|
HAJAT Lee Chong Wei untuk meraih kejuaraan kali ketiga kejohanan badminton Terbuka Jepun dan trofi kejuaraan ketujuh tahun ini tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain China, Chen Long pada aksi final di Gymnasium Metropolitan, Tokyo, semalam.Chong Wei yang diramal mampu bergelar juara selepas mudah menyingkirkan pemain Denmark, Peter Gade untuk laluan ke final serta penarikan diri juara Olimpik dan juara dunia Lin Dan yang memberi kemenangan percuma kepada rakan senegaranya Chen Long untuk mara ke final, gagal menepati ramalan apabila tewas dalam pertarungan tiga set yang berlangsung selama sejam 13 minit di kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$200,000 (RM600,000) itu.\n\n\n\nJuara bertahan itu tewas kepada Chen Long di set pertama 8-21, sebelum bangkit di set kedua dengan kemenangan 21-10.\n\n\n\n\nPada set penentuan, Chong Wei yang juga pilihan utama dan juara pada edisi 2007 berjaya mendahului pilihan keempat kejohanan itu 19-18 pada hujung saingan, namun akhirnya terpaksa akur bahawa Chen Long lebih unggul apabila kecundang tipis 19-21.Kemenangan semalam hanya kejayaan kali kedua Chen Long menewaskan jaguh negara itu dalam enam pertemuan sesama mereka, yang mana kekalahan tunggal Chong Wei kepada pemain China itu sebelum ini ialah pada pusingan pertama Terbuka India 2009.Chong Wei, 29, sebelum ini memenangi enam daripada lapan final yang disertainya tahun ini dengan kedua-dua kekalahan yang dialaminya itu adalah kepada Lin Dan yang menewaskannya di Terbuka Korea dan Kejohanan Dunia.Aksi final semalam menyaksikan China mengungguli empat daripada lima acara yang dipertandingkan apabila mereka turut menjuarai acara perseorangan wanita serta beregu lelaki dan wanita.\n\n\n\nPilihan utama perseorangan wanita, Wang Yihan menewaskan pemain Jerman, Juliane Schenk 21-16, 21-14 untuk memastikan kejuaraan, manakala Bao Yixin-Zhong Xianzin memastikan kejuaraan beregu wanita selepas menewaskan pasangan Taiwan, Cheng Wen Hsing-Chien Yu Chin 13-21, 25-23, 21-12. Juara bertahan yang juga pilihan pertama beregu lelaki, Cai Yun-Fu Haifeng melengkapkan penguasaan China apabila menewaskan pilihan keempat dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Bona Septano 21-13, 23-21.Sementara itu, dalam acara beregu campuran yang menjadi satu-satunya acara final yang tidak membabitkan pemain China, menyaksikan pasangan Taiwan, Chen Hung Ling-Cheng Wen Hsing menewaskan pasangan Denmark, Joachim Fischer Nielsen-Christinna Pedersen 21-19, 16-21, 21-15.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|