KUALA TERENGGANU – Sebanyak 883 sekolah di seluruh negara dikenalpasti berisiko banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula 5 November lalu.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, kesemua sekolah terbabit pernah direkodkan dilanda banjir dalam tempoh 2018 sehingga awal tahun ini merangkumi 770 adalah sekolah rendah dan 113 lagi adalah sekolah menengah.
“Semua jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan institusi pendidikan telah diarahkan bersiap siaga menghadapi MTL.
“Garis panduan tindakan sebelum, semasa dan selepas banjir juga telah disediakan bagi mengurangan risiko ancaman nyawa dan kerugian harta benda Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya pada majlis Sekalung Budi Sejunjung Kasih Kenangan Abadi bagi menghargai jasa lebih 900 pesara guru dan kakitangan JPN Terengganu.
Azman berkata, Sarawak mempunyai sekolah paling banyak berisiko hanjir iaitu 227 sekolah diikuti Sabah (208), Pahang (93), Kelantan (91) dan
Terengganu (90).
Tambah beliau, sebanyak 45 sekolah berisiko banjir di Perak, Selangor (42), Kedah (23), Johor (19), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (19), Pulau Pinang (15), Negeri Sembilan (10) dan satu di Melaka. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/11/14/883-sekolah-berisiko-banjir-mtl/