|
Fenomena Beast tidak terbendung
Oleh Elrafaei Sapi (yang mengikuti Universal Music Malaysia menyaksikan Konsert Beast di Seoul, Korea, baru-baru ini)
[email protected]
JERITAN peminat bergema di segenap ruang. Menariknya, sorakan padu peminat pada enam artis pujaan mereka yang meng�gelar diri sebagai Beast begitu menggamatkan suasana.
Ini dapat dilihat sejam sebelum persembahan bermula jam 5 petang waktu tempatan hingga berakhir dua jam selepas itu, momentum sorakan yang diberikan peminat masih bertenaga dan berterusan.
Peminat terdiri daripada golongan remaja sanggup berasak depan pentas semata mahu melihat lebih dekat anggota Beast beraksi.
Hampir 10,000 peminat sudah tentu gadis belia mengambil peluang menyaksikan persembahan Beast yang mengadakan konsert solo julung kali.
Dua jam sebelum konsert bermula, Beast berkesempatan mengadakan sidang media untuk berkongsi pengalaman mereka mengadakan persembahan di Jamsil Indoor Stadium, Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.
Anggota Beast terdiri daripada Yoon Doo Joon, Jang Hyun Seung, Yong Jun Hyung, Yang Yo Seob, Lee Gi Kwang dan Son Dong Woon hanya meluangkan masa selama 25 minit untuk sesi temu bual bersama media tempatan dan antarabangsa termasuk dari Malaysia, Thailand dan Taiwan manakala fotografi hanya lima minit.
Ketua kumpulan, Doo Joon berkata, sukar menjelaskan perasaan dalaman mereka mengenai persembahan yang dianggap istimewa itu dan ia menjadi penghargaan pada peminat mereka.
“Kami sebenarnya tidak mempunyai masa panjang berlatih untuk persembahan kali ini, tetapi kami tetap gembira menghiburkan peminat yang hadir.
“Persembahan seperti ini memberi peluang pada kami memperkenalkan lagu baru hasil ciptaan sendiri. Begitu juga, sepanjang hujung tahun ini hingga 2011, kami akan meneruskan persembahan jelajah dan bertemu peminat termasuk di Malaysia pada 13 Januari nanti.
“Dalam memantapkan persembahan, kami pernah bertanya pandangan artis senior lain mengenai pengalaman mereka ketika berada di pentas. Kata mereka, setiap persembahan memberi pengalaman berbeza.
“Atas alasan itu, kami juga mahu terus mengadakan persembahan lain selepas ini dan ia memberi ruang pada kami mendekatkan hubungan bersama peminat,” katanya.
Seperti mana artis Korea yang lazim terbabit dalam bidang lakonan, anggota kumpulan ini tidak menolak ingin aktif berlakon jika ada tawaran yang menarik dan sesuai.
Buat masa ini, hanya dua anggota mereka yang aktif berlakon iaitu Doo Joon dan Hyun Seung. <<--- sepatutnya Kikwang.
“Tidak kisah siapa antara kami yang berlakon, masing-masing tetap menyokong satu sama lain. Dalam meluas pengaruh dalam muzik, kami berazam mahu meraih lebih ramai peminat baru pada tahun depan.
“Dalam pada itu, kami harus bekerja lebih gigih melakukan promosi ke peringkat antarabangsa. Kami sebenarnya berbangga perjuangan muzik K-pop (Korea pop) apabila mencetuskan fenomena global.
“Namun dalam berhibur, kami berharap muzik dapat membantu masyarakat dunia menjurus pada suatu perkembangan positif dan kehidupan sihat,” katanya.
Menyaksikan konsert sulung mereka dikenali Welcome To Beast Airline, Beast tampil dengan persembahan penuh bertenaga.
Memulakan persembahan menerusi lagu Special, pembukaan yang disertai letupan mercun dan pancaran lampu laser menambah keterujaan peminat berhibur.
Persembahan berterusan dalam seleksi lagu popular seperti Soom, Bad Girl, Mystery, Easy dan Lights Go On Again membuatkan suasana semakin gamat.
