KPDN kesan peniaga warga asing sorok minyak masak paket
Oleh Zuliaty Zulkiffli - November 27, 2024 @ 4:46pm[email protected]
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin (kiri) bersama pegawai memeriksa premis runcit yang diperiksa di sekitar Sungai Petani. - Foto NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
SUNGAI PETANI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah mengesan peniaga menyorok minyak masak berpaket di dalam stor belakang premis mereka di daerah ini.
Ia dikesan selepas sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Kedah melakukan pemeriksaan dalam operasi KITA Gempur bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di premisdi daerah ini di sini, hari ini.
Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, kedai runcit dikendalikan warga asing itu yang mengaku sebagai pekerja sambilan disyaki menawarkan barangan dan produk asal dari negara mereka.
Beliau berkata, dalam operasi itu, dua buah kedai runcit dikenakan tindakan bagi kesalahan kerana didapati enggan menjual barang kawalan iaitu minyak masak berpaket apabila tindakan uji beli dilakukan.
"Premis yang diserbu ini menyimpan barang kawalan minyak masak peket dan apabila diperiksa, kita dapati ada (minyak masak) disimpan di bahagian belakang kedai," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Muhamad Nizam berkata, siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengesan sama ada minyak masak peket itu dijual kepada kelompok pelanggan tertentu.
"Dalam tinjauan hari ini, masing-masing menafikannya (minyak masak paket itu dijual kepada golongan tertentu) namun, kita akan terus menjalankan siasatan dan terjah di kawasan 'hot spot' di seluruh negeri ini," katanya.
Beliau berkata, inisiatif Kita Gempur adalah langkah strategik kerajaan bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang membabitkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi.
"KPDN Kedah menjalankan operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen (IMIGRESEN) Kedah semalam dan hari ini bagi membuat pemeriksaan ke atas premis perniagaan yang sebilangan daripadanya diuruskan oleh warga asing.
"Dalam operasi yang dijalankan ini, sebanyak enam kes kompaun dikeluarkan kepada peniaga kerana gagal mematuhi tanda harga dan penggunaan alat timbang tamat tempoh pengesahan dengan nilai kompaun berjumlah RM600,"katanya.
Selain itu katanya, tiga kes lagi direkodkan membabitkan Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap sebuah restoran yang menggunakan LPG bersubsidi untuk aktiviti perniagaan tanpa permit menyimpan barang kawalan berkenaan.
"Sejumlah enam unit gas petroleum cecair (LPG) yang berisi tiga unit tong LPG kosong dan 44 kilogram minyak masak peket bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM1,064 kemudian disita untuk siasatan lanjut.
"Bagi kesalahan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, mana-mana orang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
"Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya," katanya.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, seramai empat lelaki warga Bangladesh ditahan dalam operasi Kita Gempur kali ini.
Beliau berkata, kesemua mereka berusia 20 hingga 35 tahun disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Tiga saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada warga tempatan (pekerja/pemilik perniagaan) bagi membantu siasatan ,"katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/11/1329596/kpdn-kesan-peniaga-warga-asing-sorok-minyak-masak-paket
|