View: 8052|Reply: 0
|
'Hadap' sahaja padang rosak
[Copy link]
|
|
Keadaan rumput padang Stadium Nasional, Bukit Jalil seperti yang didedahkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Twitter. – Foto Twitter HRH Crown Prince of Johor
KUALA TERENGGANU: Susulan keadaan terkini padang di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang rosak, Terengganu FC (TFC) tiada pilihan melainkan terpaksa beraksi juga di stadium berkenaan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia, Jumaat ini.
Luahan itu dilontarkan Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas yang mengakui sudah terlambat jika Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mahu menukar venue perlawanan itu biarpun permukaan padang itu kini bertaraf kampung.
Lagi pun katanya, ia tidak mungkin dapat ditukar ke gelanggang lain kerana semua persiapan sudah dilakukan bukan sahaja pihak pengurusan TFC, malah juga ribuan peminat setia yang bakal 'berkampung' di stadium berkenaan.
"Jika tanya kem pasukan TFC sama ada bersedia atau tidak bermain di padang yang jelas rosak dan tidak sempurna untuk dilangsungkan perlawanan final itu, jawapan kami tiada pilihan dan perlu hadap juga sebab segala persiapan sudah diatur membabitkan pasukan dan peminat setia.
"Kami sedar risiko bakal terjadi kepada pemain terutama kecederaan lebih-lebih lagi kami ada dua perlawanan lagi selepas itu iaitu Piala AFC berdepan kelab Indonesia, Bali United pada 13 Disember dan Liga Super berdepan Perak FC pada 17 Disember.
"Lagipun setakat ini hanya Stadium Nasional sahaja yang boleh menampung sejumlah 80,000 peminat dengan lebih 35,000 tiket perlawanan itu sudah terjual kepada peminat TFC dan ada antara mereka sudah menempah dan menyewa pengangkutan.
"Sepatutnya pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), mengambil langkah awal dan menjaga aset negara itu dengan baik, lagipun mereka bukan tidak tahu tarikh perlawanan akhir, tidak salah mengadakan konsert kerana ia menjana pendapatan, tapi padang perlu dijaga kerana ini melibatkan perlawanan piala berprestij dalam negara.
"Lebih parah dan kesal kami dimaklumkan tidak dibenarkan untuk mencuba padang itu sehari sebelum perlawanan, kami diminta mencari padang lain untuk mengadakan latihan," katanya.
Terdahulu keadaan padang di stadium itu yang akan menjadi gelanggang final Piala Malaysia, Jumaat ini terus menjadi tanda tanya susulan perkongsian terbaharu pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai keadaan terkini permukaan padang di gelanggang keramat Harimau Malaya itu di laman media sosial miliknya.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan Tunku Ismail di laman Twitter miliknya, keadaan padang yang rosak selepas konsert Coldplay, bulan lalu tampak masih belum pulih sepenuhnya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... sahaja-padang-rosak |
|
|
|
|
|
|
| |
|