Untuk memudahkan para pembaca memahami kenapa saya menyokong Deklarasi Rakyat, biar saya beri satu andaian. Jika pada minggu depan Malaysia diserang Indonesia atau Singapura, atau Filipina, Jepun, Amerika, atau mana-mana negara, saya akan siap sedia untuk bekerjasama dengan Najib, United Malays National Organisation dan BN.
Kepentingan dan keselamatan Malaysia didahulukan.
Untuk saya kepentingan negara mengatasi semua kepentingan. Justeru, kita wajib meninggalkan, mengetepikan, menggantung apa saja beban politik yang wujud dalam fikrah kita pada tahap ini.
Kita satukan seluruh tenaga dan upaya intelektual kita untuk satu tujuan - Selamatkan Malaysia.
Gerakan Selamatkan Malaysia ini adalah gerakan induk yang maha penting. Justeru gerakan ini wajib didakap, disokong dan diperjuangkan oleh setiap warga yang memiliki kesedaran politik. Apatah lagi oleh pemimpin parti politik dan aktivis masyarakat.
Terbukti dari apa yang sedang berlaku dalam negara ini, dari babak-babak politik yang terus menghantui warga, kita tidak ada tugas lain selain dari menyelamatkan Malaysia. Menyelamat Malaysia menjadi agenda induk. Pada ketika dan tahap ini, menyelamatkan tanah air kita ini lebih penting dari semua bentuk dan apa sahaja garis perjuangan sekarang.
Ini ajaran mazhab politik yang saya anuti. Ini pedoman politik yang saya pakai. Saya tidak akan belot, tidak pernah belot atau tergelincir dari garis panduan ini.
Apa yang sedang saya lakukan ialah bersama-sama berusaha menggalang perserikatan barisan bersatu yang luas. Mengalang setiakawan yang luas. Atau lebih ringkas mendirikan barisan bersatu atau united front.
Garis dan kerja politik yang saya ajukan ini adalah rasional, ilmiah dan tuntas. Strategi menggalang persatuan yang luas ini bukan hak milik parti kiri, bukan hak monopoli kaum Marxis atau hak milik parti kanan atau hak milik parti poros tengah.
Kerja dan garis politik ini adalah ilmiah, saintifik dan telah dan boleh diuji kesahihannya. Justeru saya wajib sedaya upaya bekerja keras menerangkan dan memberi pencerahan kepada warga Malaysia. Saya wajib memberi pencerahan tentang gerak kerja politik barisan bersatu melalui teori, sejarah dan akal yang rasional.
Dalam usaha mengalang Barisan Bersatu Selamatkan Malaysia, rukun pertama ialah memusatkan satu akidah dan tujuan yang boleh dikongsi bersama. Kerana itu Deklarasi Rakyat 2016 digalang dengan hanya satu tujuan: Singkirkan Najib. Khalas. Najib wajib disingkir untuk selamatkan Malaysia. Najib sedang membawa kemusnahan kepada negara kita ini.
Singkirkan Najib dari jawatan perdana menteri Malaysia adalah rotan, adalah gam yang menyimpai dan mengikat parti parti politik dan badan-badan NGO dan aktivis NGI. Parti politik mazhab kanan, kiri, Islamis, nasionalis, sosial demokrat atau garis tengah akan menggantung ideologi mazhab mereka untuk sama-sama bergerak dalam satu saf yang mencakupi rakyat Malaysia semua jalur.
Mengajukan hanya satu tujuan ini agar semua kudrat dan iradat kita dapat difokuskan. Barisan ini tidak terpencar-pencar atau tercari-cari dengan pelbagai niat dan harapan. Niat dan harapan kita hanya satu - Najib disingkir.
Wajib disedari bahawa Deklarasi Rakyat ditandatangani oleh sosok pelbagai jalur politik. Mereka semua memiliki agenda tersendiri. Jika semua agenda ini ingin disertakan, maka tenaga dan garis kerja juga berkemungkinan cair dan terpesong.
Dari segi teori politik, dari segi teori perang, langkah yang tepat ialah membanyakkan kawan dan mengurangkan musuh. Lihat dan baca babak-babak sejarah bagaimana taktik terulung mengalahkan musuh ialah dengan memencilkan musuh. Memencilkan musuh hanya dapat dilakukan jika kita membuat jaringan setiakawan dengan pelbagai kelompok.
Contoh terbaik dan terbaru yang segar dalam ingatan ialah bagaimana Amerika membuat barisan bersatu untuk menyerang Iraq pada 20 Mac 2003. Sebanyak 48 buah negara bersatu dalam apa yang dipanggil coalition of the willing. Bukan semua 48 negara ini menghantar soldadu. Hanya tiga negara - Australia, United Kingdom dan Poland - yang menghantar tentera untuk bersama bala tentera Amerika. Tujuannya hanya satu: singkirkan Saddam.
Barisan bersatu atau united front terbukti sebagai strategi perang yang unggul. Dalam apa sahaja pertempuran - politik atau perang - meninggalkan teori barisan bersatu ini akan memastikan kita lumpuh dan tewas.
Mari kita melihat babak babak sejarah barisan bersatu yang pernah terjadi dalam negara kita. Sebelum fasis Jepun melanggar Tanah Melayu, gerakan nasionalisme cukup hebat. Parti Kebangsaan Melayu Malaya dengan pelbagai pihak lagi telah bangun melawan British. Dalam masa yang sama Parti Komunis Malaya (PKM) telah menyusun kaum buruh dan kaum tani untuk bangun menentang penjajah British.
