadang-kala aku dan rakan makmal lain terpaksa bermalam di makmal saja.

“Man,macam mana isteri saya?” Aku yang sedang makan di pantry menoleh pada suara yang bertanya.

Dr.Bani sudah berdiri di depan aku sambil memegang sebotol air mineral yang sudah tinggal separuh isinya.

“Alhamdulillah,doktor. Anak doktor pun sihat. InsyaAllah, doktor jangan risau,” balas aku dengan senyuman terukir di bibir.

“Alhamdulillah.Rindu benar saya ni pada mereka. Saya bukan tak boleh telefon tapi keadaan yang runcing sekarang ini, tumpuan saya lebih kepada pesakit. Telefon saya pun letak tepi saja. Tak sempat nak jenguk.” tutur Dr. Bani dengan nada perlahan.

“Saya faham, doktor. InsyaAllah, mak saya boleh tengok-tengokkan.” Aku cuba menenangkan Dr. Bani.

“Saya ingat nak minta kebenaran pihak hospital untuk saya balik jenguk anak isteri saya. Sekejap pun jadilah. Rindu saya pada wajah mereka.”
Kali ini suara Dr. Bani kedengaran sebak. Tertahan-tahan keluar dari peti suara. Aku pula hanya mampu menenangkan Dr. Bani yang ternyata begitu rindu pada anak dan isterinya.

*******


AKU merebahkan tubuh di atas sofa menghilangkan penat. Sepanjang minggu lepas, aku bekerja sehingga malam. Sampel daripada pesakit semakin bertambah dari sehari ke sehari. Seperti sebelum ini, aku mengambil langkah berjaga-jaga setiap kali pulang ke rumah. Baju dan kasut aku tanggalkan di tepi paip yang sudah disediakan sabun untuk mencuci tangan. Pakaian aku rendam di dalam baldi dan mak pun sudah sediakan pakaian baru untuk aku sebelum aku melangkah masuk ke dalam rumah.

“Eh,Man, bila kamu balik?”

“Baru aje mak,”

“Man, semalam Puan Suri ada telefon mak. Dia cakap, Dr. Bani dah lama tak telefon dia. Dia risau takut apa-apa jadi pada suami dia tu. Cuba kamu tanya Dr. Bani.”

Aku menoleh. Wajah Mak serius.  Mendengar bicara serius mak, aku teringat perbualan aku dengan Dr. Bani dulu.

“Mak,bukan dia tak ingat anak bini tapi semakin ramai yang positif covid ni. Tak cukup kaki tangan mak. Saya pun kesian tengok Dr. Bani dan doktor lain kendalikan pesakit. Kita sama-sama berdoa mak supaya wabak virus ni hapus dengan cepat. Mak beritahu Puan Suri, Dr. Bani sihat saja.”

Mak tunduk. Entah apa yang dia fikirkan.

“Macam nilah. Mak beritahu Puan Suri, Dr. Bani okey. Dia sihat.” Aku pula tenangkan mak.

Mak hanya menghela nafas panjang sebelum bingkas dari tempat duduknya dan berlalu ke ruang dapur. Aku bingkas dari kerusi dan menapak ke depan rumah. Dari tepi pintu pagar, aku panjangkan leher menjenguk rumah Dr. Bani. Hanya kereta milik Puan Suri sahaja yang ada.

Tidak lama kemudian, sebuah kereta yang cukup aku kenali berhenti di depan rumah Dr.Bani. Aku mengukir senyuman lebar. Akhirnya Dr. Bani muncul juga. Namun aku melihat Dr. Bani hanya berdiri di luar pagar sebaik sahaja dia keluar dari perut kereta.

Dr.Bani berdiri dengan memakai penutup mulut sambil melambai-lambai pada kedua-dua anak kembarnya yang berdiri di muka pintu rumah. Di belakang si kembar, berdiri Puan Suri yang turut melambai pada Dr. Bani dengan wajah sugul. Aku boleh bayangkan betapa rindu mereka anak beranak. Dr. Bani tidak lama berada di situ.Dia mula masuk ke dalam kereta dan kereta berlalu pergi meninggalkan kawasan perumahan.


********
DUA hari bercuti, aku kembali bekerja. Sibuk dengan ujian ke atas sampel yang diterima, membuatkan aku terlupa untuk menitipkan salam rindu Puan Suri dan anak-anak kepada Dr. Bani. Suasana hospital pula semakin kalut dengan pertambahan pesakit.

Aku hanya mampu menggeleng melihat pesakit yang memarahi petugas hospital tanpa sedikit pun rasa bersalah. Malah ada yang meludah petugas hospital hanya kerana mereka tidak ingin ditahan di hospital untuk rawatan. Saat inilah aku mengerti betapa yang bekerja di bahagian frontline ini menghadapi karenah dan mengambil risiko yang tinggi. Aku yang bekerja di belakang tabir ini pun sudah terasa betapa keadaan sudah tidak terkawal sekarang ini.

