KEMALANGAN: Kenderaan Sabah Electricity terjunam jatuh ke kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Silam.
LAHAD DATU: Dua anggota kerja Sabah Electricity cedera ketika menjalankan tugas operasi pemotongan bekalan elektrik dipercayai akibat diganggu oleh seorang lelaki, pagi tadi.
Menurut kenyataan Sabah Electricity, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap apa jua ancaman yang membabitkan keselamatan anggota kerja syarikat itu ketika menjalankan tugas mereka.
Katanya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang secara sengaja mengganggu dan menghalang anggota kerja Sabah Electricity yang sedang menjalankan tugas.
“Dua orang anggota kerja Sabah Electricity dilaporkan cedera ketika menjalankan tugas operasi pemotongan bekalan elektrik ke atas rumah kediaman di Kampung Sepagaya, pada jam 11.30 pagi.
“Namun, tugas mereka dihalang seorang lelaki yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan marah dan cuba membuka pintu kenderaan milik Sabah Electricity secara paksa,” katanya.
Dalam keadaan panik, katanya, anggota kerja Sabah Electricity yang menggunakan kenderaan syarikat segera beredar, tetapi dikejar oleh lelaki terbabit menggunakan kenderaan miliknya menyebabkan situasi menjadi tidak terkawal.
“Kenderaan yang dipandu anggota kerja Sabah Electricity hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan sebelum terjunam jatuh ke kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Silam.
“Akibat kemalangan itu, seorang daripada mereka mengalami kecederaan ringan pada tangan kiri manakala seorang lagi terseliuh kaki kiri,” katanya.
Menurutnya, laporan polis telah dibuat oleh Sabah Electricity kerana berlaku provokasi dan gangguan ke atas kakitangannya yang menjalankan tugas.
|