CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3322|Reply: 10

BILIK PERSALINAN BANGUNAN LAMA 'BAHAGIAN II @ AKHIR' (SEKUEL CERPEN 'KEDAI KAIN

[Copy link]
Post time 11-6-2018 05:43 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Tasnim_Halil at 11-6-2018 06:51 PM

BILIK PERSALINAN BANGUNAN LAMA (BAHAGIAN II @ AKHIR)

Oleh: TASNIM HALIL



            “Adam, aku dah cek kat tandas tapi Mon takde. Macam mana ni Dam? Aku risau sangat ni...”

            “Relaks, jangan panik, kita cari dia sampai jumpa...” Adam terus tenang mengawal keadaan.

            “Arrrggggggghhhhhhhh!”

            “Eh, tu suara Mon kan?” Liza pantas menangkap bunyi jeritan tersebut.

            Adam segera berlari kearah bunyi jeritan tanpa berkata apa. Liza pantas mengikuti langkah sahabatnya itu. Mereka terus ke bilik persalinan yang digunakan oleh Mona tadi. Kesemua pintu bilik dibuka, tetapi tiada langsung terlihat kelibat Mona.

            “Mana ni Dam? Aku dengar betul suara Mon datang dari sini...” Liza bertambah panik.

            “Ye, aku pun dengar tadi. Tapi masalahnya sekarang ni Mon takde...” Adam membalas tegas.

            Suasana mula menjadi kecoh, keadaan kelam kabut mula dirasai pengunjung di sekitar mereka. Masing-masing tertanya apa sebenarnya yang sudah berlaku. Adam dan Liza segera memaklumkan kepada pengurus kedai tentang kehilangan Mona.

            “Dua minggu lepas ada kejadian budak hilang di kedai kain bawah sana. Kemudian ada sorang ustaz datang tolong dan budak tu dapat dijumpai.” Pengurus berkenaan menceritakan kejadian yang hampir sama yang telah berlaku sebelum ini.

            “Assalamualaikum, boleh saya tahu apa yang berlaku dekat sini?” Ustaz Saiful menyapa.

            “Ha, ni la ustaz yang tolong cari budak hilang hari tu...” Pengurus kedai gembira melihat kehadiran Ustaz Saiful.

            Benar telahan Liza selama hari ni, pemuda yang dilihatnya itu adalah seorang ahli agama. Kini dia berada di situ untuk membantu mereka mencari Mona yang sudah ghaib secara tiba-tiba.

            Adam dan Liza menceritakan apa yang berlaku kepada Ustaz Saiful. Ustaz Saiful memasang telinga mendengar setiap butir yang disampaikan walaupun dia sebenarnya sudah mengetahui perihal yang berlaku.

            “Baik, saya sudah maklum dengan situasi kita sekarang. Saya mohon supaya diberi ruang kepada saya untuk mengikhtiarkan sesuatu agar kawan awak berdua dapat ditemui, insya-Allah. Tolong kosongkan kawasan bilik persalinan ni dan letakkan apa-apa tanda di depan untuk menghalang sesiapa masuk ke dalam kawasan sini.”

            “Tolong cari kawan saya ye ustaz, saya berharap sangat pertolongan dari ustaz...” ujar Liza, sedih mengenangkan Mona yang telah hilang entah ke mana.

            “Saya hanya mampu berikhtiar, tetapi segalanya ditentukan oleh Allah SWT. Doakan supaya usaha saya ini dipermudahkan.”

            “Satu lagi… ketika saya sedang berikhtiar, mohon jangan ada sesiapa datang menyentuh tubuh badan saya. Itu sahaja,” pesan Ustaz Saiful ringkas.

Adam dan Liza akur dengan permintaan Ustaz Saiful. Dengan bantuan petugas di situ, mereka telah meletakkan penghadang di sekitar laluan ke arah bilik persalinan. Orang ramai mula mengerumuni kawasan itu untuk mengambil tahu perkara yang sedang berlaku.

