Doktor didakwa rakam video punggung, badan pekerja kedai penjagaan kecantikan
Seorang doktor perubatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan merakam video punggung dan badan seorang wanita pada Julai lalu. - NSTP/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
TELUK INTAN: Seorang doktor perubatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan merakam video punggung dan badan seorang wanita pada Julai lalu. Tertuduh, Dr Amirul Haqim Ayub, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mengaibkan kesantunan seorang pekerja kedai penjagaan kecantikan dan kesihatan berusia 27 tahun secara merakam video punggung dan bahagian badan mangsa dengan menggunakan telefon bimbit. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kedai tempat mangsa bekerja dalam sebuah pasar raya di Jalan Changkat Jong, dekat sini, pada jam 6.30 petang 12 Julai lalu.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dengan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurul Farahdiana Md Saad, menawarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 kepada tertuduh. Namun peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Kumaresan yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah membenarkan ikat jamin minimum atas alasan anak guamnya perlu menanggung seorang isteri. Naidatul Athirah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin, dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 30 Disember depan untuk lantikan peguam serta serahan dokumen. Berdasarkan laporan polis yang dibuat, kejadian itu didakwa berlaku ketika wanita terbabit sedang menyusun barang di kedai tempat mangsa bekerja. Hasil pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh disyaki mendekati dan merakam video punggung mangsa.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/11/1327263/doktor-didakwa-rakam-video-punggung-badan-pekerja-kedai-penjagaan
|