Lelaki maut terjatuh dari tingkat 21 hotel di Tanjung Bungah
MOHD ISKANDAR OTHMAN
27 November 2024 07:34pm
Polis sahkan mangsa terjatuh dari tingkat 21 sebuah hotel Tanjung Bungah dan bukannya berlaku di sebuah hotel di Batu Feringghi seperti yang tular di media sosial.
GEORGE TOWN - Polis mengesahkan kejadian seorang lelaki warga emas yang terjatuh dari tingkat 21 sebuah hotel Tanjung Bungah dan bukannya berlaku di sebuah hotel di Batu Feringghi seperti yang tular di media sosial pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian berkenaan dilaporkan berlaku berlaku pada 23 November lalu dan lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pihak Polis terkesan satu berita palsu yang membuat spekulasi mengenai satu kejadian jatuh bangunan di sebuah hotel di Batu Feringghi dan juga telah terima banyak pertanyaan daripada pelbagai pihak.
"Dengan ini, pihak polis ingin mengesahkan bahawa kejadian yang tular tersebut bukan berlaku di Batu Feringghi sebaliknya kejadian tersebut sebenarnya berlaku di sebuah hotel di Tanjung Bungah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Abdul Rozak berkata, hasil siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes terbabit dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan kepada masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini sehingga boleh menjejaskan siasatan pihak polis.
Terdahulu tular beberapa keping gambar kejadian seorang lelaki yang terjatuh dari tingkat 21 sebuah hotel di Pulau Pinang.
Selain itu, terdapat satu nota bertulisan tangan juga ditemui yang tertulis saya sudah letih dengan hidup ini yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian berkenaan.
https://www.sinarharian.com.my/article/699068/berita/semasa/lelaki-maut-terjatuh-dari-tingkat-21-hotel-di-tanjung-bungah
|