CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2597|Reply: 2

Numismatik Bukan Sekadar Hobi Biasa

[Copy link]
Post time 8-11-2017 04:41 PM | Show all posts |Read mode

DARI kiri: Suhairul, Anizam dan Mohd. Nazle menunjukkan pelbagai koleksi mata wang yang disimpan

MALAM sudah semakin larut tetapi kediaman yang terletak di Jalan Permata 10, Taman Permata, Ulu Klang, Selangor itu masih lagi terang-benderang.
Dari jauh kelihatan tiga lelaki rancak bersembang di bahagian ruang tamu kediaman itu.

Topik perbincangan mereka rata-ratanya berkisar kepada mata wang. Menariknya, mereka bukannya spekulator, remisier atau individu yang terlibat dalam sistem perbankan dan kewangan sebaliknya merupakan antara pengumpul mata wang (numismatis) di negara ini.

Apa yang pasti, hobi itu  bukan sahaja membolehkan mereka mengenali sejarah atau asal usul mata wang tetapi berpeluang menjana pendapatan tambahan.

“Macam inilah rutin kami saban minggu. Jika berkesempatan, kami akan berkumpul di mana-mana lokasi untuk berbincang isu-isu terbaharu dalam dunia numismatik,”kata Anizam Mustafa, 39, yang serius menjadi seorang  numismatis sejak lapan tahun lalu.

Lelaki yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu berkata, minatnya terhadap numismatik bermula ketika dia berusia lapan tahun selepas bapa saudaranya menghadiahkan sejumlah duit syiling satu sen lama berbentuk petak yang digunakan sebelum kemerdekaan negara.

“Bagaimanapun, saya hanya simpan. Selepas bekerja, saya sering ke Rope Walk di Pulau Pinang yang terkenal sebagai pusat barangan antik termasuk mata wang lama.

“Di sana, saya berpeluang melihat pelbagai bentuk mata wang termasuk dari dalam dan luar negara serta membelinya sekadar untuk suka-suka sahaja,” ujarnya.

Menyedari koleksi mata wang yang semakin bertambah, Anizam mula berjinak-jinak sebagai penjual dengan menjadikan laman web Mudah dan Facebook sebagai platform perniagaan.

Sejak itu, dia bertemu ramai numismatis di negara ini termasuk mentornya, Ahmad Fairuz Adnan, 46, yang menetap di Alor Setar, Kedah.
“Saya banyak belajar ilmu numismatik daripada beliau, baik dari segi penyimpanan, mengenal item-item dan kategori mata wang yang menjadi pilihan.

Bernilai tinggi


SUHAIRUL menunjukkan koleksi wang kertas yang mempunyai nombor siri 87 yang disimpannya sejak bergelar numismatis.

“Saya sangka, hanya mata wang lama yang bernilai tetapi rupa-rupanya mata wang baharu yang kita simpan di dalam poket atau dompet juga mungkin bernilai tanpa disedari,” katanya yang dikenali sebagai TMC di laman sosial dan forum-forum berkaitan numismatik.

Jelasnya, antara yang sering menjadi buruan ialah duit syiling satu sen keluaran tahun 1970 dan 10 sen keluaran tahun 1971, wang kertas gantian yang bermula dengan huruf Z dan wang kertas salah potong atau salah cetak.

Selain itu, wang kertas yang mempunyai nombor siri rendah, sama atau tersusun juga mempunyai peminat tersendiri.

“Item numismatik paling mahal ketika ini ialah wang kertas RM1 yang ditandatangan oleh Gabenor Bank Negara ketujuh, Tan Sri Ali Abul Hassan, syiling dan wang kertas Negeri-Negeri Selat, Sarawak, North Borneo (Sabah) serta wang kertas Malaysia daripada nombor siri satu hingga empat yang berada dalam keadaan baik.

“Selain itu, duit syiling 50 sen keluaran tahun 1967, 1968 dan 1969 yang mempunyai sisi bergerigi serta wang kertas gantian huruf Z yang mempunyai banyak bilangan digit 0 pada bahagian nombor siri juga bernilai tinggi di pasaran,” katanya.

Ketika ini, Anizam memiliki pelbagai koleksi mata wang lama, kupon ladang, mata wang asing yang dianggarkan mencecah RM100,000 hingga RM200,000 di pasaran.