Ustaz Saiful terus berdiri di hadapan bilik persalinan yang digunakan oleh Mona. Firasat hatinya mengatakan, di situlah tempat Mona hilang. Seperti sebelum ini, Ustaz Saiful menghamparkan kain rida’ untuk menjadi alas tempat duduknya.

“Bismillahirrahmanirrahim...”

Ustaz Saiful memulakan usaha dengan menabur garam kasar yang dibawa bersama ketika datang tadi, membentuk huruf Lam Alif bersaiz besar di hadapannya. Pintu bilik dibiarkan terbuka sementara beliau memusatkan pandangan tepat ke arah cermin yang ada di dalam bilik persalinan tersebut.

“أَيْنَ مَا تَكُونُوا يَأْتِ بِكُمُ اللَّهُ جَمِيعًا ۚ إِنَّ اللَّهَعَلٰى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ......”

“... di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian.Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu...”

            Ustaz Saiful membacakan potongan ayat suci al-Quran sebanyak tujuh kali untuk menyeru makhluk yang berada di situ.

            Bam!!!

            Pintu bilik tersebut tiba-tiba terhempas dengan sendirinya. Lampu kalimantang yang berada di siling mula mengalami gangguan, berkelip menyala dan terpadam. Suasana sedikit membimbangkan bagi mereka yang sedang melihat keadaan itu.

Ustaz Saiful sudah menjangkakan perkara sebegini pasti akan berlaku. Beliau memusatkan tenaga dalamannya dengan menggunakan ilmu Lam Jalalah sambil tangannya diangkat untuk memulakan serangan bagi membuka semula pintu yang tertutup.

            Jari telunjuk dan jari tengah dihalakan tepat ke hadapan pintu sambil digerakkan di udara membentuk huruf Lam Alif. Selepas itu Ustaz Saiful membuka kedua tapak tangannya dan melepaskan tembakan aura tenaga huruf Lam Alif tepat ke arah pintu.

            Prangg!!!

            Bunyi cermin pecah memenuhi ruang. Pintu yang tertutup kini sudah terbuka semula. Cermin yang berada di dalam bilik tersebut retak dan mengalir keluar darah merah pekat dari celah retakan. Ketika itu Ustaz Saiful dapat melihat dalam kesamaran bayangan Mona sedang menangis meminta pertolongan di sebalik cermin.

            Ustaz Saiful menghela nafas berat selepas menggunakan agak banyak tenaga dalamannya. Beliau sedar kali ini bukan mudah untuk menewaskan makhluk tersebut bagi menyelamatkan mangsa. Ya, makhluk itu kembali untuk membalas dendam yang terpahat setelah ditewaskan oleh Ustaz Saiful dalam kejadian sebelum ini.

            “Apa yang mamat tu buat ha? Dari tadi aku tengok duduk je tak buat apa-apa...” Adam mula sangsi dengan usaha yang dilakukan oleh Ustaz Saiful.

            “Sabarlah Dam, kita tunggu je sini. Kan ustaz tu dah cakap jangan ganggu dia sekarang ni...”

            “Baik, aku tunggu buat masa ni. Kalau lagi satu jam takde apa-apa jadi, aku pergi report polis. Tak pun aku masuk dan pecahkan je bilik persalinan ni semua...” tegas Adam.

            “Ikut kau lah Dam, aku tak tahu nak cakap apa dah... Serabut kepala aku!” Liza akur.



***


            “Aduh!”

            Jari Saodah tercucuk jarum yang sedang dia gunakan untuk menjahit leher baju kurung anaknya.

            “Allah, berdarah pulak jari ni...” omel Saodah sendirian.

            Wanita tua itu tiba-tiba teringatkan anaknya Mona yang ke pekan untuk membeli baju baru, masih belum pulang ke rumah. Hatinya mula berasa kurang selesa, terfikir perkara yang bukan-bukan.