Pada 8 Disember 1941, sesudah Pelabuhan Pearl dibom, tentera Jepun telah mendarat di Kota Bahru. Tanah Melayu diserang oleh Jepun. Akhirnya British lari dan Tanah Melayu jatuh ke tangan fasis Jepun.
Pada ketika ini muncul satu kerjasama, yang pada satu ketika dianggap mustahil akan berlaku. Dua musuh ketat - British dan Parti Komunis Malaya telah menjalin kerjasama - united front - untuk melawan fasis Jepun. Parti Komunis Malaya telah mendirikan kumpulan gerila yang dipanggil Rakyat Malaya Antisoldadu Jepun (Malayan People anti Japanese Army).
Dari mana Parti Komunis Malaya mendapat senjata?
Sejarah telah merakamkan bagaimana senjata awal gerakan anti-Jepun ini telah dibekalkan British. Malah beberapa pegawai tentera perisik dan agen-agen British telah tinggal dalam hutan bersama gerila PKM. Pihak penjajah Britsih juga telah menghantar senjata melalui payung terjun. Pihak British telah menjadikan Ceylon dan Colombo - nama lama Sri Langka – sebagai pusat tentera British yang mengundur dari Asia Tenggara.
Apa yang berlaku ketika ini ialah penggalangan barisan bersatu (united front) untuk melawan musuh bersama - fasis Jepun. Maka dua musuh ketat - PKM dan British bekerjasama untuk menewaskan fasis Jepun.
Dalam strategi politik, kita wajib mentakrifkan musuh kepada musuh utama dan musuh sampingan. Kita juga wajib ada kawan, sahabat dan kawan seperjuangan. Semua ini boleh berubah. Sahabat boleh menjadi kawan dan boleh menjadi musuh. Musuh sampingan boleh menjadi musuh utama. Malah musuh utama boleh menjadi musuh sampingan atau menjadi sahabat apabila keadaan berubah. Justeru, diperlukan ilmu politik, ilmu ekonomi dan ilmu tentera untuk membaca dan mengajukan strategi dan taktik perjuangan.
Dalam sejarah moden Tanah Melayu, pilihan raya umum pertama dijalankan pada tahun 1959, dua tahun sesudah British berundur. Dalam PRU1 ini, Parti Perikatan yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman telah mendapat 74 kerusi. Parti Islam mendapat 13 kerusi. Barisan Sosialis mendapat lapan kerusi. Parti Negara mendapat hanya satu kerusi.
Parti Negara dipimpin oleh Sir Onn Jaafar - anak didik British, merangkap presiden pertama United Malays National Organisation. Sir Onn Jaafar telah ditendang keluar dari Parti Ketuanan Melayu dan mendirikan Parti Negara.
Lihat apa yang berlaku apabila parlimen bersidang. Walaupun parti Islam dan Barisan Sosialis memiliki lebih banyak kerusi, tetapi yang berhormat yang dinobatkan sebagai ketua pembangkang ialah Sir Onn Jaafar, musuh lama garis Islam dan garis Kiri.
Jangan lupa, Sir Onn Jaafar ini pernah berkata “Hubaya, hubaya, bahaya dari gunung”. Bahaya dari gunung ini ialah bahaya parti Islam dari Gunung Semanggul.
Malah Sir Onn ini juga pernah berkata, “Bagaimana orang Melayu nak Merdeka kalau buat jarum sebatang pun tak tahu”.
Ini kata-kata dari agen British yang antikemerdekaan dan antinasionalisme Melayu. Tetapi dalam usaha united front untuk menumpaskan Perikatan, anak didik British ini telah diangkat menjadi ketua pembangkang dalam parlimen Tanah Melayu pertama. Ini babak sejarah barisan bersatu.
Apa yang saya lakar di atas adalah pengalaman yang telah lalu. Pengalaman inilah yang kita jadikan panduan. Pengalaman kerja-kerja politik dari orang yang terdahulu dari kita wajib kita gunakan untuk melihat diri kita hari ini.
Hukum dan syarat politik dalam sistem ekonomi yang ada hari ini sama sahaja. Keadaan tidak berubah, sebelum Jepun masuk, sebelum British mengundur atau sesudah British memberikan kuasa kepada United Malays National Organisation. Politik masih lagi perebutan kuasa. Merebut kuasa untuk merebut punca ekonomi. Hukum ini tidak beralih. Yang beralih hanya musuh kita.
Pada tahap ini musuh utama kita ialah Najib. Malah dalam menggalang perserikatan barisan bersatu ini kita, dengan berbesar hati memanggil dan menjemput sebanyak mungkin ahli Parti Ketuanan Melayu untuk bersama dalam saf Selamatkan Malaysia. Lebih ramai mereka meloroh masuk lebih cepat kita singkirkan Najib.
Jika masih ada Mat Luncai bebal politik yang gagal diberi kefahaman apa dia barisan bersatu, apa dia mengalang united front, maka pada hemat saya tidak ada satu apa pun kuasa dalam alam maya yang dapat membantu. Mereka ini hanya menghabiskan beras dan mengotorkan oksigen di bumi ini.
Datuk nenek moyang kita beratus-ratus tahun dahulu telah memberi ingatan tentang mereka ini dalam bentuk gurindam dan lagu. Hari ini kita putarkan kembali gurindam itu:
"Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan, biarkan."