Angka kematian kian bertambah. Daripada angka puluh berubah kepada ratus dan sekarang ini, sudah mencecah ribu orang. Di mana-mana hospital sudah semakin sesak dengan pesakit sehingga kerajaan terpaksa menyediakan tempat pesakit di bangunan besar di tempat lain seperti di Maeps. Dalam kekalutan itu, aku perasan sudah dua minggu aku tidak bertemu muka dengan Dr.Bani di pantry. Kalau tidak, waktu begini, Dr. Bani akan nampak kelibatnya untuk mengisi perut kosong.

“Kak ada nampak Dr. Bani?” soal aku apabila ternampak seorang jururawat masuk ke dalam pantry membawa roti.

“Eh,tak dengar berita ke?” soalnya.

Aku menggeleng dengan wajah berkerut.

“Dr.Bani dah dimasukkan ke ICU. Dengarnya, PUI tu melawan masa Dr. Bani nak ambil sampel. Terus diludahnya ke muka Dr. Bani. Masa tu pulak, Dr. Bani tak sempat nak mengelak, terkena kat pipi.”

Aku tergamam. Berita yang aku dengar dari mulut jururawat itu benar-benar buat aku terkejut. Patutlah aku sudah lama tidak nampak kelibat Dr. Bani.

“Allahuakhbar…Innalillahiwainnailaihirojiun…”Aku tunduk sambil meraup muka.



**********

DUA HARI selepas berita yang aku dengar tentang Dr. Bani masuk ICU, akhirnya Dr.Bani menghembuskan nafas terakhir.  Aku benar-benar terkilan kerana tidak sempat menyampaikan salam rindu Puan Suri kepada Dr. Bani. Rupanya kepulangan Dr. Bani ke rumah dulu memberi petanda yang Dr. Bani akan pergi buat selama-lamanya dan itulah kali terakhir Puan Suri dan anak kembar mereka melihat wajah Dr. Bani. Wajah yang dirindu.

Sekarang ini pula, keadaan sudah menjadi tidak terkawal. Aku yang bekerja di makmal pun tidak dibenarkan pulang ke rumah. Kerajaan telah mengisytiharkan darurat seluruh negara! Angka kematian sudah mencecah puluhan ribu orang. Sungguh ketika ini, baru aku tahu erti rindu dan risau pada mak yang tinggal seorang diri di rumah. Mungkin inilah perasaan yang Dr. Bani rasa dulu.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila keadaan sudah mula tidak terkawal. Orang ramai pula sudah tidak berani keluar rumah dan hidup dengan bekalan yang mana ada sahaja. Keadaan genting itu semakin meruncing apabila bekalan semakin berkurang. Ada yang mula bertindak di luar kawalan sampai mereka merusuh dengan memecah masuk pasaraya dan merompak di sana-sini.

Kejadian huru-hara itu membuatkan kawasan bandar bagai tongkang pecah dan akhirnya menjadi bandar mati. Keadaan di kawasan perumahan pula semakin sunyi seolah-olah tidak ada manusia yang hidup lagi. Masing-masing tidak berani meninggalkan rumah. Tidak tahu nasib penghuni rumah yang lain.
Aku nekad untuk meredah keadaan huru-hara itu sampai aku selamat tiba di rumah.Terus saja aku mencari mak dan memeluknya bagai tiada hari esok lagi. Syukur melihat mak dalam keadaan baik.

Keadaan huru-hara itu berlarutan sehingga dua bulan.



********  


LEGA. Akhirnya keadaan sudah kembali pulih. Rakyat sudah mula keluar rumah dan menghadapi rutin harian seperti biasa. Jalan raya kembali sibuk dengan kenderaan yang menuju ke destinasi masing-masing. Pasaraya mula penuh. Malah,di mana-mana tempat mula dipenuhi dengan orang ramai. Mungkin ingin merasa udara segar setelah sekian lama tidak keluar rumah.

Begitu juga aku. Kehidupan aku dan mak juga mula kembali kepada rutin. Aku jenguk ke arah tingkap, memandang pada rumah Allahyarham Dr. Bani. Puan Suri sedang berdiri di muka pintu rumah bersama dua anak kembarnya sambil membuang pandang ke arah pintu pagar. Tangan melambai-lambai. Usai melambai, mereka bersama-sama masuk ke dalam rumah dan pintu ditutup rapat. Sekali sekala aku membalas lambaian mereka.

Aku menghela nafas berat. Sejak Dr. Bani meninggal, begitulah tingkah Puan Suri bersama anak kembarnya setiap petang. Aku lihat jam tangan. Lima belas minit lagi masuk waktu maghrib. Fikiran aku melayang pada tingkah Puan Suri semula.

“Kamu fikir apa sampai berkerut macam tu?”

Aku menoleh. Mak membawa dulang berisi air kopi dan kuih seri muka.

“Mak perasan tak Puan Suri tu.  Dia…”

“Eh,kamu tak tahu ke?” cepat mak memotong cakap aku.

“Tahu apa mak?”

“Suri dan anak kembar dia dah meninggal,”

“Meninggal?Bila?” Aku tercengang.

“Minggu lepas polis datang ke rumah Suri lepas dapat laporan dari saudara Suri. Polis jumpa mayat dah berulat. Polis syak Suri dan anak kembar dia tu dah dekat dua minggu meninggal,”

Innalillahiwainnailairojiun…”Aku tergamam.

