CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2407|Reply: 0

Lebih 100 bengkel, 500 mekanik berdaftar dengan aplikasi Pomen

[Copy link]
Post time 28-6-2019 10:18 PM | Show all posts |Read mode
KERETA rosak secara tiba-tiba pasti menimbulkan rasa panik apatah lagi jika tidak biasa dengan kawasan tersebut sehingga sukar untuk mendapatkan bantuan mekanik.

Sehubungan itu, Syarikat Pomen Autodata Sdn. Bhd telah melancarkan aplikasi Pomen pada Oktober 2018 bagi membantu pengguna yang mengalami masalah kereta rosak di tengah jalan dengan hanya menekan butang di hujung jari.

Menerusi aplikasi Pomen, pengguna akan dihubungkan terus dengan bengkel dan mekanik yang berdekatan dengan lokasi.

Sebaik sahaja membuat tempahan di aplikasi Pomen, bengkel yang berhampiran akan menerima notifikasi dan terus menghubungi pelanggan dalam masa lima minit.

Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Pomen Autodata Sdn. Bhd., Syed Zulhilmi Tuan Sharif berkata, aplikasi tersebut boleh dimuat turun secara percuma di Google Playstore dan Apple Appstore.

“Sejak dilancarkan, aplikasi Pomen telah diguna oleh 6,000 orang.”

“Aplikasi ini boleh digunakan di seluruh Malaysia kecuali Sabah, Sarawak dan Kelantan,” katanya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer daripada Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

Dalam usaha meluaskan penggunaan aplikasi tersebut di seluruh negara, Syarikat Pomen Autodata Sdn. Bhd bakal melancarkannya di Kelantan dalam masa terdekat, manakala Sabah dan Sarawak pada Oktober nanti.

Syed Zulhilmi memberitahu, lebih 200 bengkel dan 400 mekanik telah berdaftar dengan aplikasi Pomen.

“Kami menyasarkan 1,000 bengkel berdaftar menerusi platform Pomen pada penghujung tahun 2019,” ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai cetusan idea yang membawa kepada pembangunan aplikasi tersebut, beliau berkata, ia ekoran kejadian kerosakan kereta yang dialaminya kira-kira dua tahun lalu.

“Ketika itu saya sedang memandu di Negeri Sembilan dan tiba-tiba kereta rosak tetapi malangnya saya tidak biasa dengan tempat tersebut sehingga sukar mendapatkan bantuan mekanik.

“Rentetan daripada kejadian itu saya dan seorang lagi rakan bersama-sama membina aplikasi Pomen,” tutur anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu.

Melindungi pengguna

Pomen merupakan kata panggilan untuk mekanik, maka syarikat tersebut mahu merevolusikan semua pomen untuk menerima teknologi baharu sejajar dengan industri 4.0.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu memberitahu, tujuan utama pembangunan Pomen ialah bagi memberi jaminan dan keselamatan kepada pemandu wanita ketika mengalami masalah kereta rosak di tengah jalan.

Kaji selidik yang dijalankan oleh Bosch Automotive Aftermarket baru-baru ini mendapati, hanya satu peratus pemandu wanita yang mampu menyelesaikan masalah kereta tanpa meminta bantuan berbanding 48 peratus bagi lelaki.

Pomen melindungi pengguna daripada risiko wakil bengkel yang tidak berlesen dan kos perkhidmatan yang tinggi. Aplikasi Pomen sangat mementingkan kualiti perkhidmatan dengan membuat proses pemilihan bengkel yang ketat.

Hasil kerjasama Syarikat Pomen Autodata Sdn. Bhd dengan Malaysia Automotive Robotics & IoT Institute (MARii), sebanyak 100 bengkel yang diiktiraf menerusi Program Transformasi Bengkel MARii (WTP) telah berdaftar dengan aplikasi Pomen.

Sementara itu, seorang lagi Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Teknologi Pomen Autodata Sdn. Bhd, Nazmi Najib berkata, pengguna boleh mendapatkan khidmat bantuan 24 jam daripada mekanik yang berdaftar dengan Pomen.

“Kami mengambil masa selama enam bulan untuk membangunkan aplikasi ini yang bertujuan untuk membantu pemandu kereta yang mengalami kerosakan kereta walau di mana mereka berada.

“Aplikasi tersebut mempunyai penjejak masa nyata, harga tanpa kos tambahan tersembunyi dan keahlian percuma,” ujarnya yang juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer daripada Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

Bukan itu sahaja, menerusi aplikasi tersebut, pemandu juga dapat membuat tempahan untuk menyelenggara kereta, menukar tayar serta untuk pemeriksaan bateri kereta.

Tambahnya, salah satu ciri penting aplikasi Pomen ialah satu profil boleh dibuat untuk menghubungkan semua ahli keluarga di dalam aplikasi tersebut.

Justeru, setiap ahli keluarga dapat mengetahui status terkini orang tersayang sama ada berada dalam keadaan selamat atau sebaliknya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai aplikasi Pomen atau pemilik bengkel yang mahu turut serta, boleh melayari laman web rasmi www.pomenapp.com.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-3-2024 06:43 PM GMT+8 , Processed in 0.061840 second(s), 28 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list