Edited by Vellfire at 18-11-2024 09:09 AM
TANDATANGAN: Alexander menandatangani plak Regatta Lepa sebagi simbolik pelancaran majlis berkenaan.
SEMPORNA: Regatta Lepa kali ke-29 tahun ini dijangka akan melibatkan penyertaan dari negara jiran Indonesia dan beberapa daerah lain di negeri ini.
Pegawai Daerah Semporna Alexander Liew berkata, setiap tahun Regatta Lepa akan menampilkan pembaharuan dan penambahbaikan supaya ia terus relevan dengan keadaan semasa.
Katanya, negara jiran Indonesia dan daerah lain seperti Kota Belud, Tuaran dan Kudat akan mempersembahkan tarian budaya mereka pada majlis itu nanti.
“Semua daerah yang dijemput ini telah dikenal pasti mempunyai ramai masyarakat Bajau dan kita mahu mereka turut terlibat mempromosikan keunikan budaya mereka.
“Ia juga bertujuan menyatukan dari segi kebudayaan yang ada di negeri ini, selain mengeratkan lagi silaturahim yang sedia terjalin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pelancaran sambutan Regatta Lepa Semporna kali ke-19 tahun 2024, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, katanya, penyertaan daripada Indonesia adalah sesuatu yang sangat baik kerana kita dapat saling mengenali budaya yang mempunyai persamaan termasuklah dari segi tarian dan baju tradisi.
“Saya percaya, Semporna yang terkenal dengan sektor pelancongan alam semula jadi akan lebih dikenali lagi dengan kekayaan budayanya terutamanya di rantau ini.
“Justeru, saya berharap sambutan Regatta Lepa pada tahun hadapan akan melibatkan lebih banyak lagi penyertaan dari negara-negara serantau,” katanya.
PENGHARGAAN: Adam Shah (kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Alexander.
Pengerusi Majlis Pelancaran Regatta Lepa 2024, Adam Shah Mohammad berkata, pihaknya berjaya menarik ramai pengunjung untuk menyaksikan acara pelancaran ini yang telah dilaksanakan selama tiga hari.
Katanya, tahun ini juga ada pembaharuan dan penambahan dari segi pengisiannya iaitu Pertandingan Budjang Manis Cilik, Lallah Dorogan Cilik, Titik U17 dan Igal Berpasangan Veteran.
“Saya bersyukur kerana semua agensi kerajaan dan penggiat budaya di daerah ini telah memberikan kerjasama yang baik bagi menjayakan majlis pelancaran kali ini.
“Kita juga berterima kasih kepada kerajaan negeri terutamanya Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) kerana menyediakan dana untuk majlis ini,” katanya.
ACARA: Salah seorang peserta yang menyertai pertandingan Budjang Manis Cilik.
Sementara itu, Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Kalimantan Utara, Indonesia, Ainun Farida berkata, acara Regatta Lepa ini mempunyai persamaan dengan acara kesultanan Bulungan di Kalimantan Utara.
Katanya, dari segi ukiran dan bentuk perahunya juga mempunyai persamaan, malah di Kalimantan Utara juga mempunyai acara yang sama dengan Regatta Lepa di Semporna ini.
“Saya sangat berbangga kerana dijemput hadir menyaksikan sambutan Regatta Lepa ini dan teruja untuk membawa rombongan pada tahun hadapan ke Semporna.
“Sudah pasti, ia akan menjadi satu titik permulaan untuk kerjasama sektor pelancongan pada masa akan datang melalui acara-acara melibatkan budaya dan tradisi,”katanya.
|