UMAR menyempurnakan Siri Jelajah Majlis Perasmian Hari Nanas Malaysia di Taman Agroteknologi Nanas, Alor Bukit, Pekan Nanas di sini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein
Pontian: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bercadang untuk menjadikan nanas sebagai buah kebangsaan.
Pengerusinya, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, LPNM sememangnya mempunyai hasrat itu, namun masih dalam perancangan di peringkat awal.
"Kita melihat nanas berpotensi bukan sahaja dari segi nilaiam ekonomi, tetapi juga, karakter nanas itu sendiri yang menjadikannya berpotensi diangkat sebagai buah kebangsaan.
"Usaha ini baharu di peringkat sangat awal iaitu di peringkat lembaga dan akan diangkat kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan selain perkara terus kepada kabinet dan ke peringkat yang lebih tinggi," katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Siri Jelajah Majlis Perasmian Hari Nanas Malaysia di Taman Agroteknologi Nanas, Alor Bukit, Pekan Nanas di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M Salleh.
Sheikh Umar Bagharib berkata, nanas bukan sahaja telah membantu mengeluarkan pekebun kecil daripada kadar kemiskinan, tetapi ia turut membantu meningkatkan hasil pendapatan ekonomi negara.
"Selain itu, katanya, nanas mempunyai karakter yang berguna dengan konsep sekali tanaman iaitu 'Sekali Tanam Tiga Kali Tuai' dan sifar sisa, selain karektor 'crown' dan gabungan mata-mata nanas yang menunjukkan kesepaduan rakyat Malaysia.
"Jadi, saya yakin dan percaya perkara ini apabila diangkat akan mendapat perhatian dan pertimbangan positif daripada pihak atasan," katanya.
Mengulas mengenai Hari Nanas Malaysia, Sheikh Umar Bagharib berkata, Malaysia tidak pernah menyambut Hari Nanas di peringkat nasional.
"Oleh itu, LPNM merancang untuk mengadakan sambutan Hari Nanas Malaysia sebagai sambutan dwitahunan yang disambut setiap 27 Jun bersamaan sambutan Hari Nanas Sedunia.
"Tahun 2025 akan menjadi tahun pertama sambutan Hari Nanas Malaysia dan dengan semangat serta komitmen yang ditunjukkan, diharapkan industri nanas di negara ini akan terus berkembang maju dan memberi manfaat besar kepada negara.
"Tahun ini dianggap sebagai 'warming up' untuk memperkenalkan Hari Nanas Malaysia dengan pelbagai publisiti dan kempen akan dilaksanakan menerusi siri jelajah yang dirancang di seluruh negara," katanya.
Disiarkan pada: Jun 27, 2024 @ 3:55pm
|