KOTA BHARU - Kelantan mencatatkan tujuh kematian sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negeri ini bermula 21 Disember sehingga Isnin.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, daripada jumlah itu, tiga kematian akibat lemas melibatkan seorang kanak-kanak lelaki di Kubang Kerian, Kota Bharu dan dua kanak-kanak perempuan di Pasir Mas.
"Manakala empat lagi kes melibatkan mangsa mati lemas bukan akibat banjir dan mati mengejut.
"Orang ramai dinasihatkan agar cakna mengenai keselamatan anak-anak di bawah jagaan masing-masing yang bermain air tanpa pengawasan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Golongan remaja bermotosikal dinasihatkan untuk tidak mendatangi tempat banjir, seolah berpesta.
Menurut beliau, dalam situasi berkenaan, mereka perlu sentiasa berwaspada dan patuh pada arahan serta panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Ujarnya, orang ramai terutamanya golongan remaja bermotosikal juga diingatkan untuk tidak mendatangi tempat banjir, seolah berpesta.
"Ini kerana perbuatan tersebut akan mengundang risiko kemalangan serta mengganggu kelancaran kenderaan-kenderaan petugas sekali gus akan menrencatkan kerja menyelamat perpindahan mangsa banjir," ujar beliau.