M KALITHOSAN dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson atas pertuduhan mencuri barangan kemas minggu lalu. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Port Dickson: Seorang penjual ketam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, tadi, atas tuduhan mencuri barangan kemas minggu lalu.
Tertuduh, M Kalithosan, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Uthman Abd Ghani selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri harta benda milik seorang wanita iaitu sebentuk cincin, satu rantai emas dan satu loket emas.
Kesalahan itu dilakukan pada jam 6.15 pagi sehingga 8.23 pagi 17 Julai 2024, di sebuah rumah di Batu 8, Jalan Pantai, Teluk Kemang di sini.
Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal menawarkan jaminan RM8,000.
Peguam M Siveram, bagaimanapun merayu jaminan rendah terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh perlu menanggung isteri dan dua anak yang masih kecil serta ibu yang sudah uzur.
Mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 25 September depan.
|