            Keadaan di bilik persalinan masih tegang, tiada tanda-tanda akan berakhir awal pencarian ini.

            Ustaz Saiful meneruskan usahanya untuk menjejaki Mona yang telah dibawa ke alam lain. Dipersiapkan dirinya untuk membuka ruang di antara dua alam yang terpisah, agar dapat beliau masuk dan menyelamatkan Mona.

            “Bismillahirrahmanirrahim...”

            “Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha mengasihani, aku bermohon dengan nama Tuhanku agar dapat aku pisahkan diriku dari diriku. Aku berlindung di sebalik huruf Lam dan Alif agar pertahanan diriku ampuh dari serangan musuh.”

“Ya Rabbul Jalil!”

“Ya Haiyu ya Qayyum!”

Ustaz Saiful menghela nafas ringan seraya meletakkan kedua tangannya di atas riba dan memejam rapat matanya untuk menenangkan diri. Beliau sedang meraga sukma untuk memisahkan diri batin daripada tubuh zahirnya. Selepas bertafakur beberapa minit, kini diri batinnya sudah terpisah lalu bangun meninggalkan jasad yang sedang duduk bersila.

Diri batin Ustaz Saiful terus melangkah ke arah cermin yang masih mengalir darah merah pekat. Digerakkan sekali lagi jari telunjuk dan jari tengahnya di hadapan cermin membentuk huruf Lam Alif. Dengan izin Allah terbuka ruang antara dua alam dan memberi laluan untuk Ustaz Saiful masuk ke alam sebelah sana.

Sukar untuk digambarkan keadaan di sana, bukan semua orang boleh masuk dan keluar dengan selamat. Di sana penuh dengan tipu daya. Bergantung pada bagaimana dan sebab apa seseorang itu masuk ke sana. Ustaz Saiful melangkah perlahan kerana sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang boleh berlaku. Beliau terdedah dengan serangan dari dalam dan luar.

Suasana yang suram dan sedikit gelap menyukarkan pencarian Mona. Dengan bau yang busuk dan memualkan, perhatian Ustaz Saiful agak terganggu. Banyak mata yang sedang memandangnya dari jauh dan sentiasa siap siaga untuk menyerang jika mempunyai peluang.

Diri batin Ustaz Saiful ketika ini diliputi dengan aura cahaya Lam Jalalah. Tebal cahaya itu hampir dua meter dari tubuh beliau. Agak sukar bagi sebarangan makhluk untuk menembusi pertahanannya buat masa ini.

“Hik hik hik...”

Terdengar suara tawa seorang kanak-kanak perempuan di sebelah bahu kanan Ustaz saiful. Beliau memandang ke arah kanan untuk mencari siapakah gerangan yang sedang tertawa.

“Hik hik hik...”

Suara tadi beralih ke kiri pula. Ustaz Saiful pantas mengalih pandangan ke arah kiri beliau.

“Akhirnya kau sampai juga ke sini wahai manusia durjana! Di sini kau tidak akan dapat menewaskan aku lagi, kerana di sini akulah yang berkuasa!” Bergema suara yang tidak diketahui oleh siapa pengucapnya.

“Aku tahu kau siapa, kau pernah aku tewaskan sebelum ini. Sekarang kau cuba untuk membuat onar lagi?” Ustaz Saiful membalas tegas.

“Ya, kini dendam aku akan terbalas. Kau akan aku kuburkan di sini bersama dengan perempuan itu.”

Makhluk itu menzahirkan rupanya di hadapan Ustaz Saiful sambil tangannya menunding ke arah Mona yang sedang tergantung di tepi dinding gelap. Tidak diketahui bagaimana keadaan Mona ketika itu, dia kelihatan tidak bermaya dan separa sedar.

“Kamu tidak akan mampu menewaskan aku tanpa izin dari Allah... Aku berlindung dengan Tuhanku dari iblis, syaitan dan jin laknatullah seperti kamu!”

