SUNTIK: Chieng (kanan) memerhatikan petugas Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sibu menyuntik vaksin antirabies kepada seekor anjing pada program suntikan antirabies di SJKC Sacred Heart, hari ini.
SIBU: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bukit Assek Dato Chieng Buong Toon menyeru pemilik anjing agar tidak membiarkan haiwan peliharaan mereka terus berkeliaran bagi membendung wabak rabies.
Menurut Chieng, wabak rabies di Sarawak amnya dan di Sibu khususnya agak membimbangkan dan memerlukan semua pihak memberikan kerjasama bagi membendung penularannya.
"Pemilik haiwan peliharaan seperti anjing perlu lebih bertanggungjawab serta tidak membiarkan anjing peliharaan bebas berkeliaran setiap masa," ujarnya kepada pemberita pada program suntikan antirabies di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sacred Heart, hari ini.
PERANGI RABIES: Chieng bersama ahli-ahli Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu serta yang lain semasa program suntikan antirabies di SJKC Sacred Heart.
Program dianjurkan oleh Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sibu serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Assek.
Chieng juga menasihati mereka yang terkena gigitan anjing agar mendapatkan rawatan dengan segera di pusat rawatan yang berhampiran.
Sekiranya lewat mendapatkan rawatan katanya, dibimbangi boleh mengancam nyawa serta menyebabkan kematian mangsa yang terlibat.
Beliau turut memuji persatuan atas inisiatif menganjurkan program khidmat masyarakat yang membantu memberikan suntikan antirabies secara percuma kepada haiwan peliharaan di daerah Sibu.
Program hari ini merupakan yang ketujuh dianjurkan oleh Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu untuk tahun ini.
Program terakhir akan berlangsung di Permai pada Disember nanti.
Pada program hari ini, sejumlah 58 ekor anjing telah mendapat suntikan vaksin antirabies di mana 43 ekor anjing menerima suntikan pertama, sementara 15 ekor lagi menerima suntikan vaksin penggalak.
|