Tidak ketinggalan, lagu Beast Is The B2ST, Clenching A Tight Fist, Mastermind dan Lightless memperlihatkan kombinasi antara anggota kumpulan cukup serasi menyanyi bersama.
Untuk lagu Hot Issue, mereka menampilkan kelainan dengan konsep acapella.
Dalam rancak beraksi, mereka sempat meluangkan masa berinteraksi bersama peminat.
Kejutan buat peminat apabila mereka membawa kek meraikan hari jadi Jun Hyung ke-22.
Sambutan hari jadi kali ini memberi makna mendalam buatnya kerana ia diraikan bersama anggota keluarga dan peminat yang hadir pada konsert itu.
Sepatutnya, ibu Jun Hyung berhasrat meraikan hari jadi anaknya itu pada tahun lalu, tetapi tertangguh kerana anggota Beast sibuk melakukan latihan untuk persembahan pentas.
Jun Hyung yang terharu dengan kejutan itu bergurau dengan peminat hadir agar tidak menceritakan insiden dia menitiskan air mata di Internet.
Katanya, rakan anggota Beast yang lain banyak membantu memberi semangat padanya untuk terus berjuang dalam bidang seni.
Malah, dia menghargai semangat persahabatan antara mereka cukup kuat menaikkan populariti kumpulan mereka hingga hari ini.
Beast yang dikenali dengan B2ST merujuk pada singkatan Boys To Search for Top dianggap berjaya mencipta nama di pentas muzik antarabangsa.
Biarpun masih baru sejak ditubuhkan setahun lalu, kehadiran mereka tetap memberikan variasi baru pada perkembangan muzik K-pop.
Dalam menghangatkan persembahan, mereka mengundang dua artis popular yang juga rakan mereka iaitu kumpulan 4Minute dan G.Na tampil sebagai artis jemputan.
Terdiri daripada lima gadis lincah dan seksi, persembahan 4Minute menerusi dua lagu iaitu Hot Issue dan HUH cukup membangkitkan suasana.
Penyanyi solo G.Na tidak menghampakan peminat apabila dua lagu yang disampaikan, I’ll Back Off So You Can Live dan I Want To Do When I Have A Lover turut menerima sorakan gemuruh peminat.
Kembali Beast menghiburkan peminat dengan lagu seterusnya seperti I’m Sorry, Shock, Beautiful, Oasis, V.I.U dan I Like You The Best membuktikan persembahan mereka masih bertenaga.
Nyata, persembahan Beast bukan sekadar aksi artis muda bertenaga di pentas. Sebaliknya, Beast membuktikan penerimaan muzik mereka berjaya menembusi pasaran di luar negara seperti Jepun, Taiwan, Thailand, Malaysia dan Singapura.
Walaupun Beast selesa menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri sebagai perantara dalam muzik, tetapi ia bukan halangan diminati ramai peminat di seluruh dunia. Mungkin fenomena K-pop yang dibawa mereka termasuk artis Korea lain seperti Super Junior dan Wonder Girls memberikan jenama kuat sebagai pengenalan pada peminat.
Beast yang muncul dengan album keempat, Lights Go On Again berada di pasaran sejak 3 November lalu sudah melancarkan album istimewa untuk peminat mereka di Jepun.
Album Beast-Japan Premium Edition dilancarkan pada 24 November lalu.
Bagi peminat tempatan di sini yang menantikan kehadiran Beast, Universal Music Malaysia bersama syarikat telekomunikasi, DiGi Telecommunications Sdn Bhd selaku penaja akan menganjurkan persembahan DiGi Live K-pop Party 2011 di Stadium Negara pada 13 Januari tahun depan.
Menariknya, konsert kali ini turut menyaksikan persembahan bersama penyanyi G.Na dan kumpulan 4Minute. Jika kunjungan Super Junior ke Kuala Lumpur pada 20 Mac lalu berjaya menarik perhatian 15,000 peminat manakala Wonder Girls menarik perhatian ramai pada persembahan mereka di Genting Highlands pada 11 Disember lalu, tidak mustahil Beast bersama 4Minute dan G.Na nanti akan mencipta sambutan di luar dugaan.
taken from http://www.hmetro.com.my |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|