“Wargggghhhhhh!!!... Wargggghhhhhh!!!”

Makhluk itu seakan-akan mengamuk dan menjerit kuat. Tidak semena-mena makhluk tersebut terus melompat ke arah Mona yang sedang tergantung. Tangannya yang tadi berupa seperti tangan manusia telah berubah menjadi seakan tunggul kayu yang sangat tajam di hujungnya. Dia cuba menikam tubuh Mona, dengan niat untuk membunuhnya.

Ustaz Saiful segera memusatkan segala tenaga yang ada lalu dimakrifatkan huruf tho, sin dan mim. Terzahir huruf tho, sin dan mim yang bercahaya terang berterbangan menuju ke arah tangan makhluk tadi.

Pom!!! Pom!!! Pom!!!

Tiga ledakan meletus di tangan makhluk itu sebelum sempat ia tertusuk ke tubuh Mona. Dia terpelanting ke tepi lalu menghilang di sebalik kegelapan yang suram. Ustaz Saiful segera mendapatkan Mona yang masih tergantung dan dalam keadaan separa sedar. Nafasnya kian perlahan dihela kerana sudah berada terlalu lama di sini.

Ustaz Saiful segera memakrifatkan tangan kanannya membentuk sebilah pedang panjang, lalu dihayunkan ke arah makhluk yang sedang memegang tubuh Mona. Jasad Mona dilepaskan dan terjatuh ke bawah. Mona dipapah oleh Ustaz Saiful untuk di bawa keluar dari situ.



***


            “Adam...”

            “Ha?” Adam memalingkan mukanya ke kanan apabila terdengar suara memanggil namanya.

            “Hik hik hik...”

            Tiba-tiba mata Adam berubah menjadi hitam pekat. Dia telah dirasuk oleh sesuatu. Adam yang dalam kerasukan terus bergerak menuju ke arah jasad Ustaz Saiful yang masih kekal duduk di hadapan bilik persalinan.

            “Weh Dam, kau nak pergi mana tu? Ustaz tak bagi ganggu la!” Liza cuba menghalang Adam.

            Rakan baiknya itu tidak menghiraukan bantahan Liza, dia terus melangkah pantas. Ada sesuatu yang mahu dilakukannya terhadap jasad Ustaz Saiful. Dia pasti mahu menggagalkan usaha menyelamatkan Mona yang sedang dilakukan ketika itu.

            Ustaz Saiful dan Mona sudah sampai ke bukaan laluan untuk keluar dari alam sebelah sini dan kembali ke alam dunia. Sebelum sempat mereka melangkah keluar, terlihat Adam sedang memegang jasad Ustaz Saiful sambil melemparkan senyuman sinis.

            “Kau tidak akan terlepas kali ini ustaz, hihihi...”

            Bam!!!

            Jasad Ustaz Saiful dilemparkan ke belakang dan berlanggar dengan pintu bilik persalinan yang berhadapan dengan bilik tadi. Tidak berhenti di situ, kepala Ustaz Saiful dihentakkan ke cermin bilik tersebut sehingga berderai kaca ke lantai. Mengalir darah merah dari luka yang terhasil di kepala Ustaz Saiful.

            Bukaan laluan antara dua alam tadi tidak semena-mena tertutup dan hilang. Ustaz Saiful dan Mona kini terperangkap di dalam alam sana. Keadaan mula menjadi panik dan kegusaran mula menebal di dada mereka. Ustaz Saiful seakan mati akal untuk dia mencari jalan keluar dari situ.

            “Sekarang macam mana? Hahahahaha! Mana tuhan yang kau rasa boleh bantu kau sekarang? Aku yang paling berkuasa di sini... Hahahahaha!”

            Makhluk itu sudah kembali dan begitu yakin akan dapat menamatkan sengketa mereka dengan mudah. Ustaz Saiful bertambah gusar kerana masih lemah akibat penggunaan tenaga dalam yang banyak.

