'JIPS guna dron pantau polis curi tulang main golf ketika bertugas' - KPN
Razarudin (dua kanan) bersama Ayob Khan (dua kiri) hadir Majlis Perbarisan Tamat Latihan PLAK Inspektor, Sarjan dan Konstabel Pelatih PULAPOL Kuala Lumpur, Segamat, Dungun dan Bukit Sentosa di sini hari ini. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standards (JIPS) Bukit Aman mula menggunakan dron untuk menjalankan siasatan dan pemantauan terhadap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang 'curi tulang' ketika bertugas termasuk keluar pejabat untuk bermain golf. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata tindakan itu atas arahan pihaknya yang mahu JIPS lebih proaktif memantau dan mengambil tindakan atas salah laku yang berlaku dalam kalangan warga PDRM. Katanya, JIPS juga akan menjalankan siasatan terus tanpa menunggu arahan daripada mana-mana pihak berhubung salah laku membabitkan pegawai dan anggota PDRM. "JIPS diarahkan lebih proaktif mengambil tindakan terhadap warga PDRM yang membuat salah laku untuk memastikan tahap integriti dan tatakelola mereka berada pada tahap baik.
"Sekarang JIPS menggunakan dron untuk menyiasat mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit salah laku seperti keluar dari pejabat untuk bermain golf, kita akan ambil tindakan. "Selain itu, semua pegawai JIPS di kontinjen, Bukit Aman dan daerah sudah bergerak dan kita lihat pihak JIPS sendiri yang tangkap pegawai terbabit salah laku, pergi ke karaoke, berfoya-foya dan berbelanja melebihi kemampuan," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Inspektor Pelatih, Sarjan Pelatih dan Konstabel Pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, Segamat, Dungun dan Bukit Sentosa 2024 di Dataran Kawad, PULAPOL Kuala Lumpur, di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay. Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihak JIPS juga sudah menentukan bahawa Peraturan 3C Peraturan Pegawai Awam dilaksanakan terhadap penyelia yang gagal menyelia dengan baik. "Tidak guna kalau penyelia gagal menyelia dan dia diletakkan menyelia di situ. "Selain itu, proses isytihar harta juga akan disemak oleh pihak JIPS untuk menentukan bahawa harta dimiliki (pegawai dan anggota polis) itu dalam kemampuannya. "Sekiranya tidak, kita akan mengambil tindakan diambil ketika saya mula menjawat Ketua Polis Negara iaitu kita tukarkan (tempat tugas) dan arahkan untuk jual harta yang dia tidak ada kemampuan (beli) itu," katanya. Sementara itu, Razarudin berkata, majlis hari ini kali pertama menggabungkan empat PULAPOL iaitu PULAPOL Kuala Lumpur, Segamat, Dungun dan Bukit Sentosa. "Penganjuran perbarisan tamat latihan PDRM kali ini menghimpunkan sejumlah 1,747 pelatih PLAK inspektor, sarjan dan konstabel daripada empat PULAPOL itu.
"Barisan pelatih PLAK Inspektor pada hari ini seramai 339 orang, PLAK Sarjan (293 orang) dan PLAK Konstabel (1,115 orang)," katanya. Ketika berucap pada majlis itu, Razarudin berkata, kepimpinan PDRM tidak berkompromi dengan warga pasukan yang terbabit jenayah atau salah laku. "Arahan Ketua Polis Negara Bilangan 191 mengenai 'Total Enforcement' ke atas Peraturan 3C Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 perlu dipatuhi sepenuhnya. "Arahan ini menekankan aspek penyeliaan oleh pegawai polis, antaranya menerusi pelaksanaan Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD) PDRM secara 'close monitoring'," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1327272/jips-guna-dron-pantau-polis-curi-tulang-main-golf-ketika-bertugas
|