Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki dan dua adik perempuannya itu berjaya diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semalam selepas menerima aduan daripada orang awam berkaitan kejadian pengabaian tersebut kira-kira pukul 10 pagi.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, hasil lawatan JKM mendapati tiga beradik berkenaan dibiarkan bersendirian tanpa pengawasan keselamatan dan makanan oleh ibunya yang berusia 32 tahun, bagaimanapun tiada kecederaan atau kesan dera pada mereka mahu pun apa-apa nota yang ditinggalkan oleh suspek kepada anak-anaknya.
“Menurut saksi dalam kalangan jiran terdekat, kanak-kanak itu telah ditinggalkan lebih tiga hari dan berkeliaran pada waktu siang serta malam tanpa perlindungan orang dewasa di samping tidak makan dan minum.
“Perkara itu akan mengundang bahaya terhadap diri mereka dalam usia yang masih mentah, malah penduduk di sekitar perumahan kos rendah tersebut turut bimbang jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Adli, siasatan mendapati hanya kanak-kanak lelaki yang berusia 12 tahun itu yang masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Padang Setenge, namun rekod kehadirannya tidak memuaskan manakala dua lagi adiknya yang masing-masing berusia 6 dan 8 tahun tidak bersekolah.
Katanya, atas dasar keprihatinan penduduk di situ, mangsa menerima bantuan makanan dan duit untuk mengalas perut berikutan ibu mereka yang dikatakan tidak bekerja selepas sekian lama berpisah dengan bapa mereka.
“Berdasarkan maklumat, suspek sentiasa bertukar pasangan dan sering meninggalkan anak-anaknya di rumah tanpa pengawasan orang dewasa lain selama lebih daripada tiga hari. Suspek juga akan mengamuk sekiranya ada orang kampung yang menolong memberi anak-anaknya makanan atau duit belanja.
“Pihak JKM telah mendapatkan perintah perlindungan untuk kanak-kanak itu dan kini mereka ditempatkan di Rumah Perlindungan Sinar Harapan di Kuala Terengganu dan kesemua mangsa akan turut dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Mohd. Adli berkata, polis masih mengesan suspek yang dipercayai telah melarikan diri ke Kuala Lumpur bersama teman lelakinya dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
credit - UTUSAN ONLINE