LONDON: Pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia, menyifatkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi mengesannya hanya akan mempopularkan beliau.
Dia kini menjadi cemuhan pelbagai pihak selepas lawak kontroversinya berhubung kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia, MH370, disifatkan tidak sensitif kepada keluarga mangsa.
Jocelyn juga berkata tindakan pihak berkuasa Malaysia sengaja memperbesar-besarkan isu itu dan 'mahu melihat reaksi' pegawai INTERPOL yang menerima permintaan itu.
"Sejujurnya, jika INTERPOL melakukan sesuatu mengenai permintaan ini dan perkara itu menjadi besar, bolehkah anda bayangkan betapa ia menjadikan saya lebih terkenal?" katanya sebagai dipetik berkata oleh BBC.
Pelawak terbabit memperlekehkan Malaysia dalam satu persembahan komedi bertajuk 'Singapore vs Malaysia' di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini, mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk Malaysia dan Singapura.
Menerusi klip video yang dimuat naik di akaun TikTok, Jocelyn turut secara sengaja menghina seorang penonton persembahannya yang mengaku sebagai rakyat Malaysia dengan perkataan kesat.
Susulan itu, TikTok sudah mengeluarkan video tular berkenaan yang turut mengandungi kenyataan menghina Malaysia dan tragedi MH370, kerana mengandungi ucapan berunsur kebencian.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata permohonan akan difailkan dengan
INTERPOL untuk mendapatkan butiran identiti Jocelyn dan lokasi terkininya.
Dalam klip yang tular, Jocelyn kedengaran menggunakan kata-kata kotor untuk menghina Malaysia. Dia juga membuat apa yang disifatkan netizen sebagai jenaka 'buruk' mengenai kehilangan pesawat MH370.
Jocelyn bermegah mengenai Singapura yang kini menjadi negara dunia pertama walaupun perdana menterinya ketika itu menangis di televisyen selepas mengatakan terpaksa meninggalkan Malaysia, yang katanya kekal sebagai 'negara membangun'.
Pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014. Kesemua 227 penumpang dan 12 anak kapal diandaikan terkorban, tetapi nasib pesawat itu masih menjadi misteri.
Jocelyn, bekas warga Singapura, berkata klip persembahan komedi meninggalkan konteks yang diperlukan dan dia melakukan jenaka sama 'lebih daripada seratus kali' tanpa sebarang masalah sebelum ini. - AGENSI