KUALA LUMPUR: Kelstone Sdn Bhd bersama Japan Organization for Metals and Energy Security (JOGMEC) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menjalinkan kerjasama strategik dalam menilai potensi sumber nadir bumi di kawasan terpilih di Kelantan.
MoA berkenaan difasilitasi oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di bawah rangka kerja Memorandum Kerjasama (MoC) ECERDC–JOGMEC, yang bertujuan menyokong kolaborasi tersusun bagi pembangunan industri nadir bumi secara mampan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
ECERDC dalam satu kenyataan hari ini berkata, menerusi perjanjian itu, Kelstone dan JOGMEC akan melaksanakan program tinjauan yang dipersetujui bersama bagi menilai potensi teknikal serta aspek penting lain berkaitan pembangunan nadir bumi secara bertanggungjawab, selaras dengan peraturan dan garis panduan yang berkuat kuasa.
"Pelaksanaan program berkenaan akan dipantau oleh sebuah jawatankuasa pengurusan bersama, manakala ECERDC akan bertindak sebagai pemerhati bagi memastikan tadbir urus yang telus serta pematuhan terhadap kerangka kerjasama sedia ada.
"Kerjasama ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memajukan aktiviti penerokaan nadir bumi secara beretika dan berhemah, selain memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun dalam sektor sumber mineral kritikal.
"Inisiatif ini menandakan satu langkah penting dalam merealisasikan potensi nadir bumi negeri Kelantan sambil memastikan aktiviti penerokaan dan pembangunan masa depan dijalankan dengan telus, mampan, dan selaras dengan objektif pembangunan nasional serta wilayah," katanya.
Kelstone merupakan sebuah syarikat di bawah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) yang terlibat dalam pembangunan sumber mineral di Kelantan.
JOGMEC ialah sebuah agensi pentadbiran berkanun di bawah Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun, yang mempunyai pengalaman luas di peringkat global dalam penerokaan nadir bumi dan penilaian sumber.
https://www.bharian.com.my/bisne ... nadir-bumi-kelantan