|
alamak.... tak nampak eh????
Khairul Hakimin Muhammad
22 hrs · Edited ·
[Bapak Tanya Kau Apa Khabar?]
Ya kau lagi pandai.
Sudah 3 tahun di Universiti, tidak tambah 5 tahun di sekolah menengah, 6 tahun sekolah rendah.
Kamu berjaya setiap peperiksaan. Kau hebat.
Kaulah punya pengalaman hebat, di universiti kau diangkat-angkat,
Kau punya kawan-kawan yang mantap, melekat bagai belangkas ke sana sini.
Bila balik, kau lupa makan,
Emak tunggu engkau dari pagi hingga petang,
Jumpa kami saja emak kata kau nak balik hari ini,
Dari pagi emak bising,
Kemaskan bilik kau,
Kemaskan rumah,
Kemaskan semua yang engkau suka,
Kau nak balik, kau nak balik, kau nak balik,
Sampaikan bapak kau pun emak bagi arahan,
Pergi pasar beli itu ini, belikan semua, emak tiba-tiba berduit,
Habis segala bekas emak korek nak beli kerapu, siakap, tenggiri dan ayam untuk kau,
Semua untuk kau.
Kau lupa,
Bapak kau tak senang mana,
Emak lagilah berniaga pagi petang siang malam nak hantar kau belajar,
Dan kau tetap lupa,
Bila Kau balik kau hadap telefon,
Juga pagi petang siang malam,
Emak tanya kau apa khabar,
Kau jawab sudahlah mak, dah ada depan mak pun mak nak tanya?
Bapak kau tanya macam mana kau kerja sekarang?
Kau jawab, apa bapak nak lagi? Tak cukup duit setiap bulan tu?
Kau tak ikut saranan,
Emak tetap sayang,
Kau kasar-kasar setiap kali pulang,
Emak tetap tunggu kau datang,
Kau marah-marah bila emak telefon,
Emak tetap sabar janji dapat dengar suara kau.
Kau tahu abang kakak kau semua cemburu,
Kau senang,
Abang kakak kau tak pandai macam kau,
Telinga mereka juga tak reti tapis macam telinga kau,
Telinga mereka terus sampai ke hati,
Bila saja emak cerita,
Hati mereka menangis-nangis rindukan kau,
Bila saja bapak tanya kau apa khabar,
Hati mereka diguris-guris dengan pisau potong ayam,
Mereka ada depan mata,
Emak tetap tanya kau apa khabar,
Mereka ada depan mata,
Bapak tetap tanya macammanalah kehidupan kau di kota,
Solat ke tidak,
Mengaji ke tidak,
Abang kakak kau tak pandai,
Tapi bapak yakin sebab depan mata.
Hari-hari bapak jumpa mereka di surau. Semua ada.
Tapi hati emak tak senang,
Hati bapak tak senang,
Teringatkan kau.
Sampai satu hari,
Emak sakit, emak sakit pun sebab ingatkan kau.
Kakak hulur air, emak tepis.
Emak nak tangan kau, Emak kata emak rindu nak cium tangan lembut kau,
Tangan yang emak main-main masa kau kecil,
Tangan yang menyapu pipi emak, bermain mata emak, mengusap-usap seluruh wajah emak,
Tangan itu yang emak kau nak.
Sesempurna ciptaan Tuhan yang emak syukur sangat-sangat,
Akhirnya,
Bapak menangis tepi pintu,
Teresak-esak macam kau masa kecil tak dapat apa yang kau nak,
Bapak tak hilang seorang anak,
Tapi bapak hilang segala-galanya.
Emak kau segala-gala bagi bapak.
Hari ini, Emak mati rindukan kau.
Dan kau tetap tak balik-balik,
Tapi bapak tetap nak tahu..
Bapak tetap nak tanya,
Kau apa khabar?
Bapak.
Khairul Hakimin. Muhammad
19/1/2015 - Subang Jaya Medical Centre.
|
|