Beliau mendudukkan Mona dan cuba untuk berhadapan semula dengan makhluk tersebut. Dirinya tekad, walau apa pun yang terjadi dia akan berusaha sehingga habis nyawa untuk menyelamatkan diri mereka. Hanya kepada Allah tempat beliau berserah diri. Tiada daya dan upaya melainkan dengan keizinan dari Allah.


***

            “Mak, Nim pergi surau dulu yer...”

            “Yer Nim, jalan elok-elok...”

            Di sebuah kampung yang damai, terlihat seorang ustaz muda sedang melangkah perlahan berjalan kaki menuju ke surau di kampungnya. Itulah Ustaz Tasnim, sahabat baik Ustaz Saiful. Mereka berdua adalah kenalan rapat ketika menuntut ilmu di sebuah pondok di negeri Kedah suatu masa dahulu.

            Sedang dalam perjalanan yang tenang dan mendamaikan itu, tiba-tiba pandangan Ustaz Tasnim berubah serta-merta. Laluan jalan kampung yang diapit dengan hutan separa tebal itu berubah menjadi gelap dan kosong.

Ustaz Tasnim sedar ada sesuatu telah berlaku dan beliau terus berjalan tanpa menghiraukan perubahan yang terjadi. Semakin jauh dia berjalan semakin gelap dan busuk bau yang menusuk hidungnya.

            Mulut Ustaz Tasnim mula terkumat-kamit membaca sesuatu untuk membolehkan beliau mengetahui perkara sebenar yang terjadi. Seraya itu, beliau menghentakkan kakinya di atas tanah lalu membeliakkan mata untuk membuka hijab.

            Terpampanglah di pandangannya ketika ini akan kejadian yang sedang berlaku kepada sahabatnya Ustaz Saiful. Tanpa melengahkan masa beliau terus meraga sukma dan menghantar diri batinnya untuk membantu Ustaz Saiful.

            “Arghhhhh!” Ustaz Saiful mengerang kesakitan kerana kakinya ditusuk dengan tangan makhluk tadi yang berbentuk kayu tajam.

            “Hahahahaha, sebelum ni macam hebat sangat aku tengok. Sekarang kenapa kau menjerit macam ni ha bodoh?”

            Makhluk itu menarik semula tusukannya dan sedia untuk menusuk perut Ustaz Saiful pula. Dia memang mahu menyeksa Ustaz Saiful semahu-mahunya agar dia puas dan dendamnya terbalas.

            “Allahhhhhhh!”

            Sekali lagi tusukan yang dituju, tepat menembusi perut Ustaz Saiful. Hanya erangan dan air mata yang terzahir ketika ini. Mona tidak dapat berbuat apa-apa dan dia hanya bertelegu dalam keadaan separa sedar, mamai.

            “Hahahahaha, aku suka melihat kau sekarang ni. Tapi lepas ni tiada lagi pertemuan antara kita. Ini adalah tusukan terakhir untuk kau, manusia bodoh!”

            Makhluk tadi mengangkat tangannya tinggi dan bersedia untuk menikam jantung Ustaz Saiful untuk memutuskan nyawanya. Tikaman dilepaskan.

            Pom!!!

            Suatu ledakan meletus di tangan makhluk tadi sebelum sempat ia menikam jantung Ustaz Saiful. Makhluk tadi tercampak ke belakang dan tidak kelihatan lagi.

            “Saiful! Astaghfirullah...”

            “Allah... Tasnim ke tu?” Ustaz Saiful menggagahkan diri bertanya.

            “Yer Saiful, Tasnim ni. Ana dapat firasat tadi enta dalam kesusahan. Alhamdulillah ana sempat sampai dengan izin Allah...”

            “Allahuakbar... Alhamdulillah... Allah telah menghantar enta untuk selamatkan kami...” Ustaz Saiful mengalirkan air mata terharu, syukur.

