CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6868|Reply: 0

[Pahang] 'Kelaik mati depan mata'

[Copy link]
Post time 23-12-2023 01:35 PM | Show all posts |Read mode

Pembantu Hidupan Liar, Norain Saudi melakukan rutin harian sebagai mahut (pengembala gajah) kepada gajah berasal dari Myanmar berusia 49 tahun yang diberi nama Pian ketika tinjauan fotoBERNAMA di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah (PKGK) di Lanchang. FOTO BERNAMA

Temerloh: Norain Saudi menggosok-gosok muka Pian, sambil sesekali tangannya menghulur pisang ke gajah betina berusia 49 tahun itu.

Kemudian, beliau perlahan-lahan menolak badan gajah berasal dari Myanmar bergerak keluar dari kandang menuju ke tempat mandi, sebelum menyembur air daripada getah paip ke mamalia seberat 4,760 kilogram itu.

"Ini antara tugasan saya sebagai mahut (penggembala gajah). Pada awalnya sukar juga mengawal gajah kerana mungkin mereka terbiasa dengan suara yang lebih kuat dan kasar (suara lelaki) memberi arahan.

"Pertama kali mengemudi gajah juga terasa gayat, tapi ibarat alah bisa tegal biasa, lama-kelamaan dapat membiasakan diri selain lebih pandai mengimbangi badan mengikut rentak pergerakan gajah," katanya mengimbas kenangan awal bergelar mahut beberapa tahun lalu.


Norain, 34, antara Pembantu Hidupan Liar yang berkhidmat di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah (PKGK) di Lanchang di sini dan seorang daripada tiga mahut gajah wanita pertama di pusat konservasi itu.

Beliau yang dilahirkan di Melaka, namun dibesarkan di daerah ini berkata, minat terhadap gajah bermula sejak kecil kerana sering mengikut bapa, Saudi Sidek, 63, yang juga pernah berkhidmat di PKGK.

Norain menjadi sukarelawan di pusat itu sejak berusia 19 tahun sebelum diserap selepas membuat permohonan pada 2011 susulan pengalamannya mengendalikan kerja berkaitan gajah, selain membantu kerja lain di pusat itu.

"Tapi pengalaman kerja harian itu tidak sama dengan tugas mahut...kena banyak belajar kerana walaupun gajah di sini dijinakkan, tetapi ada masanya ia suka bergurau dengan mahutnya.

"Dilibas di muka dengan telinga gajah perkara biasa. Jika ditanya pada mahut di sini, setiap orang pasti ada pengalaman itu. Walaupun telinga gajah kelihatan lembut, tapi kesan libasan boleh tahan kerasnya," katanya sambil ketawa.

Sebagai mahut, Norain perlu belajar beberapa arahan asas seperti 'duduk', 'jalan', 'baring' dan 'bangun' dalam bahasa Thailand, Myanmar dan India kerana ada gajah di pusat konservasi itu berasal dari negara tersebut.

Buat masa ini, ada 23 gajah menghuni pusat konservasi yang ditubuhkan sejak 1989.

PKGK menjadi tempat perlindungan bagi gajah yang majoritinya ditemukan dalam keadaan cedera akibat perbuatan manusia atau serangan haiwan di habitat asal.

Sebagai mahut junior di PKGK, Norain tidak mempunyai gajah khusus untuknya seperti rakan sejawatan lain, namun beliau bergilir-gilir menjaga gajah di situ untuk membiasakan kehadirannya dalam kumpulan haiwan itu.

Beliau bersyukur kerana mendapat kerjasama dan tunjuk ajar dari rakan mahut yang tidak lokek ilmu, selain kerap membantu menenangkan gajah kendalian mereka jika tidak mahu mendengar arahan Norain.

Norain mengakui lebih seronok jika ditugaskan mengendalikan anak gajah termasuk memberi susu, namun katanya mengendalikan gajah muda ada cabarannya.

"Mengendalikan gajah berusia lebih setahun bernama Kelaik pada 2020 atau 2021 paling meninggalkan kesan.

"Anak gajah itu dijangkiti elephant endotheliotropic herpesvirus (EEHV) dan walaupun pelbagai usaha dilakukan, Kelaik tidak dapat diselamatkan dan mati di depan mata saya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... aik-mati-depan-mata

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 02:58 PM GMT+8 , Processed in 0.043786 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list