|
Peniaga ikan, Abdul Aziz Hassan, menjual ikan pada harga berpatutan berikutan bekalan mencukupi di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong. NSTP/ Hidayatidayu Razali
KOTA BHARU: Harga ikan segar di pasaran sekitar daerah ini masih stabil dan bekalan mencukupi untuk menampung keperluan pengguna.
Tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini mendapati, bekalan pelbagai jenis ikan banyak dan dijual pada harga biasa antara RM8 hingga RM10 bagi sekilogram ikan selayang, kembung (RM16), selar (RM14), kerisi (RM7) dan tongkol pada harga RM10 sekilogram.
Peniaga, Abdul Aziz Hassan, 56, berkata, harga dapat dikekalkan kerana bekalan mencukupi diperoleh daripada nelayan tempatan dan pembekal.
Walaupun hujan, katanya, nelayan laut dalam masih dapat turun ke laut untuk menangkap ikan.
"Harga ikan stabil. Saya mendapat bekalan daripada nelayan tempatan dan pembekal pada harga rendah, maka kami boleh jual murah.
"Jika bekalan kurang, harga akan meningkat dengan mendadak," katanya.
Seorang lagi peniaga, Mohd Fikri Abdul Rahman, 28, berkata semua ikan dijual pada harga murah berbanding musim tengkujuh sebelum ini.
"Biasanya kalau musim tengkujuh nelayan tidak turun ke ke laut, cuma kali ini cuaca agak baik dan mereka dapat ke laut.
"Harga lebih rendah mendorong orang ramai datang ke sini untuk mendapatkan bekalan ikan dan bahan mentah lain," katanya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|