KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sedia menyumbang kepakaran sekiranya diperlukan untuk membantu siasatan nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM Lumut di Perak, semalam.
Beliau yang memiliki kepakaran dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa berkata, menjadi tanggungjawabnya sebagai rakyat negara ini untuk membantu.
Bagaimanapun, beliau yakin Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjalankan siasatan secara terperinci berhubung nahas berkenaan.
"Tiada siapa mahu tragedi seperti itu berlaku dan saya percaya pihak tentera akan melakukan apa juga untuk menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca kejadian itu berlaku.
"Saya rasa dari segi siasatan Insya-Allah pihak tentera mempunyai kepakaran mereka tersendiri," katanya ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman hari ini.
Ditanya pandangan beliau mengenai siasatan kes nahas, itu, Ahmad Samsuri berkata banyak perkara mungkin akan dilihat terutama dari segi kawalan helikopter sama ada ia ketika itu di luar kawalan atau masih lagi dalam kawalan.
"(Siasatan juga boleh dilihat) termasuklah (dari segi) formasi yang cuba dibuat hari itu... adakah sedang berlaku formasi atau pun belum lagi, jadi macam-macam perkara yang saya rasa dalam pertimbangan mereka (TLDM).
"(Siasatan juga) termasuklah ada tak kemungkinan helikopter itu tidak dapat dikawal oleh sebab-sebab tertentu yang saya rasa sangat 'remote' (mustahil). Mungkin tidak berlaku begitu, tetapi segala kemungkinan harus dipertimbangkan oleh mereka," katanya.
Dalam pada itu Ahmad Samsuri mewakili kerajaan negeri turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga anggota tentera yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi berkenaan.