Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Muar selepas rayuan ditolak. - Foto Alias Abd Rani MUAR: "Ini kesalahan serius, rayuan kamu ditolak dan hukuman dikekalkan," kata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid ketika menolak rayuan pesara sebuah agensi keselamatan yang dihukum penjara 18 tahun dan lapan sebatan atas kesalahan melakukan hubungan seks dengan objek terhadap anak saudaranya, tujuh tahun lalu.
Tertuduh berusia 65 tahun dijatuhkan hukuman terbabit oleh Hakim Mahkamah Sesyen Segamat, Norina Zainol Abidin pada 21 Februari tahun lalu, selepas warga emas itu didapati bersalah melakukan perbuatan itu terhadap anak saudaranya.
Dalam penghakiman itu, Meor Hashimi berkata, Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf ketika menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan.
"Hukuman dan sabitan dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen Segamat tidak prejudis dan munasabah dengan kesalahan besar yang dilakukan tertuduh.
"Mahkamah juga mendapati, pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap sabitan dikenakan terhadap tertuduh. Jadi, mahkamah membuat keputusan untuk menolak rayuan tertuduh," katanya.
Pada prosiding itu, tertuduh mengemukakan rayuan bagi membebaskannya daripada hukuman yang dikenakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan perhubungan seks dengan anak saudara perempuan yang ketika itu berusia 11 tahun tanpa kebenarannya, di sebuah rumah, di Segamat, pada jam 11 pagi, 13 Mei 2017.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan juga sebatan sekiranya didapati bersalah.
Berdasarkan fakta, kejadian berlaku mangsa bersama ahli keluarganya bertandang ke rumah nenek mangsa yang juga ibu tertuduh.
Tertuduh didakwa mengambil kesempatan melakukan perbuatan itu tanpa kerelaannya. Kira-kira dua bulan selepas kejadian, mangsa mengadu perkara itu kepada ibunya sebelum membuat laporan polis.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syamilah Jalaludin manakala tertuduh diwakili peguam, Krishnan Nair.
Seramai 11 saksi termasuk lapan daripada pihak pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.
Pembelaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
|