Antara koleksi kesayangannya ketika ini ialah artifak berbentuk pahlawan berkuda yang dibeli daripada seorang pengumpul barangan lama di Johor.

“Mengikut pakar numismatik, artifak itu pernah digunakan sebagai mata wang pada abad ke-18 dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kerajaan Johor Lama atau kerajaan Palembang yang masyhur ketika itu,” ujarnya.

Sementara itu, Suhairul Adullah, 29, berkata, dia mengumpul wang lama sejak daripada kanak-kanak kerana tertarik dengan sejarah dan keunikannya.

Katanya, dia mula serius dengan hobi itu sekitar tahun 2012 kerana sering berkongsi ilmu dalam kalangan numismatis  yang lebih berpengalaman menerusi laman sosial dan forum di internet.

“Sejak itu, saya mula obses sehinggakan semua tabung adik-beradik atau saudara-mara terdekat saya buka untuk mencari duit syiling yang mungkin bernilai tinggi di pasaran.

“Adakalanya, saya juga sering ke pusat barangan antik seperti di Amcorp Mall, Pulau Pinang dan Johor untuk mencari mata wang tertentu sebagai koleksi,” ujar kakitangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) itu.

Suhairul memberitahu, ketika ini, dia turut mengumpul wang kertas yang mempunyai nombor siri 87 yang bermula daripada nombor rendah atau berturutan sebagai simbolik tahun kelahirannya pada tahun 1987.

“Lazimnya, numismatis mempunyai koleksi khas tertentu seperti mata wang asing, nota bank, duit syiling peringatan, medalion, wang kertas bercantum, mata wang rosak atau palsu.

Pengetahuan asas


KETIKA ini terdapat pelbagai buku numismatik di pasaran yang boleh dijadikan rujukan ahli.

“Saya pula cenderung mengumpul wang kertas yang mempunyai nombor siri 87. Ahli numismatis lain juga mengetahuinya dan setiap kali mereka menjumpai wang kertas yang mempunyai nombor siri berkenaan, mereka akan menyimpan atau menjualnya kepada saya,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Nazle Abdul Aziz, 36, berkata, individu yang baru berjinak-jinak sebagai numismatisperlu mempunyai pengetahuan asas sama ada menerusi pembacaan, menghadiri seminar atau penglibatan dalam kelab-kelab numismatik yang terdapat di negara ini.

Ini kerana cabang ilmu itu sangat luas kerana melibatkan banyak item dan kategori seperti mata wang tempatan, mata wang luar negara serta warisan sejarah Melayu atau duit syiling.

“Pada peringkat awal dahulu, saya sendiri kurang pengetahuan mengenai numismatik sehingga pernah menolak tawaran seorang kenalan yang menawarkan duit syiling 10 sen keluaran tahun 1971 pada harga RM110.

“Ketika itu, saya ingat harganya terlalu mahal dan tidak masuk akal. Selepas mendalami ilmu ini, baru saya sedar duit syiling itu menjadi buruan kerana ia dikeluarkan dalam jumlah yang terhad pada tahun berkenaan.

“Kini, harganya mampu mencecah RM700 hingga RM1,200 kerana ia sukar diperoleh di pasaran,” katanya yang aktif sebagai numismatis  sejak tahun 2010.

Menurutnya, mereka juga digalak melakukan proses penggredan terhadap koleksi masing-masing untuk menentukan kondisi dan grednya.Ketika ini, terdapat dua syarikat profesional yang melakukan penggredan wang kertas dan duit syiling iaitu Paper Money Guaranty (PMG) dan Numismatic Guaranty Corporation (NGC).

“Menerusi penggredan ini, nilai mata wang itu dapat ditentukan selain maklumat lain seperti kondisi, ketulenan, variasi dan skala yang diperoleh.

“Menerusi khidmat profesional ini,  numismatik mudah menentukan harga mata wang yang disimpan berdasarkan gred yang diberikan, sekali gus mengelak berlakunya unsur-unsur penipuan serta memastikan ia tidak rosak,” katanya.

Kosmo Online



Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 16-11-2017 08:00 AM | Show all posts
wahhh bagus ni
Reply

Use magic Report

Post time 21-11-2017 04:40 PM | Show all posts
numismatis - baru first time dengar nama ni
selama ni panggil money collector je

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 01:14 PM GMT+8 , Processed in 0.059522 second(s), 28 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list