Ismail Sajiman menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Belia Peringkat Kulai. FOTO Ihsan Ismail Sajiman. Kulai: "Ia satu rezeki yang tak disangka dan mungkin berkat saya berkongsi rezeki," kata Naib Kadi Daerah Kulai Muhammad Ismail Sajiman atau dikenali Ismail Sajiman.
Ismail, 39, menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Belia sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Daerah ini, di sini, semalam.
Anugerah itu disampaikan Pegawai Daerah Kulai Fizwan Datuk Mohd Rashid dan Kadi Daerah Kulai As-Sheikh Amir Mohd Noor dalam majlis di Surau Abu Bakar As-Siddiq, Taman Lagenda, di sini.
Penghargaan itu sekali gus menjadikan Ismail Sajiman salah seorang daripada penerima anugerah selain empat lagi penerima anugerah lain iaitu Tokoh Maal Hijrah, Tokoh Pemimpin Masyarakat, Tokoh Saudara Baru dan Tokoh Asnaf.
Berkongsi perasaannya, Ismail Sajiman berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menerima anugerah berkenaan kerana sedar ramai lagi individu lebih layak daripadanya.
Bagaimanapun, Ismail Sajiman menghargai pengiktirafan diberi yang tentunya memberi semangat buatnya sempena kedatangan tahun baharu dalam kalendar Islam.
"Minggu lalu, saya dihubungi pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Daerah Kulai memaklumkan saya tercalon dalam anugerah Tokoh Maal Hijrah Belia tapi tak letak harapan apa kerana sekadar dicalonkan saja.
"Lima hari lalu, saya dapat surat tawaran mengesahkan saya sebagai penerima anugerah.
"Macam tak percaya rasanya kerana kali pertama namun kejayaan itu akan dijadikan pembakar semangat kepada saya untuk terus turun padang membantu masyarakat kurang bernasib baik," katanya ketika dihubungi Harian Metro
Ismail Sajiman berkata, aktiviti kebajikan dijalankannya menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Pertubuhan Akademi Darul Salam yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu.
"Masih aktif malah banyak aktiviti di sekitar Johor dan luar.
"Cuma kini fokus kepada usaha membantu dan menyantuni anak yatim," katanya.
Terdahulu, Harian Metro pernah melaporkan kisah Ismail Sajiman yang tular di laman sosial selepas berkongsi videonya membantu suami isteri kurang berkemampuan membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya di sini.
Ismail Sajiman membantu pasangan itu kerana sebak melihat mereka dan perkongsiannya bukan hanya mendapat perhatian warganet malah agensi kerajaan yang tampil menghulurkan sumbangan.
|