            “Nanti dulu Saiful, pertarungan ini belum selesai. Ana kena tamatkan pertarungan ini sebelum boleh membawa enta dan ukhti ini keluar dari sini. Benda tadi masih belum kalah. Dia masih ada menyembunyikan dirinya di sebalik kegelapan...”

            Ustaz Saiful sekadar menganggukkan kepala tanda setuju dengan apa yang diperkatakan oleh sahabatnya. Dia dipapah dan didudukan di sebelah Mona sementara menunggu pertarungan selesai.

            “Tasnim, habiskan segera. Ukhti ni dah tak mampu bertahan lama.” Ringkas pesanan Ustaz Saiful kepada sahabatnya.

            Ustaz Tasnim menunjukkan isyarat ‘okey’ dengan tangan kanannya. Kini beliau sedang bersiaga untuk berhadapan dengan makhluk jahat laknatullah itu.

            “Bismillah...”

            Makhluk tadi sedang memerhatikan gerak dan gaya Ustaz Tasnim sebelum menyerang balas. Ia tidak mahu tersalah langkah lalu gagal membunuh mereka.

            Ustaz Tasnim melafazkan ayat suci al-Quran seraya menghentakkan kakinya. Tiba-tiba kegelapan yang sangat suram tadi telah tersingkap dan terlihatlah keberadaan makhluk tadi.

            Tanpa menunggu lama, Ustaz Tasnim terus memusatkan seluruh tenaga dalaman dan memakrifatkan tangannya menjadi dua bilah pedang yang sangat panjang dan tajam. Pedang tadi bercahaya dengan sangat terang dan berkilauan.

            Makhluk tadi mula menjadi tidak keruan dan cuba untuk menyerang hendap Ustaz Tasnim dari arah belakang dengan kepantasannya. Dia melompat dan menghalakan tangannya yang berbentuk tirus tepat ke arah bahagian jantung Ustaz Tasnim.

            Ustaz Tasnim yang sudah bersedia, terus berpusing dan melibas kedua-dua pedang makrifatnya ke arah makhluk tadi.

            Tusss!!!

            Kedua tangan dan kepala makhluk itu terpisah dari tubuh badannya yang besar. Bergelimpangan kepala,tangan dan tubuh yang tidak lagi bersambung itu di atas lantai. Allah telah mengizinkan Ustaz Tasnim untuk menamatkan riwayat makhluk penderhaka tersebut.

            Waarrgggghhhhhh!!!

            Kedengaran jeritan dari makhluk lain di sekitar itu kerana melihat kematian kawan atau kaumnya yang sangat tragis.

            “Jangan sesekali kalian cuba untuk menganiaya kami dari kaum manusia yang beriman. Sesungguhnya Allah bersama dengan mereka yang sujud dan patuh dengan perintah-Nya. Nyah kalian dari sini!”

            Ustaz Tasnim memberikan peringatan kepada semua makhluk yang lain agar tidak lagi mengganggu atau melakukan kekacauan. Beliau memapah sahabatnya dan Mona untuk dibawa keluar dari tempat tersebut. Dengan izin Allah, laluan telah berjaya dibuka untuk Ustaz Saiful dan Mona kembali ke tempat asal mereka datang. Selepas memastikan mereka selamat keluar, diri batin Ustaz Tasnim kembali semula ke jasadnya. Beliau sekadar tersenyum dan mengucapkan syukur kepada Allah atas pertolongan yang diberikan.

            Liza berlari ke arah Mona yang dilihatnya berjalan perlahan keluar dari bilik persalinan. Dia terus memeluk kawan baiknya itu sambil menyeka air mata yang laju keluar. Adam telah tersedar dari rasukan dan terkejut dengan apa yang telah dia lakukan kepada jasad Ustaz Saiful.

