MIRI: Keputusan Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan Penilaian Standard untuk Program Dwibahasa (DLP) bagi murid Tahun Enam dan pelajar Tingkatan Tiga, disokong sepenuhnya oleh Persatuan Anak Sarawak di Melaka.
Pengerusinya Datuk Wan Zain Syed Mohdzar (gambar) berkata, langkah itu adalah satu pendekatan berpandangan jauh agar pengenalpastian awal terhadap tahap pencapaian pelajar dapat dilakukan, khususnya dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.
"Keputusan ini membolehkan kelemahan dikesan lebih awal dan tindakan pembetulan dapat diambil sebelum pelajar menduduki peperiksaan SPM.
"Ia bukan sahaja berfungsi sebagai alat penilaian, malah memberi peluang kepada ibu bapa dan pendidik untuk menyesuaikan strategi pembelajaran," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Langkah itu tambah beliau, adalah selaras dengan usaha Sarawak untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang STEM kepada 60 peratus.
Walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil pendekatan untuk mengurangkan orientasi peperiksaan, Wan Zain menegaskan Sarawak telah berjaya mengimbangi inovasi pendidikan dengan keperluan untuk mengukur pencapaian secara objektif bukan secara subjektif oleh guru-guru kelas mereka.
"Sarawak memahami kepentingan kebertanggungjawaban dalam pendidikan.
"Penilaian ini memberikan kepastian kepada ibu bapa dan pelajar bahawa pendidikan di negeri ini berorientasikan hasil dan keunggulan," tambahnya lagi.
Beliau turut memuji usaha Sarawak dalam memperkasakan guru melalui pembangunan profesional dan inovasi pedagogi, seperti yang diketengahkan dalam persidangan iCERI2024.
Menurutnya, pendidikan berkualiti bermula dengan guru yang berkemahiran tinggi dan Sarawak telah menunjukkan komitmen yang jelas dalam aspek ini.
"Keputusan Kerajaan Sarawak ini adalah langkah strategik untuk memastikan pelajar negeri ini kekal cemerlang dan bersedia menghadapi cabaran global," kata Wan Zain.
Penilaian Standard bagi DLP di Sarawak akan bermula pada 2025 untuk murid Tahun Enam dan pada 2028 untuk pelajar Tingkatan Tiga, memberi fokus kepada Matematik, Sains, dan Bahasa Inggeris.
Langkah itu dijangka memperkukuhkan lagi kedudukan Sarawak sebagai peneraju pendidikan berkualiti di Malaysia.
Ini membukti pemimpin Sarawak membuka pintu mendengar pandangan ibu bapa demi untuk masa depan anak bangsa Sarawak itu sendiri, katanya.
|