Ehsan daripada Sinar Harian.
Ketika orang ramai mengeluh menghadapi harga barang semakin meningkat, sebuah kedai makan di Senawang Jaya, di Seremban khabarnya menawarkan ‘nasi bajet’ yang mempunyai empat menu pilihan.
EMPAT MENU PILIHAN
Dengan harga RM3 saja, pelanggan boleh memilih menu pilihan ditawarkan seperti ayam goreng berempah, ayam masak sambal, telur itik masak lemak cili padi dan ikan tongkol masak kari disajikan dengan ulam seperti petai, sayur timun, ikan masin dan sambal belacan.
BARU DIBUKA
Tidak hairanlah, kedai yang baru dibuka itu kini mendapat sambutan ramai, ditambah lagi dengan rasanya yang sedap.
Pengusaha kedai terbabit, Siti Nur Ahmad, 47, berkata, dia mendapat ilham membuka perniagaan itu selepas melihat ramai peniaga di tepi jalan berniaga nasi campur dengan harga murah.
“Sebelum ini saya berniaga nasi lemak dengan membuka gerai di bawah pokok sahaja. Apabila ada kedai untuk disewa, selain jual nasi lemak, saya bercadang menjual nasi bajet pula.”
“Tidak sangka pula ramai penggemar nasi bajet ini sehingga cepat habis berbanding nasi lemak,” katanya.
Meskipun harga yang ditawarkan murah, katanya, dia masih mendapat untung.
KONSEP ‘MEMBERI’
“Saya hanya dapat untung sedikit sahaja kerana harga barang sudah naik sekarang. Walaupun sedikit, saya tetap bersyukur kerana saya berniaga dengan mengamalkan konsep ‘memberi’ kepada pelanggan.
“Lagipun, suami saya bekerja di pasar dan mudah mendapat bekalan dengan murah kerana tidak perlu melalui orang ketiga,” katanya.
WAKTU OPERASI
Siti Nur berkata, kedainya itu dibuka dari jam 11 pagi sehingga 5 petang dan beroperasi setiap hari.
“Keunikan nasi bajet saya berbanding peniaga lain ialah saya menawarkan empat menu pilihan setiap hari dan nasi juga diberi lebih.
“Kadang kala, saya tambahkan juga telur masin dan juga ulam lain sebagai menu tambahan,” katanya.