Ustaz Saiful tidak menyalahkan dia kerana mengetahui kebenaran disebalik apa yang berlaku. Adam memapah Ustaz Saiful keluar dari situ dan membawa beliau ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

            Mona juga dirawat dan diberikan ubat untuk membantu dia merehatkan badan yang penat. Dia masih terpinga-pinga. Ingatannya hanya terlekat sehingga waktu dia menarik tangan Liza untuk menemani dia mencuba baju yang dipilih.

            Bagi mereka bertiga, peristiwa ini benar-benar memberikan impak kepada diri masing-masing. Ada hikmah di sebalik setiap kejadian yang berlaku. Mona kini semakin banyak berubah ke arah kebaikan. Sesekali dia bertemu dengan Ustaz Saiful di surau untuk mempelajari agama. Liza dan Adam juga terkadang mengunjungi Ustaz Saiful untuk bertanya khabar dan bertanyakan hal berkaitan agama.

            Bangunan lama di pekan itu terus kekal dikunjungi penduduk sekitar. Apapun yang berlaku ia tetap akan berlaku dan sebaiknya dijadikan peringatan bagi mereka yang berfikir.


“Awak nak cuba baju baru? Marilah sini saya boleh temankan... hihihihi...”



-Tamat-

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 11-6-2018 07:04 PM | Show all posts
scary gak. pasni masuk bilik salin baju nk ajak org teman la hehe

thanks tt. kisah yg menarik.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-6-2018 08:29 PM | Show all posts
mystica replied at 11-6-2018 07:04 PM
scary gak. pasni masuk bilik salin baju nk ajak org teman la hehe

thanks tt. kisah yg menarik.

Alhamdulillah... Terima kasih sudi baca cerita saya... Jangan pergi sorang-sorang yer lepas ni... huhu~

Reply

Use magic Report

Post time 12-6-2018 02:00 PM From the mobile phone | Show all posts
kenapa tak sambung je cerita ni kat thread yg dh sedia ada..
Reply

Use magic Report

Post time 18-6-2018 10:21 PM From the mobile phone | Show all posts
Sini rupa ya sambu gannya..hihi
Tp kat mana tmpt tu ek...
Negeri mana...
Reply

Use magic Report

Post time 19-6-2018 12:01 PM From the mobile phone | Show all posts
Bagila klue negeri mana
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 25-6-2018 10:59 AM | Show all posts
stars83 replied at 12-6-2018 02:00 PM
kenapa tak sambung je cerita ni kat thread yg dh sedia ada..

Maaf, baru lagi kenal forum cari ni... Tak berapa cekap lagi... Insya-Allah lepas ni akan sambung kat thread yang sama... T.kasih untuk cadangan...

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-6-2018 11:00 AM | Show all posts
shernazz replied at 18-6-2018 10:21 PM
Sini rupa ya sambu gannya..hihi
Tp kat mana tmpt tu ek...
Negeri mana...

T.kasih sudi baca... Cerita ni rekaan jer, imaginasi saya sendiri...
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 25-6-2018 11:00 AM | Show all posts

T.kasih sudi baca... Cerita ni rekaan jer, imaginasi saya sendiri...
Reply

Use magic Report

Post time 25-6-2018 11:53 AM From the mobile phone | Show all posts
Tasnim_Halil replied at 25-6-2018 11:00 AM
T.kasih sudi baca... Cerita ni rekaan jer, imaginasi saya sendiri...

Hihi
Best..
Sebab cm iols.masuk imaginasi tu okeh..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-6-2018 11:31 AM | Show all posts
shernazz replied at 25-6-2018 11:53 AM
Hihi
Best..
Sebab cm iols.masuk imaginasi tu okeh..

Alhamdulillah... Lega ada orang buleh terima cerita rekaan kita... huhu~ Insya-Allah hari ni akan ada cerpen baru... Tunggu~

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-12-2024 01:04 AM GMT+8 , Processed in 0.058927 second(s), 23 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list