|
|
Ipoh: Lambakan bangkai ikan yang ditemukan terapung di Sungai Kinta di Kampung Temiang di sini baru-baru ini dipercayai berpunca daripada pembuangan ikan yang tidak dapat dijual.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, siasatan awal mendapati hampir 99 peratus daripada ikan yang ditemukan mati itu adalah anak ikan tilapia.
Menurutnya, kebanyakan ikan tilapia berkenaan bersaiz kecil dengan anggaran berat di bawah 120 gram, selain beberapa spesies lain seperti ikan lampam dan baung yang turut ditemukan mati dalam saiz kecil.
"Berdasarkan pemerhatian dan penemuan di lapangan, dipercayai terdapat individu tidak bertanggungjawab membuang dan melupuskan anak ikan bersaiz kecil yang tidak boleh dijual dengan cara mencampakkannya ke dalam Sungai Kinta," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohammad Ezanni berkata, pihaknya masih menunggu keputusan analisis makmal terhadap sampel kualiti air yang diambil berhampiran Surau Al-Ittihad di kampung berkenaan bagi mengesahkan keadaan sebenar air Sungai Kinta.
"Pemantauan berkala dilakulam di lokasi kejadian bagi mengelakkan kejadian berulang.
"Tindakan penguatkuasaan lanjut akan dijalankan sekiranya terdapat bukti kukuh pelanggaran undang-undang alam sekitar," katanya.
Terdahulu, insiden penemuan lambakan bangkai ikan itu ditularkan di media sosial dengan ia didakwa antara aktiviti menuba ikan di Sungai Kinta.

|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|