Apa yang berlegar di ruang fikiran aku sekarang ini, tingkah Puan Suri dan anak kembarnya sedang melambai-lambai setiap petang. Jadi selama ini aku sebenarnya melihat jelmaan Puan Suri dan anak kembarnya.

“Mak pun rasa terkilan. Masa darurat dulu, masing-masing tak berani keluar rumah.Lepas semua dah reda, masing-masing pulak mula cari rezeki. Dah tak fikir pasal orang lain. Mak benar-benar rasa bersalah pada Suri. Mak..”

Aku terus memeluk tubuh kerdil mak yang sudah teresak-esak menangis. Aku tahu,selama ini mak baik dengan Puan Suri dan sering berhubung melalui telefon ketika PKP dulu. Sejak keadan huru-hara, mak sudah terputus hubungan dengan jiran depan.


*******  
Mac2022

“MAN?”
Aku menoleh. Mak berdiri di sebelah. Baru aku tersedar, aku terlarut begitu lama dalam kenangan pahit itu dulu.

“Ada apa mak?”

“Jadi ke nak jual rumah lama kita?” soal Mak.

“Jadi,”

Mak senyum dan beredar dari bilik aku.

Esok,aku akan kembali ke Taman Jentayu semula. Sudah setahun lebih aku berpindah dari situ atas permintaan mak yang tidak mahu mengenang kejadian pahit di situ.


*******  


AKU kembali menjejakkan kaki ke Taman Jentayu. Rindu pada tempat itu sentiasa ada. Usai urusan dengan bakal pembeli di rumah lama, aku tidak terus pulang. Sebaliknya,aku berdiri di depan rumah sambil membuang pandang pada rumah Dr. Bani. Nampaknya,rumah itu kini sudah dihuni oleh orang lain dan sudah bertukar wajah.

Dalam aku ralit memerhati rumah dua tingkat milik Dr. Bani dulu itu, mataku tertancap pada tiga susuk di depan pintu rumah itu. Aku menelan liur berkali-kali. Puan Suri dan anak kembarnya berdiri di muka pintu sambil melambai-lambai ke arah luar. Rasa cuak dalam diri bercampur dengan rasa sebak dan sedih apabila mengenangkan nasib Puan Suri dan anak kembarnya yang sebegitu rupa. Begitu sarat rasa rindu mereka pada Dr. Bani. Buktinya, kelibat ‘mereka’ masih kekal di rumah itu.

Aku segera masuk ke dalam kereta dan meninggalkan kawasan perumahan itu dengan seribu satu rasa. Apa yang pasti, aku juga rindu pada kehidupan aku di situ seperti mana rasa rindu Puan Suri pada suaminya.


TAMAT

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 19-4-2020 09:04 AM | Show all posts
Best juga cerpen nih.. Harapnya diadaptasikan ke cerpen bervisual pula, selama 45-50 minit..
Reply

Use magic Report

Post time 14-5-2020 01:58 PM | Show all posts
ipo... cerita benar ke ni
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 14-5-2020 02:43 PM | Show all posts
hayrin86 replied at 19-4-2020 09:04 AM
Best juga cerpen nih.. Harapnya diadaptasikan ke cerpen bervisual pula, selama 45-50 minit..

terima kasih..jauh sungguh impian mu itu
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 14-5-2020 02:44 PM | Show all posts

inspired by true events


gituuuu
Reply

Use magic Report

Post time 14-5-2020 04:30 PM | Show all posts
Ipo replied at 14-5-2020 02:43 PM
terima kasih..jauh sungguh impian mu itu

Sama-sama
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 19-5-2020 12:50 PM | Show all posts
terubat rindu kat IPO..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 22-5-2020 06:40 AM | Show all posts
cegitu replied at 19-5-2020 12:50 PM
terubat rindu kat IPO..

Hai cegitu..
Selamat menyambut hari raya
Stay at home
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 22-5-2020 09:25 AM | Show all posts
Ipo replied at 14-5-2020 02:44 PM
inspired by true events

tau dah ipo tu kalau keluar cerpen mesti ada related cerita sebenar
Reply

Use magic Report

Post time 13-8-2020 06:14 PM From the mobile phone | Show all posts
Apa yg jadi pada suri dgn anak?sedeynyerrr
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-8-2020 08:43 PM | Show all posts
MissyMolly replied at 13-8-2020 06:14 PM
Apa yg jadi pada suri dgn anak?sedeynyerrr

Both mati
Reply

Use magic Report

Post time 14-8-2020 12:24 PM From the mobile phone | Show all posts
Ipo replied at 13-8-2020 08:43 PM
Both mati

Owh...tp sebab? Dah sampai ajal ke murung ke bunuh diri ke? Sbb sekali dgn anak2 kan... tidakkkkkkk
Reply

Use magic Report

Post time 4-1-2021 07:51 AM From the mobile phone | Show all posts
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

16-4-2024 04:56 PM GMT+8 , Processed in 0.099691 second(s), 42 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list